Thursday 28 June 2018

Ketupat / Pulut Dakap

Assalam...
Kalau tak silap menu pulut dakap ini popular di utara dan pantai timur.  Hari raya baru ini, mak mertua buat pulut dakap, versi kelantan yang rasanya sedikit manis.  Menurut chek ini pulut dakap simple sebab tak letak sebarang inti, selalu pulut dakap mereka letak inti pisang masak kat tengah atau pulut dicampur dengan rebusan kacang putih.  Pulut dibalut dengan daun pisang, lebih kurang macam buat burasak tetapi pulut dakap ini lebih mudah membuatnya.  Dua bungkusan pulut dicantum dan diikat bersama sebab itu kot dinamakan pulut dakap (letak secara dakap / berpelukan).


Walaupun hampir sama dengan burasak, tetapi cara memasak pulut selepas membungkus adalah berbeza.  Ikatan pulut dakap jugak tak perlu begitu kemas kerana tiada kekuatiran pulut akan kerburai ketika mengukus.  Ini mungkin penyebab utama rasa kedua benda ini turut berbeza.


Ketupat / Pulut Dakap
Sumber: Nang Teh


Bahan-bahan
1kg pulut - rendam
2 cawan santan pekat dari sebiji kelapas
1/2 sudu teh garam
2 sudu makan gula
Daun pisang secukupnya


Cara Penyediaannya
*  Kukus pulut hingga masak.
*  Didihkan santan yang dicampur dengan garam dan gula.
*  Campurkan santan dengan pulut.  Gaul sebati hingga rata dan pulut nampak berkilat.
*  Ambil daun pisang yang telah di potong lebar lebih kurang sejenggkal dan balutkan pulut memanjang.
*  Ikat 2 paket pulut secara berdakapan, pastikan bahagian lipatan daun terletak dibahagian dalam.
*  Sediakan kukusan, kukus pulut yang telah diikat hingga masak atau daun pisang layu.
* Sejukkan.  Buka ikatan dan leraikan dakapan pulut ketika menghidang.
 

Bagi saya yang lidah pedas ini, mungkin kurang minat dengan pulut yang manis begini kecuali jika yang dibuat kuih seperti pulut sekaya.  Tetapi budaya orang lain-lain kan, tu lah yang menyebabkan kita ini unik.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment