Wednesday 13 June 2018

Kueh Buroncong


Assalam...
Buroncong adalah nama satu jenis kueh tradisi yang dijadikan kudapan pada hari-hari biasa di dalam masyarakat bugis.  Hanya menggunakan bahan asas tepung gandum, kelapa parut dan gula, manakala acuannya terbentuk khas untuk membakar kuih ini.  Rasanya padat, lemak kenyal-kenyal dan sedikit manis.



Tambahan bahan majerin cair dalam adunan dan diguna untuk menggoles acuan buroncong menambahkan sedap pada kuih.  Tambah rasa lemak dan wangi.


Adunan batter tu agak-agak jer cairnya.  Uji dengan menjatuhkan adunan, jika bekas adunan tu jatuh, cepat je hilang bekasnya maknanya batter dah sempurna.


Kueh Buroncong
Sumber:  Kak Soda


Bahan-bahan
1 kg tepung gandum
1 biji kelapa parut putih - kelapa muda
2 gelas gula pasir - kurang atau tambah sesuai dengan manis yang diingini.
1/2 cawan majerin - cairkan
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning
air secukupnya

- Bakar menggunakan acuan buroncong seperti di dalam gambar.



Cara Penyediaannya
*   Campurkan tepung, gula pasir dan kelapa parut muda, gaul sebati.
*  Masukkan pewarna kuning telur, dan air.
*  Masukkan air sedikit demi sedikit, ambahkan dengan majerin cair, aduk sekata hingga gula larut.
*  Kecairan adunan seperti batter untuk goreng pisang.
*  Panaskan acuan di atas dapur.  Oles dengan majerin.
*  Tuangkan adunan ke dalam acuan hingga penuh.  Tutupkan acuan.
*  Keluarkan kuih dari sarangnya apabila telah masak.
*  Hidangkan, kuih buroncong sangat sedap dimakan ketika masih panas. 



Makan di teres depan sambil bersembang bersulamkan air teh o panas, tak sedar kueh dah luak di dalam pinggan.  Tukang masak di dapur tak menang tangan, kuih tak siap lagi orang dah datang suah pinggan kosong minta ditambah.


Ada pantun untuk diri sendiri sempena ramadhan dan syawal ini....
Bangun sahur minum milo
Buke puase makan telo
Sebulan puasa hilang 4 kilo
Raya ke-3 naik 7 kilo


Hari ini dah last kerja sebelum bercuti, selamat balik kampung, selamat hari raya aidilfitri semua dan  selamat bercuti.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment