Tuesday 1 August 2023

Mee Suah Sup Style Indragiri Riau

Assalamm...

Punya jiran baik satu rezeki lagi nikmat kalau selalu hulurkan makanan pada kita kan.  Orang baik kita pun kena lah berbahasa, hormat dan jika mampu cuba balas kebaikan jiran kita itu.  Pertama kali jiran bagi saya rasa makan mee suah sup begini terus suka, dia kata ini makanan biasa orang kampung dia di Riau Indonesia.  Pernah makan mee suah goreng chinese style sebelum ini, suka juga tapi klau dapat yang sup begini bertambah tambah suka lah.

Mee suah dari gambar google, ada beberapa brand lagi, mudah dapat dekat pasaraya.  Jiran saya kata lebih sedap guna yang mee suah halus.  Bahan-bahan nak buatnya sedikit dan masa penyediaan yang singkat.

Buatkan bawang goreng homemade begini memang sentiasa yang terbaik berbanding menggunakan bawang goreng segera.

Selalu dia hulur semangkuk yang dah siap masak, tapi hari itu kita pesan lain kali nak masak panggil sebab nak tengok cara buatnya.  Senang sangat cik katanya tak perlu resepi lah.

Mee Suah Sup Indragiri Riau Style
Sumber: Sri Wahyuni
 
Bahan-bahan;
1 bungkus mee suah
1 gengam udang geragau
2 sudu cili boh
5 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai daun sup - hiris
1 tangkai daun bawang - hiris
Minyak untuk menumis
Garam
Serbuk lada sulah
Serbuk perasa
Air secukupnya (lebih kurang 2 liter)

Cara Penyediaannya;
* Tumis hirisan bawang merah dan bawang putih.
* Jerang 2 liter air dalam periuk.
* Tumis cili boh guna bekas minyak buat bawang gorng tadi, masukkan udang geragau.  Goreng hingga sedikit garing.
* Tuang tumisan ke dalam periuk air mendidih.
* Masukkan garam, serbuk lada sulah dan perasa.
* Masukkan mee suah, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Hidangkan ketika sup panas.

Makan bersama bakso goreng atau bakwan macamni lagi mantul katanya.

Nyaman, lepas dapat semangkuk mee suah sup begini.  Jiran baik membawa berkat.
Wassalam.

2 comments:

  1. sedapnya kak oi.... menggoda tekak betul, biasa nampak mee suah ni tapi tak pernah beli. Ni nak cuba lah nanti

    ReplyDelete