Monday, 17 August 2020

Tapai Pulut, Resepi MIL

Assalamm....
Tapai pulut masih ada penggemarnya walaupun ramai juga orang yang tak suka dengan tapai pulut ini terutama golongan muda.  Dulu saya masa muda pun tak berapa gemar makan, lebih suka makan tapai ubi.  Tapi bila mai usia tak berapa nak muda nie, terlebih suka pula nak makan lagi-lagi bila diulit nostalgia menyediakan tapai ketika menjelang sambutan hari raya bersama arwah mak dahulu.  Tapai pulut buatan arwah memang manis dan menjadi, tipsnya semua peralatan kena bersih. Semua peralatan dicuci semula sebersih-bersihnya dan keringkan terlebih dahulu.  Walaupun selalu menolong untuk sediakan tapai pulut, tapi saya tak yakin nak sediakan sendiri.  Pernah sekali cuba buat sendiri, tak menjadi dan tak cuba dah selepas tu.  Hasil tapai saya menjadi keras macam jadi beras semula dan berkulat, langsung tak bau tapai apa lagi keluar air yang manis itu.  Begitulah kemahiran tak dapat diwarisi tanpa ilmu dan praktis yang berkali-kali.


Ini kebetulan masa mertua ada di rumah hari tu, jadi kita manfaatkan kesempatan untuk belajar buat tapai dengan dia.  Untung sebab dapat mertua yang juga pandai buat tapai jadi kita berguru lah dengan dia.  Masa tu tiada sebarang daun untuk membungkus tapai jadi kita bulat-bulatkan saja dan susun dalam tupperware.  Ini merupakan stail arwah mak selalu buat, hanya susun dalam mangkuk atau periuk dan lapis dengan plastik pada setiap susunan atau lapisan tapai.  Ada perbezaan sedikit cara mengukus pulut antara arwah mak dengan mertua, mak hanya kukus sekali manakala mertua kukus pulut dua kali.  Satu lagi tips penting untuk hasil tapai yang bagus adalah pemilihan ragi, pilih ragi yang baik dan fresh, boleh tanya pada penjual mereka tahulah kualiti ragi yang mereka jual.  Ragi yang saya guna ni, saya beli dari kedai runcit aceh dekat-dekat rumah saja.


Tapai Pulut
Sumber: My MIL

Bahan-bahan
1 kilo beras pulut
1 biji ragi
Air
pengukus dan peralatan lain

Cara Penyediaan
* Basuh beras dan rendam seketika, tak perlu rendam lama.
* Sediakan kukusan, bila air mendidih, kukus pulut hingga masak.
* Keluarkan pulut dari kukusan dan renjiskan dengan air hingga pulut nampak lembut dan basah sedikit dan pulut lerai.  Kacau pulut supaya air renjisan perlu kena pada semua bahagian.  
* Kukus pulut semula dalam 15 minit.
* Keluarkan pulut dan sejukkan.  Sebaiknya letak atas dulang supaya pulut berselerak dan tak berlongkok.
* Bila pulut dah suam, ayakkan ragi yang sudah dipecahkan ke atas pulut.  Pastikan ragi kena sekata pada pulut.
* Bila dah sejuk, bungkus pulut guna daun pisang atau daun getah atau masukkan dalam bekas plastik kecil.
* Simpan ditempat kering selama 2 hari atau 2 malam, tempoh yang baik untuk tapai masak dan mengeluarkan air.
* Sebelum sampai tempoh tu boleh check progress tapai tu, dah ok ker tak.
* Bila dah masak (term untuk tapai matang) boleh lah dihidangkan.


Tapai yang dah masak dan mengeluarkan air, perlu disimpan dalam peti sejuk untuk menjaga kualiti dan tidak menjadi masam.  Ini juga sebagai langkah untuk menahan proses penapaian terus berlaku dan menjadi tuak yang memabukkan. 


Tapai pulut dan tumbuk, 2 jenis menu wajib yang ada ketika hari raya.  Kedua-dua ini spesiality arwah mak saya, tapi saya tak sanggup nak sediakan.  Bayangkan mana lah tak timbul muscle bila kena gentel pulut berkilo-kilo, pulut untuk tapai 3 kilo, pulut untuk tumbuk 5 kilo.  Itu tak termasuk permintaan jiran tetangga yang minta dibuatkan.  Semua itu tinggal kenangan.


Ini salah satu cara keluarga saya menikmati tapai pulut, dimakan bersama tumbuk.  Tumbuk tu sejenis burasak pulut yang digulung dalam daun pisang dan diletakkan berlapis-lapis sebelum direbus sekurang-kurangnya 6 jam.

Bila kerja dalam sektor f&b pula, betapa tapai dipopularkan dan diangkat sebagai hidangan tradisi yang dinaik tarafkan.  Dihidangkan di hotel-hotel atau restoran mewah sebagai pencuci mulut (dessert) bersama ice cream vanilla, dikenali sebagai Tapai Ice Cream.  Selain menikmati cendol dengan pulut, kita boleh juga menikmati cendol bersama tapai pulut yang pasti tidak menghampakan.
Wassalam.

5 comments:

  1. Bagi saya pulak, tapai ni takleh makan banyak, pening..huhu

    ReplyDelete
  2. Saya sampai sekarang tak berani buat tapai pulut. Takut tak menjadi!
    Rupanya tapai pulu boleh makan dengan tumbuk! Nanti saya nak try beli tapai pulut dengan tumbuk di pasar tani. Nak cuba makan, macamana rasanya ye.

    ReplyDelete
  3. Tapai pulut Manis mmg lupa diri mkn ni NM..
    CH suka tapai pulut yg bungkus dgn daun getah.. sedapnya 😋

    ReplyDelete
  4. Suka tapai..pulut & ubikayu..tumbuk tak pernah makan..

    ReplyDelete