Wednesday 21 March 2018

Roti Puri


Assalam...
Kembang-kembang hati tukang masak walau tiada siapa yang memuji ketika puri yang disediakan kembang dan kembong ketika digoreng.  Selalu tengok dalam gambar tak pernah cuba, asyik dengar cerita en.Abe kata puri sedap, minta dia buatkan macam kat tempat dia selalu tu tak dapat-dapat.  Dia cuma cakap senang je buatnya macam buat doh roti canai, pipihkan dan goreng.


Nak tunggu berapa lama tak buat-buat juga, last-last makcik google lah resepinya dan try buat sendiri.  memang senang saja dan kebetulan bahan pun macam semua ada stock kat dapur.


Ada juga yang kembang sikit-sikit, sorokkan di belakang timbunan yang kembung tu.  Rasanya yang tak kembang sangat tu bila masukkan ketika minyak terlalu panas. 


En.Abe cakap padanan nak makan puri dengan alo masalla.  Aduh saya yang bermasalah nak buat alo tu, last cicah dengan sambal sardin saja.  Oklah daripada tiada kan.  Bawah tu resepi yang saya guna ambil dari MAHN, tapi sambal sardin awak karanglah sendiri ikut suka, ikut yang awak biasa buat.


Roti Puri
Sumber: MAHN

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum 
1 sudu makan susu pekat
1 sudu makan minyak masak
1 sudu makan majerin
1 sudu teh yis
1/2 sudu teh garam
3/4 cawan air panas


Cara Penyediaannya
1. Campurkan tepung gandum, yis, susu pekat, garam, margerin dan minyak jagung. Uli hingga sekata dan berderai-derai.
2. Masukkan air panas dan gaul rata. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
3. Bulatkan kecil-kecil. Letakkan dalam bekas bertutup. Perap selama 30 minit.
4. Lenyekkan dengan penggelek hingga nipis. Gelekkan semua adunan siap-siap supaya mudah untuk menggoreng.
5. Panaskan minyak. Minyak kena banyak dan api sederhana.
6. Masukkan adunan yang telah dilenyek tadi. Goreng satu per satu.
7. Masa menggoreng, kena simbah-simbahkan minyak ke atas roti. Bila sudah kembung, baru terbalikkan. Masak hingga kekuningan dan angkat.


Tips :
1. Pastikan minyak betul-betul panas. Kalau x cukup panas, atau terlalu panas roti akan jadi leper dan tak kembung.
2. Gelek siap2 adunan tepung supaya senang untuk sesi menggoreng. Proses menggoreng mengambil masa yg singkat sahaja.

 


Bagi en.Abe rasa, nak tahu dia komen ape?
"Puri patut kenyal-kenyal bukan ranggup macam nie.  Ini mesti sebab awak letak yis.  Lain kali buat jangan letak yis".
Erm, baiklah....
Wassalam.

2 comments: