Assalam...
Kuih orang kampung yang dah lama nak makan dan nak belajar buat sendiri, tapi tak terdaya nak membuatnya. Keupayaan bukan sebab kurang tenaga kerja tetapi nak mencukupkan bahannya, pisang ada, daun pisang pulak tiada, santan fresh pun kadang ada kadang tiada. Lainlah kalau kita ini jenis yang tiap-tiap hari pergi pasar, macam jauh jer pasar tu, untung sangat kalau boleh pergi sebulan sekali.
Buat ini pun dah tengah malam, tak dapat nak tangguh-tangguh lagi, takut tangguh terus dah tak jadi. Penamatnya pisang busuk dan daun pulak kering. Guna yang ini pun pisang nipah/abu je, sebab mencari pisang raja tiada, asyiklah jumpa pisang berangan aje. So angan-angan pun tak jadi kenyataan.
Kuih Bandang (Nagasari)
Sumber: Kak Soda
Bahannya
1 sikat pisang masak (gunakan pisang yang betul2 dah masak, belah dua)
1 pkt tepung beras
8 cawan santan pekat
Jus pandan / paste pandan / pewarna hijau
Gula pasir - ikut manis
Garam sedikit
Daun pisang - untuk membungkus,
Penyediaannya
* Layukan daun pisang terlebih dahulu, potong lebar lebih kurang 5 ke 6 inci dan buangkan sedikit tepi di kedua-dua hujungnya.
* Campurkan tepung, gula, garam, santan, jus pandan dan kacau hingga sebati. Perlu hati-hati jangan ada tepung yang berketul-ketul atau boleh tapis terlebih dahulu. Sebab nak cepat hari tu, adunan yang saya buat jadi berketul-ketul dan tak licin.
* Letakkan atas dapur, masak adunan sambil mengacau hingga pekat. Masak hingga keluar letusan-letusan kecil. Angkat adunan.
* Siapkan pengukus. Didihkan air kukusan terlebih dahulu.
* Letakkan satu sudu adunan tepung ke atas daun pisang, letakkan pisang yang telah di belah tadi dan tutupkan pisang dengan satu sudu adunan.
* Kemaskan bungkusan dan lipat kedua-dua hujung daun (rujuk gambar) dan susun dalam periuk pengukus.
* Kukus hingga masak atau daun dah bertukar warna atau boleh angkat sebiji dan buka.
* Sejukkan dan bolehlah dihidangkan untuk sarapan atau minum petang.
Sebelum makan sejukkan terlebih dahulu, lap daun luar dan terbalikkan lipatannya. Kuih ini seeloknya buat untuk cukup makan dua tiga kali saja sebab antara kuih yang tidak boleh simpan lama. Biasalah kuih yang guna santan ini kan cepat sangat basi.
Masih mencari peluang untuk percubaan seterusnya. Biar lebih mahir. Seelok-eloknya guna pisang raja sebab rasa pisang yang manis dan wangi.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment