Friday, 6 October 2017

Wedding Bia & Man


Assalam...
Sudah lama tidak menghadirkan diri di majlis perkhawinan keluarga yang kena berada beberapa hari di rumah pengantin.  Selalunya kalau dikampung kami memang akan datang ke rumah pengantin beberapa hari sebelum hari majlis berlangsung dan bersambung lagi sehari dua selepas itu.  Semasa bulan syawal lepas, syukur kerana dapat hadirkan diri di majlis perkhawinan Bia (anak sepupu) dengan pasangan.  Sebab dah lama sangat tak join, jadi semacam orang luar pula ditengah keramaian sanak saudara yang hadir.  


Bantal tempat duduk pengantin lelaki ketika acara akad nikah, dilapisi dengan tujuh (7) helai kain pelikat / sarung.  Kain pelikat tujuh helai yang diperlukan adalah koleksi yang dimiliki oleh ibu bapak pengantin perempuan atau nenek pengantin.  Selalu yang digunakan adalah koleksi terbaik dan termahal milik keluarga.  Setiap keluarga selalunya ada menyimpan beberapa helai kain pelikat / sarung yang dipanggil "lipa sabbe" dan hanya digunakan dalam majlis tertentu.  Kain sarung ini pula adalah daripada tenunan sutera atau campuran benang emas.


Sebelum acara akad nikah, akan diadakan mandi mayang untuk pengantin perempuan  (air mandian bercampur dengan bunga, mayang kelapa muda, emas dan duit syiling).  Waktu mandi adalah dinihari ketika sebelum subuh.  Makcik-makcik yang memandikan pengantin sering kali bergurau dengan memukul atau merenjis anak gadis yang masih belum bangun ketika itu dengan mayang bekas mandian pengantin tadi.  Pukul manja-manja lah, yang ini tahu sebab pernah ada pengalaman dulu. 


Jom sembang pasal food pula, ini sebahagian kuih-muih yang disajikan kepada tetamu.  Menu kuih ini bukan hanya sajian untuk sehari, tatapi ada antaranya disajikan ketika hari sebelum majlis berlangsung (hari rewang).  Sajian kuih-muih dan lauk-pauk adalah berbeza mengikut hari kenduri, dan kesemuanya disediakan secara gotong royong bersama ahli keluarga dan jiran tetangga.  Hanya ini yang sempat diportetkan sementara gambar lauk hanya dapat satu sahaja (lauk sehari sebelum majlis).


Ketika majlis berlangsung, saya langsung tak keluar ke tempat buffet sebab ada tugasan utama kena masak nasi.  Geng yang masak lauk-pauk di tempat lain.  Aktiviti memasak, dikendalikan hanya dan oleh kaum hawa dan diketua dengan seorang tukang masak (berbayar).  Acara masak-masak tidak melibatkan kaum adam, sangat berbeza dengan budaya masyarkat melayu di tempat lain.  Kaum adam hanya dilibatkan untuk aktiviti yang perlukan tenaga mereka.


Busana persandingan pengantin dimulakan dengan persalinan pakaian adat Bugis yang dipanggil "baju bodo".  Persalinan selanjutnya (jika ada) akan dipakai selepas itu (selalunya memang banyak persalinan untuk pengantin di kampung, 5 hingga 7 pasang) untuk bersanding.  Bersanding dari pagi hingga tengah malam.  Bukan orang rewang je yang letih, pengantin pun sama letih deh.


Hahaha dapat name tag, kena pakai lah name tag "Makcik" tu sepanjang majlis.  Tapi kita mengelat, dapat-dapat terus sorokkan, kata hilang.  Entah ada atau tidak rezeki pakai name tag 'Nenek" tu akan datang.


Dan sebab dianggap sebagai orang penting yang patut hadir pada majlis kenduri.  Selepas majlis selesai jangan chow dulu,  tugasan anda masih bersambung tidak terhenti di situ, longgokan pinggan mangkuk, periuk belanga harus diselesaikan.  Yang kotor perlu dibasuh, pulangkan kepada tuannya jika meminjam, jika ada yang pecah perlu lah diganti yang serupa warna, bentuk dan jenama.  Waktu begini selalunya hanya tinggal ahli keluarga dan jiran terdekat.


Sesekali dapat berkumpul dengan saudara mara seperti ini memang best.  Masa untuk mencungkil kisah-kisah lama terrutama yang mengelikan hati, sambil itu dapatlah ahli keluarga berkenal-kenalan terutama generasi muda yang lebih mengenali kawan daripada sanak saudara sendiri.  Untuk pengantin baru selamat menempuh alam rumahtangga.  Khabar terbaru dengarnya Bia & Man bakal menjadi ibu dan ayah tak lama lagi.  Alhamdulillah.
Wassalam.

No comments:

Post a comment