Thursday 5 October 2017

Pukis Susu


Assalam...
Ini kisah sarapan pagi semasa mak mertua bersama adik beradik datang ke rumah.  Mati kutu fikir nak hidang apa untuk mereka, ikut hati nak beli yang tunjuk-tunjuk aje.  Almaklum begitulah kalau tak pandai masak, orang datang rumah baru nak mengelabah.  Google sana, google sini, cari resepi yang senang-senang dan mudah disediakan.  Janji sedap dan halalan toyyiban.

Persilahkan semua tetamu masuk tidur dulu, baru kita beraksi di dapur.  Tengah malam kita sediakan adunan pukis, dengan harapan esok subuh bangun terus dah boleh masak.  Adunan pukis sebenarnya kena peram sekejap saja, lebih kurang 40 minit ke sejam gitu, tapi kita bantai peram lebih 4 jam.  Tak perlu risau ok jer adunan tu. 


Untunglah ada acuan ini, masak kuih terus atas dapur tak perlu guna oven.  Terima kasih banyak kepada siapa yang hadiakan hari itu, akhirnya keluar juga.  Tapi kalau awak dapat acuan, rajin-rajin lah guna yer, janganlah terlebih peram macam adunannya.  Kang acuan boleh merajuk macam tuan yang bagi.  



Ini resepi kita dapat daripada Ig dan blog orang seberang.  Kuih pukis ini popular di Indonesia, so kita cari resepi dari sana lah.


PUKIS SUSU
Sumber: RinaRinso

 
Bahan-bahan
4 biji telur
300gm gula pasir
500gm tepung gandum
1/2 bungkus yis
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh garam
750ml santan
3 helai daun limau purut (saya tak letak) 
1/2 tin susu pekat manis
230gm butter / majerin - cairkan dan sejukkan
1 sudu serbuk koko - (saya guna coklat emulco)
 



Cara Penyediaannya.
*  Panaskan santan dengan daun limau purut dan garam hingga mendidih.  Sejukkan hingga suam-suam kuku dan campurkan dengan susu pekat.  Gaul rata.
*  Pukul telur dengan gula hingga kembang.  Masukkan tepung, yis dan esen vanilla.  Gaul sebati.
*  Masukkan santan yang masih hangat suam-suam kuku. Boleh guna mixer (speed perlahan).  
*  Masukkan pula majerin / butter cair.  Gaul rata dan peram adunan selama sejam.  Adunan akan mengembang sedikit.
*   Ambil sedikit adunan dan campurkan dengan serbuk koko untuk dicorakkan ke atas pukis.
*  Panaskan acuan dan oles dengan majerin / minyak.  Setelah cukup panas, masukkan adunan putih hingga 3/4 acuan.  Tutup acuan biar hingga separuh masak.
*  Curahkan sedikit adunan coklat ke atas adunan putih tadi.  Tutup acuan biar hingga masak.
*  Keluarkan kuih daripada acuan dan letakkan dalam bekas yang rata untuk mengekalkan bentuk yang cantik kerana pukis susu yang panas, masih lembut dan senang penyet.

Nota:  Setiap kali nak masukkan aduan ke dalam acuan, sebaiknya adunan dikacau-kacau supaya gasnya boleh keluar.  Hasil pukis cantik dan  tidak berlubang-lubang.




Hasilnya mereka puji-puji akan pukis ini, siap dah rancang nak berjualan bila mereka balik ke tempat masing-masing.  Now saya dapat tugas baru nak cari "sarang" @ acuan pukis untuk mertua dan adik beradik mertua.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment