Friday, 1 July 2022

Pulut Inti

Assalamm...
Kalau sebelum ini saya kurang gemar makan pulut, berbanding dengan ahli keluarga yang lain.  Tapi sekarang jadi tersuka pula tak tahu kenapa, faktor usia agaknya, jadi makin minat nak makan.  Pulut yang dibuat kuih atau yang dimakan bersama lauk seperti pulut kuning dengan rendang, pulut dengan ayam goreng dan paling win pulut tanak yang dikenenkan dengan ikan masin goreng dan kelapa parut yang dicampur sedikit garam (pulut sorok, istilah mak andak) dan dimakan ketika sarapan pagi.  Kawan-kawan pula ada yang dah mengindari pulut sebab masalah angin, alhamdulillah saya sejak dulu tiada masalah itu bila makan pulut cuma kurang gemar dan sedikit mengantuk selepasnya.


Pulut inti ini menjadi kuih kegemaran sejak tinggal di penang dulu.  Bila bekerja dengan sektor F&B, pelbagai makanan yang tak biasa dihidang oleh keluarga kita boleh jumpa dan rasa.  Tinggal kita take it or leave it, tapi sebab jenis food adventure, makanan yang lagi pelik tulah makin suka untuk dicuba.


Dulu memang pandai makan saja tapi tak pernah nak cuba buat sendiri.  Kalau tak silap kuih pulut inti ini lebih terkenal di utara dan dikategorikan sebagai kuih nyonya.  Jika ada stok inti kelapa amatlah mudah nak sediakan pulut inti ini.


Pulut Inti
Sumber: Mulia
 
Bahan Pulut;
1 cawan pulut susu
2 cawan air
1/2 cawan santan cair
sedikit garam
1 sudu kecil minyak
Daun pisang secukupnya
 
Cara Penyediaan Pulut;
* Rendam pulut sekurang-kurangnya 2 jam awal, jika masak cara convenstional.  Jika guna hi-pressure tak perlu rendam, cukup cuci bersih saja.
* Jika nak tanak pulut boleh disediakan seperti kita  masak nasi dalam rice cooker atau hi-pressure ataupun masak atas dapur biasa.
* Jika nak kukus, sediakan pengukus dan loyang.  Campurkan pulut, air, santan dan garam ke dalam loyang.  Kukus sehingga masak.
* Bila pulut sudah matang, boleh lah bungkus dengan daun pisang.  Pulut tekap guna mangkuk kecil dan letak inti kelapa diatasnya.  Jika tiada daun pisang boleh dihidang tanpa berbalut.
* Nak balut dengan inti tersembul keluar atau tertutup ayu terpulang pada citarasa masing-masing.
 

Inti Kelapa
 
Bahan-bahan;
1 biji kelapa parut (guna kelapa agak muda)
1/2 cawan gula merah / kabung / melaka
1/2 cawan gula pasir
1 helai daun pandan - simpulkan
4 sudu lempok durian (jika suka)
Sedikit garam
Air secukupnya
 
Cara Penyediaan Inti;
* Larutkan gula dengan air di dalam kuali.
* Masukkan kelapa, daun pandan, lempok durian dan garam.
* Jika suka inti kelapa yang warna keperangan, boleh kurangkan gula merah lebihkan gula pasir dan tidak mencampur dengan lempuk durian.  Ada yang suka meletakkan sedikit bancuhan tepung jagung untuk memekatkan inti, tetapi kat sini saya tak guna sebab lempuk durian dah cukup untuk pekatkan inti.
* Masak dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau agar tidak hangus.
* Masak hingga agak kering dan sejukkan.
* Inti kelapa boleh disediakan lebih untuk pelbagai jenis kuih seperti ketayap, bom, koci, kuih peria dan sebagainya.
* Simpan ini kelapa di dalam peti sejuk untuk tahan lama dan keluarkanketika hendak digunakan.
 

Jika anda mengalami gejala seperti saya mata kuyuh, layu-layu dan rasa nak lena lepas makan sebungkus dua kuih ini jangan salahkan saya ya.  Itu efek yang biasa terjadi pada saya selepas makan pulut, sesekali kita layan lah tarik bantal, lepas lah berdengkur sekali dua kala.

Nanti kita sambung lagi cerita pasal pulut ye, mata dan layu dah nie.  Pulut sorok atau pulut pagi, mana satu idaman kalbu?
Wassalam.

3 comments:

  1. Comel-comel pulut intinya.

    ReplyDelete
  2. Nice post,thanks for sharing very useful
    Visit Us IT TELKOM SURABAYA

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete