Assalam...
Semalam cerita pasal pokok pigoen pea (kacang dhal/ kace'/ kacang gude) kacang yang banyak nama. Sebelum cuti hari tu memang dah nampak beberapa kudup bunga sudah mengeluarkan buah muda. Balik dari bercuti selama 2 minggu dapatlah menuai hasil buah kace', buah sulung sudah selamat dituai dan dijadikan sayur oleh si mat lah. Mat lah cakap sedap, tak tahu lah dia masak macamana (masak ala bangladesh). Ada beberapa buah yang dibiarkan tua dan kering oleh si mat lah untuk dijadikan biji benih seterusnya.
Sini saya nak sharekan masakan cara kampung untuk buah kacang kace' ini. Sayur yang jadi kegemaran sejak kecil lagi. Walaupun nampak kuah tu keruh-keruh jernih macam air acaq (istilah orang utara) tapi rasanya sangat segar dan berkhasiat. Menu ini boleh dijadikan sebagai hidangan sayur atau di makan begitu saja, masa makan tu kena perisi lah isi kacang dia ya sementara kulit tu dibuang.
Kacang Kace' Masak Bening
Sumber: Kak Soda
Bahan-bahan
1 mangkuk kacang kace' (kacang gude / kacang dhal)
2 biji bawang merah*
2 biji cili padi*
1 biji buah keras*
1 liter air
Garam secukupnya
Sedikit asam keping / asam jawa
Cara Penyediaannya
* Bersihkan kacang kace', buang sedikit di kedua-dua bahagian hujung kacang dan cuci bersih.
* Didihkan air dalam periuk hingga mendidih.
* Tumbuk lumat bahan bertanda "*" dan campurkan ke dalam air didih.
* Masukkan kacang kace dan asam ke dalam air didih.
* Masak hingga kacang matang dan warna kulit bertukar.
* Sesuaikan rasanya dan hidang.
Sebenarnya ada beberapa variasi kacang kace' ini, saya masih ingat ada biji buahnya yang berbelang-belang kehitaman dan kuah sayur juga menjadi hitam ketika dimasak. Tapi menurut kak Soda jenis itu sudah jarang dijumpai kini. Ada sesiapa yang nak biji benih kacang ini tak? Mana tahu nak cuba tanam kat halaman rumah kalau tak nak makan boleh dijadikan tanaman hiasan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment