Friday, 27 March 2015

Tempat Jatuh Lagi Dikenang...

Assalam....
Perjalanan dirancang seawal sebelum subuh untuk mengelakkan dari traffic jam.  Bersama tiga orang lagi sahabat.  Tapi biasalah kalau ramai-ramai dan kena kutip seorang satu, masa tu terlajak juga sejam dua.  Ditambah pula berhenti banyak kali nak buang air, buang angin.  Kami berdua pernah jadi pemastautin lama di Penang, yang seorang pernah datang dan yang seorang lagi pertama kali jejakkan kaki.  Setiap kali ke Penang, sejak meningggalkannya 4 tahun lalu, seakan setiap waktu itu seperti perjalanan balik kampung.  Girangnya bukan kepalang.
Pertama kali melalui jambatan kedua Penang (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah).  Memang panjang.  Tol jambatan untuk motokar RM8.50 sahaja.  Nanti nak tanya kot ada diskaun macam jambatan pertama khas untuk pemegang kad touch & go lama yang dibeli di pejabat Penang Bridge.
Lengang, tak banyak kereta yang lalu sini atau sebab hari cuti perayaan.  Sebabkan teruja, masing-masing nak singgah ambil gambar, kesudahannya kereta peronda halau dari belakang.
Dah dekat tempat dituju.  Macam berdebar-debar pun iya lalu jambatan ini.  Majlis pecah tanah jambatan ini dulu oleh PM masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, demi nak menjayakan majlis kami tak tidur malam tu.
Projek flyover di sepanjang pantai Seagate yang masih belum selesai, dah takde orang kot lepak-lepak di tepi pantai sebelah sini.
Hanya mampu kerling bumbung sekolah itu, tak sempat nak menyinggah.  Orang lama kata nak lepas rindu cukuplah dengan hanya memandang bumbung rumah kekasih.
Laluan ini lagi menyentuh perasaan, berbelas tahun duduk di unit atas tu.  Hadir di sini ketika bangunan ini belum terbina dan sekelilingnya masih lekat dengan bau yang sungguh tak menyenangkan.  Untuk pertama kalinya, tak tertelan makanan dalam mulut bila tahu bau itu berpunca dari apa.
Lepas settle chek in hotel, kami mencari makan tengah hari.  Gerai pokok ceri (gelaran kami) tepi masjid Bayan Baru yang kami tuju.  Makanan dah banyak yang habis, sebab masa itu dah dekat jam 3 petang.
Kawasan Bayan Baru yang begitu rancak dengan pembangunan, kawasan lapang 4 tahun yang lalu semua telah dipenuhi dengan bangunan baru.  Baru tahu yang Penang juga dah ada uptown.
Perkarangan SPICE yang dulu orang kenali sebagai stadium PISA (Penang International Sport Arena).  Bila pembangunan itu dah selesai totally wajah PISA yang dulu akan berubah bersama namanya akan tenggelam sekali dan berganti dengan nama SPICE.
Selepas itu kami teruskan penjelajahan ke kawasan warisan di Georgetown.   Langit cantik, cuaca cerah menyebelahi untuk aktiviti petang itu dan setaip orang perlu abaikan sengatan matahari. 
Masih tak berpeluang masuk ke sini, entah bila.  InshaAllah suatu hari nanti.
Malam hari ajak geng lepak sini kejap, kejap pun jadilah.  Nak cium bau laut.  Tempat santai kami petang-petang dulu di sini.
Kunjungan kali ini, semacam menjalani aktiviti yang pernah dilakukan dahulu.  Kalau boleh setiap inci bumi Penang nak dijelajahi seperti dahulu, tapi apakan daya, dua hari tidak memungkinkan semua itu.  Suatu hari akan balik kampung lagi ke sini.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment