Monday 21 May 2018

Thai-style Pumpkin Coconut Milk Dessert


Assalam...
Jadi teringin membuat manisan yang gunakan labu ini selepas melihat videonya.  Kalau teliti resepi dan cara buat manisan ini ada persamaan dengan cara menyediakan Butir Nangka (kelantan), Wade Kiping (banjar), Ketiri Mandi (bugis) yang menggunakan tepung pulut.  Cuma versi Thailand ini penggunaan tepung pulut sedikit berbanding labu, manakala penyediaan kuahnya adalah sama. 


Thai-style Pumpkin Coconut Milk Dessert
Sumber: Blogtamsu.com


Bahan-bahan
120gm labu - rebus hingga empuk dan haluskan
120gm tepung pulut
80gm gula merah / nipah
240ml santan pekat
1/2 sudu teh garam


Cara Penyediaannya
*  Campurkan tepung dengan labu yang telah dihaluskan.  Sebatikan adunan hingga tidak melekat pada tangan.
*  Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan sebesar guli.
*  Didihkan air dalam periuk dan masukkan bebola labu, jerang hingga bebola timbul (macam buat kuih onde-onde buah melaka tu).
*  Angkat bebola labu yang sudah terapung, tos dan ketepikan.
*  Dalam periuk lain, campurkan santan, gula dan sedikit garam.  Masak dengan api sederhana sampai gula larut.  Kuah perlu dikacau selalu untuk mengelakkan santan pecah.
*  Didikan kuah seketika dan masukkan bebola labu, atau boleh juga siramkan kuah ke atas bebola labu yang telah disiapkan dalam mangkuk.  
*  Tapis kuah jika dikuatiri ada benda asing daripada gula sebelum campurkan dengan bebola labu.
*  Hidangkan ketika suam atau sejuk.



Ini hasil orang yang tak boleh sabar, kuah tak sempat tapis dah masukkan bebola labu tu.  Nampak tak ada dot dot hitam kat tepi mangkuk tu, itulah benda asing daripada gula merah.


Yang masih buntu nak sediakan apa untuk berbuka boleh lah cuba manisan ini sebagai hidangan berbuka puasa petang nie.  Boleh dinikmati suam atau sejukkan terlebih dahulu di dalam peti ais.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment