Tuesday 19 August 2014

Tumbuk, Ketupat, Burasak Nasi & Pulut, Menu Tradisi Sambut Raya.

Assalam...
Pengalaman belajar beraya secara sendiri.  Bukan seorang diri tetapi sebagai tempat rujuk untuk adik-adik dan anak-anak sedara.  Selalu beraya di kampung ada mak yang menjadi pengarah projek untuk sediakan itu ini.  Daku menolong mana yang patut jer, sekarang dah jadi ibu keladi pening jugak dibuatnya.  Tak nak buat boleh jer, tapi kalau takde semua ini tak rayalah namanya.
Sedaya mungkin cuba diusahakan supaya tradisi itu berterusan.  Begitulah tekad jitu anak kampung untuk sambut raya di bandar.  Maka hutan batu pun diteroka untuk menjayakan misi ini.  Pertama mencari daun pisang, memang banyak daun pisang dijual dipasar, tapi tidak begitu sesuai digunakan untuk membalut burasak.  Hanya daun pisang nipah yang sesuai.  Teori asal boleh dan janji daun pisang tak boleh guna.  Yang dijual kat pasar tu dari macam-macam jenis pokok pisang, pisang monyet yang tumbuh dalam hutan pun ada.  Perlu pilih, tersalah guna daun pisang burasak boleh jadi kelat atau masam rasanya.
Penyedian burasak lebih kurang sama je dengan ketupat palas, kelupis ataupun pulut dakap dari segi penggunaan bahan pulut dan santan.  Cuma bahan untuk membungkus tu yang berlainan, agaknya bergantung pada sumber tumbuhan yang terdapat di kawasan atau sekeliling orang-orang kampung dulu.  So resepi tu mesti semua dah tahu kan?.
Antara tips untuk menyediakan burasak.
1.  Gunakan santan pekat yang fresh, didihkan terlebih dahulu bersama sedikit garam.
2.  Beras pulut direndam terlebih dahulu dan cuci sehingga bersih.
3.  Kukus pulut sehingga betul2 masak / tanak.  Tutup periuk pengukus ketika wap sudah keluar agar pulut cepat masak dan sekata.
4.  Gaul pulut bersama santan ketika masih panas dan pastikan setiap butir pulut terkena santan dan tidak berketul.
4.  Gunakan daun pisang muda (pucuk muda) untuk lapisan dalam. 
5.  Balutan dan ikatan perlu kemas dan ketat untuk mengelakkan burasak terburai ketika merebus.
6.  Burasak perlu di rebus sekurang-kurangnya 6 jam.  Kalau rebus guna dapur kayu lebih 6 jam pun takpe tapi pastikan api sentiasa ada.
7.  Pastikan air mencukupi dan menenggelamkan burasak.  Perlu ditambah bila air berkurang.
Untuk burasak nasi, boleh buat guna beras yang ditanak separuh masak dengan santan kemudian bungkus.  Tapi saya buat cara sonang, masak nasi dengan santan dalam rice cooker macam masak nasi lemak.  Gunakan daun pisang pucuk muda untuk balutan lapisan pertama.
Balut untuk kali kedua menggunakan daun pisang biasa.
Sebelum burasak nasi diikat, tekan terlebih dahulu untuk memadatkannya.  Dakapkan tiga (3) bungkus dan ikat kemas. 
Beginilah keadaan burasak nasi yang dah siap.  Lembut tetapi pejal dan wangi aroma dari pucuk daun pisang.
Ketupat daun kelapa ini ada macam-macam nama mengikut bentuk. Ketupat sate, sinto, jantung, bawang dan macam-macam lagi.  Saya hanya boleh menganyam 2 jenis, tapi tak tahu ape nama ketpat tu jantung ke, sate ke...entahhh.
Akan datang kena belajar buat ketupat yang guna daun palas dan daun pandan besar (giant) pulak.  Agak-agak sapa yang sudi menjadi sifu...
Ini pula cara untuk menyediakan burasak pulut.  Pulut yang telah digaul dengan santan perlu diurut memanjang sehingga betul-betul pejal dan ketat.
Selepas itu bungkus satu per satu dengan daun pisang dan ikat 3 keping bersama.
Ini rupa burasak pulut yang telah siap.  Lebih kurang pulut dakap atau kelupis orang Sarawak (komen member Sarawak yang datang rumah hari tu, cuma kelupis dibungkus menggunakan daun irik).
Tumbuk yang kontot2, sebab nak balut tu bergantung kepada saiz daun pisang.  Kalau dapat yang besar dan lebar bolehlah mengisi banyak bebola pulut tu.
Tumbuk yang dah masak, kalau dah susun cantik2 atas pinggan tanpa daun pembalut tu ramai yang menyangka ianya sebagai lemang.
Hidangan burasak dan tumbuk selalu dimakan bersama ayam masak lengkuas, rendang, bejabu' mahupun kari.  Kalau ketupat pulak biasa dipadankan dengan sup tulang, sup ayam atau coto.  Tumbuk dan burasak pulut jugak boleh dimakan bersama tapai pulut.
Wassalam.

4 comments: