Tuesday, 25 October 2016

Naik ETS ke Sungai Petani.

Assalam...
Sekarang ini kalau dengar jer ada saudara atau kawan yang sakit, tak boleh tangguh kena pergi melawat cepat-cepat.  Ambil pengajaran kisah-kisah sebelum ini, sudah ada pengalaman tak sempat melawat, dengar-dengar orang dah takde..... pergi untuk selama-lamanya.  Perasaan terkilan, bersalah dan ralat tu tak perlu nak cakap lagi dah bagaimana rasanya.

Ini perjalanan ke utara Sungai Petani, nak melawat Mak Andak, bermusafir bersendirian jadi fikir kena naik pengangkutan awam saja yang lebih mudah.  Nak naik flight kena turun Penang, jauh pula diorang nak datang ambik.  Bas macam dah selalu sangat.  Nasib teringat yang ETS dah ada sampai ke Padang Besar, boleh lah nak cuba sebab sebelum ini pernah naik dari Ipoh ke KL masa mula-mula dilancarkan dulu (masa tu tak lancar lagi, sekejap-kejap berenti sebab bekalan elektrik terputus).


Saya pilih perjalanan awal pagi dari KL Sentral, harga yang paling murah ke Sungai Petani dengan menaiki ETS Gold, yang lebih mahal lagi pun ada.  Cadangnya memang nak naik ETS pergi dan balik tapi tiket dari SP semua sold out.  Laku keras sebenarnya tiket ETS ini terutama pada hujung minggu. 


Tempat duduk saya dalam gerabak yang terdapat sekali kemudahan cafe dan surau, jadi mudah untuk saya tak perlu jalan jauh atau tercari-cari sarapan di gerabak lain.  Banyak masa saya habiskan lepak di cafe daripada duduk di tempat sendiri. 


Jarang-jarang dapat pengalaman bersarapan sambil menikmati pemandangan di luar seperti ini.  Rasa berbaloi sangat naik train kali ini.


Sambil bersarapan, dapat berkenalan dengan seorang kakak ini, yang datang dari Negeri Sembilan menuju ke Padang Besar.  Satu family melakukan day trip untuk shopping di Padang Besar menaiki ETS.  Wau macam syok jer idea itu, next time boleh  lah try.  


Sebenarnya saya sangat tertunggu-tunggu untuk menyaksikan pemandangan ini.  Pemandangan ketika keretapi melalui tasik Bukit Merah, macam membelah lautan.  Seakan mengimbau kembali kenangan pertama kalinya menaiki kereta api dan dapat menyaksikan pemandangan cantik seperti ini.  Walupun hampir 20 tahun berlalu tapi masih segar dalam ingatan


Ketika itu perjalanan dari KL ke Butterworth menaiki keretapi Senandung Pagi.  Sebab nak sangat merasai pengalaman naik keretapi, maka bertabah lah ketika itu walaupun ada penyesalan dalam hati. Bertolak dari stesen Kuala Lumpur jam 7 pagi dan sampai ke destinasi hanya pada jam 4 petang, faham sajalah keadaan train ketika itu.  


Tak habis melayan perasaan, tak sedar train dah sampai stesen Sungai Petani.  Sampai mengikut waktu yang dijadualkan, rasa macam sekejap sangat lah pula.


Lokasi stesen ETS di SP ini pun sangat strategik sebenarnya sebab berdekatan dengan UTC  Sungai Petani dan Hotel Seri Malaysia.  Jadi kalau selepas itu nak meneruskan perjalanan atau mencari penginapan senang kan, boleh dapatkan bas atau teksi dari sini.

Ketika sampai saya masih berkira-kira nak call diorang datang ambil atau tidak.  Kalau nak merayap di Pekan Sungai Petani pun sempat lagi, tapi rasanya tak perlu kot, sebaliknya nak teruskan adventure lagi.  Cari teksi atau kereta sapu untuk balik ke kampung Sidam Kiri sendiri, buat kejutan pada Mak Andak.
Wassalam.

1 comment: