Thursday, 13 October 2016

Agar-agar Kelapa Muda



Assalam...
Hasil ringan mulut (mulut tumpis sebenarnya) bersembang dengan makcik penjual kelapa dekat tempat saya, dapat isi kelapa muda yang sangat banyak.  Sebenarnya lama tak bertanya khabar dengan dia, makcik tu dulu ada kedai runcit, setiap kali singgah beli barang sempatlah bertegur sapa, kadang saya minta pesan beli barang dari pasar borong.  Sekarang kedai runcit dia dah jual pada orang lain dan dia buka gerai jual air kelapa muda setiap petang.  Agaknya jual air kelapa muda lebih masyuk kot dari buat kedai runcit?..
 



Isi kelapa muda ini, adalah lebihan dari pelanggan makcik.  Ada pelanggan tu hanya mahukan air kelapa saja isi mereka tinggalkan.  Ini yang hanya sepetang punya jualan, katanya dah puas dia makan dan buat kuih kadang diberikan kepada jiran-jiran.  Kebetulan saya singgah petang tu, dia offer memang rezeki saya lah kan.  Mula saya tak terfikir nak buat apa dengan isi kelapa yang terlalu muda tu, kalau keras sikit bolehlah parut buat inti kuih.  Makcik tu pula yang tolong fikirkan buatlah jelly kelapa atau agar-agar katanya.  Siap dia offer nak belahkan buah kelapa dan tolong hantarkan ke rumah lagi.
 



Berguna juga sagat aka parut aka pengkeruk kelapa muda (betul ke nama benda tu) yang saya beli di gerai kraftangan R&R Sungai Perak.  Masa jumpa benda ini satu hal, minat tengok tapi tak tahu kegunaan untuk apa sampailah en.Abe yang berdiri kat belakang cakap beli lah ini kan untuk sagat kelapa muda.  Oh iyee ker.
 



Setelah puas menyantap kelapa muda bersama gula merah bakinya saya buat agar-agar.  Nak buat jelly takde bekas kecil-kecil lagipun air kelapanya dah habis, jadinya buatlah agar-agar mengikut citarasa tekak sendiri.
 


Agar-agar Kelapa Muda
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
20gm serbuk agar-agar (plain)
1 litre air kelapa muda
1 litre air
Gula pasir secukupnya
Sedikit pewarna hijau / air pandan
Parutan isi kelapa muda secukupnya


Cara Penyediaannya
*  Masak agar-agar bersama gula, air kelapa dan air hingga mendidih dan gula larut.
*  Asingkan suku bahagian agar-agar yang telah dimasak dan campurkan dengan pewarna hijau.  Teruskan memasak dengan api perlahan.
*  Masukkan parutan isi kelapa muda ke dalam agar-agar yang berwarna asal (plain) dan biarkan mendidih seketika.
* Tuangkan lapisan agar-agar plain ke dalam acuan yang telah di basahkan terlebih dahulu.
* Bila dah agak keras sedikit, tuangkan agar-agar yang berwarna hijau di atas bahagian putih tadi.
*  Biarkan sehingga suam dan beku kemudian boleh disejukkan ke dalam peti ais.
*  Sedap dinikmati ketika sejuk.
 


Sebab dapat hasil agar-agar yang banyak, boleh lah dibawa ke tempat kerja dan pula en.Abe boleh je nak makan sama.  Jadi takdelah benda tu menjadi pekasam dalam peti ais kan.  
Wassalam

No comments:

Post a comment