Assalam...
Cerita sebelumnya boleh baca di sini dan di sini. Hari ke-4 segala cerita berkisar di Semporna sebab hari ini kami nak pergi island hopping, walaupun tak sesempurna seperti yang diimpikan. Kita hanya mampu merancang Allah jugak pelaksana yang terbaik untuk umatNya, kena redho.
Awal pagi dah bersiap untuk check out dari Dragon Floating sebab jadual kami bermula jam 8 pagi untuk berkumpul di jeti. Jeti tu terletak bersebelahan dari tempat penginapan kami saja. Masih awal semasa sampai di jeti, kami maklumkan kepada awak-awak bot nak pergi sarapan dahulu di restoran yang terdekat.
Dalam package yang kami ikut, ada di sediakan makanan tengah hari dan air minuman. Namun sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak masuk angin perut tu perlu makan dulu. Sarapan harus yang berat macam orang nak pergi bendang. Bila di lambung ombak kalau nak muntah pun kurang hasapnya berbanding perut kosong.
Hari ini package di uruskan oleh Fit, kami ikut saja dan dalam package tu cover untuk 3 buah pulau (harga termurah yang kami dapat katanya). Bagi saya nak pergi pulau lain tak kisah sangat, janji dapat pergi ke Bohey Dulang.
Tujuan utama nak pulau Bohey Dulang, nak hiking ke puncak bukit. Malangnya, sedih nak bergolek-golek menangis rasa kat situ. Terus takde mood nak buat apa-apa, muka yang manis dan bertukar jadi masam kelat, tiba-tiba muncung dah panjang sedepa. Kecewa sangat setelah dimaklumkan oleh pihak taman bahwasanya hari ini semua pengunjung tidak dibenarkan untuk hiking ke puncak bukit. Atas sebab-sebab keselamatan kerana keadaan track yang basah dan licin kerana hujan lebat semalam.
Kepala otak ini masih tak boleh terima, bila masa hujan erk tak dengar pun. Sah tidur mati masa tidur kat floating semalam. Boleh jadi juga di pekan Semporna tak hujan tapi hujan hanya turun di pulau Bohey Dulang saja. Keputusan adalah muktamad tiada belas kasihan, bagilah alasan datang dari jauh ke apa ker, tetap tidak di akan dilayan. Ramai lagi pelancong yang datang dari jauh Rusia, Belanda, Korea, Jepun, China kalau sekadar ko orang Malaysia tak payah nak poyo sangat.
Nak menawar kedukaan, buat-buat sedapkan hati melawat galery dan pusat pembiakan kima, bersembang-sembang dengan pegawai yang menjaga di situ. Pegawai tu bagi satu tips yang sangat berguna kepada sesiapa yang hendak melawat pulau-pulau di Semporna. Masih berharap sinaran mentari pagi cepat keringkan track yang basah dan penjaga taman tu akan cakap ok sekarang boleh naik sebelum masa kami tamat di sini. Tapi hampeh sampai ke sudah penjaga taman buat senyap. Hati tak rela kena balik juga ke jeti. Sebagai pengubat duka, guide kami suruh snorkeling di sekitar jeti selama sejam sebelum ke pulau lain.
Keluar dari Bohey Dulang, kami singgah di perairan Pulau Tatagan. Mulanya nampak tenang dan damai jer dengan pemandangan rumah-rumah atas air di perkampungan bajau laut (Sea Gipsy) ini. Namun bila bot kami merapat dan berlabuh, satu persatu sampan-sampan kecil ini muncul mengelilingi bot kami. Sampan kecil yang dikayuh oleh kanak-kanak kecil, satu pengalaman yang jarang-jarang dapat dirasai. Semakin lama semakin ramai dan ada antara mereka memanjat tebing bot meminta minuman, makanan, duit atau apa saja. Tak perlu takut sebab keadaan masih terkawal mereka tak menyerang dengan ganas pun, seeloknya sediakan biskut atau gula-gula bagi mereka.
Terhibur dan rasa sedih pun ada bila tengok anak-anak bajau laut ini. Sebenarnya saya tak tahu dan tak pernah tahu ada aktiviti sebegini dalam mana-mana package island hopping di Semporna. Kalau tahu dah sediakan gula-gula dari darat tadi. Kesian pula tengok apabila ada antara kanak-kanak tu yang menagis kerana tidak mendapat sebarang buah tangan dari pengunjung.
Selepas selesai mengagihkan makanan dan ronda-ronda naik sampan dengan anak-anak bajau laut ini, kami ke Pulau Sibuan. Di sini aktiviti lebih santai, nak mandi laut boleh, nak pergi beramah mesra dengan bajau laut pun boleh tetapi kami dinasihatkan lebih baik jangan. Sekali lagi kami pergi snorkeling dan memberi makan ikan sebelum aktiviti kami berakhir jam 2.30 petang di Pulau Sibuan.
Lebih kurang jam 4 petang kami sampai di Pekan Semporna semula. Bersihkan diri, makan dan bersiap untuk mulakan perjalanan seterusnya ke Sandakan. Tetapi sebelum itu mencari makanan laut segar untuk di bawa ke Sandakan terutama ketam dan sotong. Dek kerana perlu mencari kotak dan ais untuk semua tu, kami keluar dari Semporna selepas waktu Isyak. Malam itu memang tiada apa pemandangan yang boleh disaksikan, mata bertahan semata-mata menemankan sang pemandu.
Akhirnya tewas juga mata selepas memasuki kawasan Kunak. GPS bergerak dan tukang sembang dah tertidur, pemandu tersilap jalan hingga masuk tawaf di bandar Lahad Datu, kira bonus lah tu. Pemandu kami kata masih boleh bertahan ketika di Lahad Datu, jadi teruskan lagi pemanduan hingga ke Kampung Paris 3 Kinabatangan. Singgah sini minum dan makan, masih teringat-ingat sedapnya soto banjar yang saya makan malam itu. Puas melepas lelah kami teruskan perjalanan ke kampung saya di Batu 12 Sandakan yang mengambil masa lebih kurang sejam lebih dari Kinabatangan.
Wassalam.