Tuesday, 29 September 2020

Pulut Sambal @ Pulut Serunding Kelapa

Assalamm...
Atas permintaan penggemar pulut, minta dibuatkan pulut sambal nak bertukar-tukar pulut dengan kawan katanya.  Kawan tu nak makan pulut sambal sementara pulut tukarannya nanti adalah ketupat palas.  Mula saya tanya dulu supaya tidak keliru dan tidak tersalah buat, sebab kadang keliru antara pulut sambal dan pulut inti. Pulut tu nak yang inti manis atau masin, dia kata nak yang masin bukan yang manis.  Pulut sambal lah kalau begitu.   Dua- dua jenis pun selalu makan tapi tak pernah buat sendiri. 


Kawan tu bagi syarat inti dia tak nak kalau letak udang kering sebab ada elergi katanya.  Akan kuranglah sikit rasanya kan bila tak letak udang kering, saya tukar letak ikan bilis.  Resepi yang kita rujuk adalah dari blog cik matahari dan kita copy pastekan di sini bersama tipsnya sekali.  Cuma pulut tu kita kukus tak masak dalam periuk macam cik matahari buat.  Ini pun permintaan khas sebab orang tu lebih suka makan pulut yang sedikit keras. 



Pulut Sambal
Sumber: Cik Matahariku


Bahan-bahan Untuk Sambal (Serunding)
1 1/2 biji kelapa parut
3 sdb gula (ikut hampa suka manis macam mana)
1 sdt garam (membukit)
1/4 cawan air asam jawa
Bahan perasa jika suka
4 atau 5 helai daun limau purut (supaya lebih wangi)
1 cawan air
2 senduk minyak masak untuk menumis


Bahan kisar
15 tangkai cili kering (kalau tak suka pedas sila kurangkan)
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 sdb biji ketumbar
4 batang serai
4 sdb udang geragau kering
Kisar semua bahan ini hingga halus




Cara Penyediaannya
* Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
* Masukkan gula,garam dan daun limau purut dan tumis sampai betul-betul terbit minyak dan garing.
* Masukkan air dan kelapa parut.Guna api perlahan masak hingga serunding kering
* Sesuaikan rasa.

Tips: Selepas kisar semua bahan di atas, masukkan 2 sdb jintan manis (kisar jangan sampai halus).  Kalau jintan ni tumbuk guna lesung batu lagi best, tak payah halus sangat sebab bila kita makan inti tu tergigit-gigit rasa jintan tu yang buat sedap.

Bahan Untuk Pulut

3 cawan pulut

3 cawan air

1 sudu besar minyak masak dan secubit garam.


Cara Penyediaannya
* Masak dalam periuk elektrik seperti memasak nasi (guna sukatan diatas).
* Jika tanak dalam periuk biasa, sukat air ikut jari ruas yang pertama, iaitu sukat atas beras atau 1/2 ruas jari sahaja. 
* Letak secubit garam, masukkan satu setengah sudu minyak masak supaya pulut nampak berkilat bila dah masak. Buka sedikit tudung periuk supaya senang nak pastikan air sudah hampir kering nanti.
* Bila air dalam periuk hampir kering, kacau pulut perlahan bagi rata dan supaya tidak berkerak.
* Kecilkan api dan tutup rapat tudung periuk, tutup api bila pulut sudah lembut.
* Sejukkan sebentar dan bolehlah dibentuk bulat-bulat sebelum disalut dengan sambal (serunding kelapa tadi sebelum dihidangkan.
Selamat menjamu selera untuk penggemar pulut-pulut sekalian. 
Wassalam.

4 comments:

  1. Baiknya hati melayan kehendak selera orang tu heheee....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lepas ini dia kena layan selera kita pulak...hehehe

      Delete
  2. Replies
    1. akk pun baru belajar buat, Alhamdulillah Allah bagi jadi.

      Delete