Wednesday, 11 May 2016

Petai Jeruk


Assalam...
Mari teruskan cerita busuk kita, dah alang-alang busuk kita sebarkan kebusukkan itu pada orang lain.  Ini projek menjeruk petai bersama bapak mertua.  Dapat tahu beliau pandai buat petai jeruk sebab beliau pernah bekalkan dahulu.  So bila jumpa orang jual petai banyak-banyak dan murah, terus teringat pada bapak mertua, ini peluang nak belajar buat petai jeruk dari beliau.


Kira pak mertua ada genglah boleh makan petai jeruk.  Isteri dan anak-anaknya tiada seorang pun yang suka makan petai jeruk, mereka lebih suka makan yang dibuat ulam mentah mahupun yang dimasak sambal.



Rebus sekejap sahaja, jangan terlalu lama untuk mengelakkan isi petai terlalu masak dan lembek.  Walaupun dijeruk, tetapi sedap sekiranya isi petai masih ranggup.
 


Sebesen petai yang telah direbus dipicit-picit untuk keluarkan isinya.  Tidak terasa lama sebab ralit dan  excited untuk menuntut ilmu, walaupun sekadar ilmu menjeruk petai.


Saya suka meleraikan isi petai daripada kulitnya ketika masih suam, seperti satu terapi.


Petai Jeruk
Sumber: En. Nazri

Bahan-bahan
Petai papan
Air masak
Garam

Cara Penyediaan;
* Sediakan petai, basuh dan asingkan tangkai.
* Susun petai dalam periuk, masukkan air dan rebus sekejap.
* Elakkan merebus terlalu lama, agak senang isi keluar apabila ditekan pada kulit.
* Keluarkan dari air panas, sejukkan seketika.
* Picitkan kulit petai untuk mengeluarkan isi petai.
* Sediakan air masak yang dicampur dengan garam, rasa masin mengikut rasa masin lidah masing-masing.
* Campurkan isi petai dengan air garam tadi.
* Letak petai dalam bekas bertutup, dan bolehlah digunakan selepas beberapa hari disimpan.
* Untuk lebih tahan lama boleh letakkan bekas petai jeruk  ke dalam peti sejuk.

 
Siapa yang suka busuk-busuk petai jeruk tu, bolehlah awetkan petai yang berlebihan menggunakan resepi ini.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment