Assalam...
Priceless moments with Mak Andak ketika saya melawatnya beberapa bulan lepas, saya dapat belajar buat ketupat palas. Macam dia buat kelas toturial kat saya seorang, sebab kami berdua saja di rumah ketika itu. Nak anyam daun palas tu nampak mudah main selit-selit saja, tapi salah selit tak jadi jantan seperti dikehendaki. Menurut Mak Andak, menganyam daun palas lebih mudah berbanding menganyam kelonsong ketupat daun kelapa. Kalau daun kelapa dah boleh buat, walaupun dapat anyam dua jenis saja, tak kan yang mudah ini tak boleh buat kan?.
Nampak jer mudah, tapi tersilap jalan ketupat ku anyam jadi betina. Saya tanya Mak Andak, awat kalau betina tak boleh guna kah, kalau kita masak dia terbuka dak daun tu?.
Ish takdak lah lagu tu, tapi nampak tak cantik lah.
Itu kelongsong yang dah dianyam, Mak Andak buat sat ja dah banyak. Adalah dua tiga helai yang saya buat, tu pun herot-berot. Boleh lah tu kata Mak Andak, sat lagi buh pulut cantik lah.
Mak guna pulut susu, jadi rendam tak payah lama sebab pulut tu jenis cepat lembut. Cuci dan tos. Petang itu sempat tolong parutkan kelapa untuk buat pulut. Ambil santan dari 4 biji kelapa kecil untuk 2 kilo pulut. Kalau guna santan beli, 1kg santan untuk 2 kilo beras pulut.
Masak santan terlebih dahulu bersama sedikit garam. Bila dah mendidih masukkan beras pulut. Tanak beras dan kacau hingga santan kering (beras pulut separuh masak). Angkat dan letak dalam loyang untuk sejukkan pulut. Mak Andak kata kalau buat ketupat yang campur kacang putih pun sedap jugak. Kacang perlu direndam dan rebus sekejap tak perlu sampai empuk, dan campur bersama beras pulut.
Bila pulut dah suam-suam kuku, boleh lah isikan dalam kelongsong daun palas tu. Isi kena bagi kemas, tekan-tekan bagi penuh semua ruang dan kemaskan mengikut anyaman yang mula tadi.
Saya cuba jugak isi, tapi macam susah jer nak kemaskan terutama ketika nak anyam balik dan simpulkan daun tu. Takut tak kemas dan isi ketupat boleh keluar semasa merebus.
Saya tolong gunting lebihan daun palas tu jer, lepas cuba isi pulut tapi tak cantik kejadiannya ketika kemaskan simpulan. Lepas itu rebus ketupat, letak air paras isi periuk saja. Rebus tak lah lama sangat macam merebus ketupat daun kelapa tu. Rebus hingga air kering, tapi awas jangan sampai hangus.
Note:- Projek ini kami buat berdua saja dengan Mak Andak petang tu. Orang lain berkampung kat rumah Kak Mah, sebab ada makan-makan kat sana. Ketupat tu hang bawa balik semua, separuh kirim kat orang johor (Nanie), depa sini nak makan depa boleh buat lain. Begitu sayang Mak Andak pada kami, kadang-kadang lebihkan kami daripada anak kandung dia sendiri .
Wassalam.
No comments:
Post a Comment