Assalam...
Tahun ini pasaran agak melimpah dengan lambakan durian, musim kali ini menjadi serentak dari semua penjuru semenanjung kan, utara tanahair, selatan dan timur. Tahun-tahun sebelum ini, rasanya durian mahal jugak sebab bekalan durian di pasaran secara bertahap dan berkala, saya ingat lagi tahun lepas beli sebiji (RM75) untuk bapak tapi rasanya sangat mengecewakan.
Awal musim hari tu dimulakan makan durian dengan pulut yang adik ipar belanja untuk kami makan ramai-ramai. Durian kampung sekilo RM10, dalam 10kg juga lah mereka beli.
Itu budak yang tak suka dengan durian, buat muka dan lari bila nak suap dengan durian.
Dua minggu lepas kami balik kampung (Pahang) salah satu tempat lubuk durian. Balik ramai-ramai, berkumpul makan durian kali ini beli dengan harga RM3 sekilo. Durian kampung gred yang bagus RM6 (harga hujung minggu, tinggi sedikit sebab ramai memborong) kalau hari biasa boleh dapat lebih murah.
Mertua angkut sebakul (lebih 15 biji) durian yang gred rendah sesuai untuk buat tempoyak dengan harga RM10. Kalau 2 minggu lepas dah ada stok 20kg tempoyak, setakat hari ini akan bertambah lagi lah stocknya. Tempoyak bahan masakan yang wajib ada sepanjang tahun bagi orang Pahang, untuk gulai dan sambal. Lepas ini kita pun akan dapatlah bekalan sebalang dua juga.
Pak mertua ajar buat tempoyak dengan hanya letak garam pada isi durian. Kacau bagi rata dan simpan dalam bekas / botol. Jika durian tu jenis berair, kena sejat air tu dulu baru gaul dengan garam.
Durian yang kami bawa balik penuh bonet jugak lah dari kampung. Dalam perjalanan menempuh jem dan panas dah ada kulit yang terbelah, nak selamatkan agar masih boleh dinikmati segar kena buka dan bekukan. Sekarang jalan raya jem bukan time raya saja tau, tapi musim durian pun jalanraya jem juga. Salah satu.
Orang Malaysia ni memang bertuah, musim buah bukan hanya boleh makan durian, tapi sekali pakej dengan buah nadir yang lain. Bersabar sajalah perut akan disumbat dengan macam-macam jenis buah, selagi tidak membawa mudarat it's ok makanlah sepuasnya.
Musim begini juga macam-macam mitos dan fakta akan akan keluar sehingga ada yang menjadi takut. Sejauh mana benarnya wallahualam, sebab itu kita perlu ada ilmu dan kenali diri sendiri.
Wassalam.