Pernah makan nasi lemuni? Kaedah penyediaan nasi lemuni macam nasi lemak juga cuma ada campuran air daun lemuni masa menanak nasi. Daun lemuni tu unik, bahagian belakang daun warna ungu itu yang memberi warna gelap pada nasi yang kita masak. Daun lemuni tu macamana? alamak google lah ye, tak sempat pula nak diphoto daun yang saya dapat hari tu. Jauh ambil dari Sepang, umah sedara ayah mertua (baru kenal) tapi tak malu boleh minta daun lemuni dia masa nak balik.
Sudah lama kami teringin nak makan nasi lemuni, tapi tak dapat-dapat. Asyik teringat ketika tinggal di Penang, kerja di Lebuh Pantai, boleh kata setiap hari kami beli nasi lemuni sebagai sarapan. Beli dari seorang pakcik penjaja depan pejabat pos besar, pakcik tu pula suka menyakat. Siapa nak sentiasa awet muda rajin-rajin lah makan nasi lemuni. Bukanlah percaya sangat dengan ayat manis dia tu, tapi sebab memang kami suka dengan rasa nasi lemuni ini, macam juga nasi kerabu atau nasi ulam memang cukup suka.
Sebenarnya nak makan nasi ini, lauk sampingan tu cukup dengan yang sederhana seperti sambal tumis, telur atau ikan goreng berserta sedikit ulam timun atau tomato. Tapi jika extra rajin nak gu kan dengan lauk ayam atau daging takde masalah, boleh juga.
Bahan-bahan
2 cawan beras
2-3 gengam daun lemuni - blend untuk dapatkan airnya
2 cawan santan
1 sudu lada hitam
2-3 biji bawang besar - kisar
4.5 cm halia - hiris halus
Garam secukupnya
Cara Penyediaannya
* Blend daun lemuni untuk dapatkan airnya
* Campurkan semua bahan ke dalam periuk (rice cooker), masak seperti masak nasi lemak atau nasi putih.
* Boleh hidangkan dengan sambal tumis, telur rebus, ikan goreng atau ikan masin dan hirisan timun.
Masa buat nasi ini, tak dapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli rumah. Mereka tak biasa memang sukar sikit mereka nak terima lagi satu mungkin sebab tiada lauk ayam. Tak apalah cukup untuk melepaskan rindu dendam saya seorang akan nasi lemuni sambil mengenang kisah-kisah lama semasa tinggal di Penang dulu.