Assalam...
Nak habiskan cerita balik kampung tu hari, dah berkurun tak habis. Macam tak balik dah gamaknya, in sha Allah sentiasa akan balik tapi nak buat cerita lain pulak lah kan. Kemana lagi nak bawa anak cucu berjalan ke sini lah, lagi pun dekat jer dari bandar Sandakan tu, termasuk salah satu point dalam kawasan Sandakan Historical Trail. Kalau rajin boleh ikut kembara macam yang disarankan dalam peta Jejak Warisan tu.
Rumah siapa yang kita lawat nie nek, takde pun dalam buku sejarah. Dalam sejarah yang korang belajar memang tak ada, tapi kenalah datang untuk ambil tahu siapa dia Agnes Keith nie. Best juga kalau ada rumah kayu macam rumah si Agnes nie kan nek, berangan pula dah cucu aku nie.
Ini lah dia si Agnes tu, pernah kan dengar nama gelaran Sabah "Land Below The Wind" dia lah yang tulis buku tu. Melalui hasil penulisan beliau inilah secara tak langsung Sabah menjadi popular pada orang luar.
Antara buku-buku karangan Agnes Newton Keith yang dipamerkan. Buku-buku karangan beliau berkisar tentang kehidupan keluarga mereka di negeri Sabah ketika sebelum, semasa dan selepas perang dunia kedua. Banyak menceritakan adat dan budaya masyarakat tempatan, pribumi Sabah ketika itu dan keindahan alam semulajadi negeri Sabah.
Susunatur ruang di tingkat bawah, ada ruang untuk dining hall dan living hall. Tempat mereka beraktiviti sekeluarga ataupun ketika menerima tetamu.
Model peti sejuk Kerosene Electrolux yang dibawa masuk oleh Mr dan Mrs. Martin Johnson pada tahun 1935. Mereka adalah pasangan pengembara dan photografer yang membuat kajian tentang hidupan liar dan adat budaya pribumi Sabah. Peti ais yang tidak menggunakan elektrik untuk berfungsi sebagai alat bantuan keselesaan dalam cuaca tropika yang panas.
Sebuah bilik di tingkat atas dikhaskan untuk pameran barangan-barangan hiasan dan peralatan penting masyarakat tempatan ketika itu. Mesin taip lama yang diletakkan di situ seakan simbolik bahwa tempat itu digunakan sebagai bilik bacaan atau pun bilik kerja penghuninya.
Relik kaki gajah liar yang ditembak oleh Harry Keith di batu 15, Kampung Gum-gum Sandakan pada tahun 1932. Mengikut catatan sekarang kaki gajah itu berada dalam simpanan anak perempuan Agnes, Jean di Seattle Amerika Syarikat.
Ruang kamar yang luas berada di tingkat atas, dilengkapi dengan beranda.
Fungsi dan susunatur dalam kamar tidur sebagaimana yang digambarkan oleh Agnes.
Sebuah bilik audio visual disediakan untuk pelawat, tapi sayang ketika kami berkunjung tiada tanyangan. Agaknya kena tempah atau perlu cukup corum untuk tanyangan kepada pelawat yang datang.
Selepas pasangan Agnes Keith meninggalkan Sabah pada tahun 1952, rumah ini masih dijadikan sebagai tempat pegawai konservasi hutan seterusnya sehingga tahun 1968. Rumah ini telah mengalami kerosakan dan bersemak samun setelah dikosongkan.
Kerja-kerja membaik pulih dimulakan pada 6 April 2001 dan ia dibiayai
oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan. Manakala, Muzium Sabah adalah sebagai koordinator projek. Ini merupakan anugerah negeri Sabah kepada Agnes Keith yang dianggap
sebagai duta kepada Sabah melalui bukunya, Land Below The Wind itu.
Wassalam.