Assalam...
Musim hujan ini, cepat sangat rasa lapar, kalau tak ada idea nak buat lauk simple dan mudah boleh cuba yang ini. Confirmed lepas makan, mata kuyu-kuyu layu gitu, lepas tu boleh lah tarik selimut semula. Kita melengkau macam ulau sawah bawah selimut, tak yah susah-susah pergi panjat pagau yek.
Menu ini hasil sembang-sembang dengan uncle Phang, suatu ketika dahulu. Macam lama sangat dah kan? memang dah lama, cerita ketika cencaluk dan budu belum masuk dalam pasaraya. Jika nak stock kena lah kirim kepada sesiapa yang pergi ke negeri asal barang tersebut. Dah lama juga tak dengar khabar tentang beliau sejak dia berhenti kerja di tempat lama, berhenti ketika tahap maksima yang layak untuk bekerja dan syarikat sudah tidak boleh cover insurans perkhidmatan beliau. Moga dia sihat-sihat saja dan masih dapat teruskan hobi dia gi mengail ikan di tali air tepi bendang di Selama Perak,
Dia tahu saya ini kaki jalan, merayap aje pantang ada cuti. So suatu hari dia pesan kalau pergi Melaka jangan lupa beli cencaluk untuk dia. Saya pun pelik jugak, walaupun uncle Phang itu nampak macam Cina totok utara, tapi suka pula makanan orang selatan. Pertanyaan saya nak buat apa dengan cencaluk, maka terbongkarlah menu kesukaan beliau yang satu ini. Sedap katanya kalau masukkan dalam telur dadar, maka cencaluk pemberian kawan yang menghuni peti ais dekat setahun itu bertukar tangan dan saya dapat resepi Telur Dadar Cencaluk. Seperti biasa kegemaran suka peram resepi, lepas 10 tahun baru nak buat.
Telur Dadar Cencaluk
Sumber: Uncle Phang
Bahan-bahan
4 biji telur
2 sudu cencaluk
3 biji bawang putih - hiris
2 biji bawang merah - hiris
Cili padi - hiris (sukatan ikut level pedas yang disukai)
Tomato - potong dadu
Daun sup - hiris
Bahan perasa (jika suka)
Sedikit minyak untuk menumis
Cara Penyediaannya
* Pecahkan telur dalam mangkuk dan pukul sedikit hingga sebati.
* Campurkan semua bahan kecuali minyak dan gaul sebati.
* Panaskan minyak di kuali atau boleh guna non stick pan. Masukkan telur dadar dan tutupkan kuali.
* Terbalikkan perlahan-lahan agar telur dadar tidak pecah.
* Sajikan bila sudah masak.
Orang dapur bagi komen, sekali pandang macam frittata (takpe kita antrabangsakan sikit yang local tu). Rasa pun not bad, sangat bagus untuk membangkitkan selera makan. Satu lagi tips, sila masak nasi banyak-banyak ya.
Wassalam.