Thursday, 31 May 2018

Nasi Goreng Abe


Assalam...
Ada orang claim nasi goreng dia menjadi permintaan ramai di kalangan kawan-kawan sekerjanya.  Katanya dia cuba nak goreng nasi yang sama macam kakak warung di Bukit Tinggi, Sumatera itu buat.  Sebab sedap sangat nasi goreng tu bagi dia, rupanya malam last tu dia diam-diam pergi order lagi dan duduk tepi dapur sambil tengok kakak tu goreng nasi.


Nasi Goreng Abe
Sumber: En. Abe

Bahan-bahan
2 cawan nasi putih
1 biji telur
1 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 sudu makan cili boh
5 biji cili padi - ketuk2
Sayuran - hirisan kobis dan lobak merah
Minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa.



Cara Penyediaanya
*  Panaskan minyak, masukkan telur dan gaul bagi telur selerak.
*  Masukkan hirisan bawang, cili boh dan cili padi.  Tumis hingga cili boh masak.
*  Masukkan hirisan sayur-sayuran berserta nasi.  Gaul rata dan tambahkan garam, gula dan serbuk perasa tambahan.
*  Gaul sebati dan sesuaikan dengan rasa.
*  Angkat dan hidangkan.
 


Nasi goreng lebih mantap kalau digandingkan dengan sebarang sambal, macam dalam gambar sambal tempoyak petai.  Sebenarnya saya baru jer betul-betul nikmati nasi goreng abe nie, hari tu rase macam syok sendiri jer tukang goreng tu.  Dah cuba menambah-nambah kalah orang yang berlapar dahaga sepanjang hari.


Sebenarnya kami jarang hidangkan nasi goreng untuk berbuka, selalu nasi putih dengan lauk-laukya.  Tapi kalau yang suka nasi goreng lagi mudah kan sebab semuanya dah lengkap dalam satu pinggan tu.  Sesuai bagi yang buntu fikir nak masak lauk apa, nak hidang masa bersahur pun ok, ringkas tapi penuh khasiat.
Wassalam.

Thursday, 24 May 2018

Sambal Tempe Ikan Bilis


Assalam...
Sambal tempe dan ikan bilis begini selalu menjadi kegemaran orang bujang atau pelajar sebab boleh dijadikan bekalan untuk beberapa hari.  Malas nak masak atau cari lauk kat luar, boleh jalan makan sambal ini dengan roti.  Pandai cakap sebab pernah alamai pengalaman begitu dulu, sekarang pun rajin sikit saja, tu pun kadang-kadang boleh dikira dengan jari.  Geng budak hostel dulu, dak Ana yang jadi pembekal sambalnya, datang dari Melaka tu, saya beli roti saja lah tak pun kirim orang beli nasi putih. 


Bila anak buah saya di kampung bagi bekas berisi sambal tempe ikan bilis, untuk disampaikan kepada anak bujang dia.  Tiba-tiba kenangan lama mengusik jiwa, tersenyum seorang-seorang acik ni.


Sambal Tempe Ikan Bilis
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
5 pkt tempe - hiris nipis
200 gm ikan bilis
3 sudu cili giling
6 biji bawang merah / besar
6 biji bawang putih
10 cili padi - tambah jika nak pedas
1 inc. belacan (jika suka)
1 inc. halia 
1 keping asam gelugor
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara Penyediaannya
*  Goreng garing ikan bilis dan tempe, toskan minyak.
*  Blend halus bawang putih, merah, belacan, cili padi dan halia.
*  Panaskan minyak, tumis bahan blend hingga wangi. 
*  Masukkan cili giling tumis hingga naik minyak.  Tambahkan asam keping (air asam jawa pun boleh), garam dan gula.
*  Sesuaikan rasa dan masukkan ikan bilis dan tempe yang telah digoreng terlebih dahulu.
* Jika nak simpan sambal lama, masak kering-kering atau masukkan ikan bilis dan tempe ketika sambal dah pekat.
*  Siap boleh dihidang.
*  Untuk tahan lama, sejukkan betul-betul baru tutup bekas penyimpanan.



Masih nak mengenang kenangan lalu,  di pagi raya makan roti cicah sambal bilis dan tempe.  Tak merungut pun, tapi syukur dengan kenangan macam tu mendidik diri dan hati jadi cekal.
Wassalam.

Ayam ala Phad Phed


Assalam...
Kawan-kawan dah masak ker untuk buka puasa petang ini?  Saya setakat ini belum dapat masak awal waktu, masak hanya waktu malam untuk juadah bersahur atau makan jika lapar lepas balik teraweh.  Untuk berbuka makan ala kadar dan minum air saja.  Ayam masak phad phed (pat pet) ini mak mertua selalu sediakan cuma dia tidak mencampurkan sebarang sayur.  Cari juga info bagaimana menu phad phed ini disediakan di Thailand.  Banyak video yang sangat lihat mereka menggunakan paste (Red curry paste), diletakkan sedikit sos ikan, santan dan ada yang mencampurkan dengan sayuran seperti kekacang (sweet bean), daun selasih, terung hijau bulat atau terung pipit.



Ayam ala Phad Phed
Sumber: Nang Teh


Bahan-bahan 
1/2 ekor ayam - potong kecil
1 labu bawang putih
2 biji bawang merah
2 inci. lengkuas
1 inci halia
4 batang serai - 2 batang titik, 2 batang blend
1 inci. kunyit hidup
10 biji cili padi - tambah jika suka yang lagi pedas
Daun limau purut
1 biji cili merah - hiris
Minyak untuk menumis
Garam secukupnya
Gula secukupnya
2 keping asam gelugor
Sayur - kacang panjang & terung, boleh ganti dengan sayur lain sperti lobak merah atau bunga kobis.

Cara Penyediaanya
*  Blend halus cili, halia, lengkuas, bawang merah, bawang putih, 2 batang serai, dan 2 batang lagi hanya diketuk-ketuk. 
*  Tumiskan bahan blend hingga wangi dan masukkan ayam.  Tambahkan sedikit air dan biarkan mereneh hingga masak.  Lebihkan air jika suka yang berkuah.
*  Boleh juga terus masak dengan mencampurkan ayam, bahan blend dan air seperti mak mertua selalu buat, sebab diet ayah mertua kena kontrol tak boleh lemak.
*  Bila air dah agak kering, masukkan sayur terung dan kacang panjang, asam keping, garam dan gula.
*  Masukkan cili merah dan daun limau purut.  Sesuaikan rasanya dan tutup api.
*  Siap untuk dihidangkan. 


Saya suka resepi ini sebab mudah dan ringkas tak perlu fikir nak masak dua tiga jenis lauk, sazzzz sekali jalan siap.  Yang ini sudah lengkap ada protien dan sayuran, tinggal masak nasi saja.
Wassalam.

Wednesday, 23 May 2018

Sambal Tomat Kak Soda


Assalam...
Sambal tomat (sambal tomato) antara hasil air tangan kak soda yang menjadi kegemaranku bila kami dapat berkumpul bersama.  Buah tomato memang tak pernah putus bekalan dalam peti ais rumahnya, lebih-lebih kalau tau saya nak datang bertamu.  Setiap hari mesti minta dibuatkan sambal ini, takde ikan bakar pun boleh jalan dengan sayur bening.
 

Kunjungan kali ini menggunakan tomato bulat, besar sikit daripada tomato ceri, saya bertanyakan buah tomato yang berlipat-lipat bentuknya seperti selalu yang digunakan.  Kak soda maklumkan agak sukar mencari buah seperti itu sekarang, mungkin sudah jarang ditanam oleh petani sebab hasil tak sebanyak yang bulat.



Mari sediakan sambal tomat fresh, tiada resepi pun boleh sebab dah ada gambar step by step.


Dah masukkan hirisan tomato, tak perlu tumbuk sekuat tenaga.  Tumbuk manja-manja cukup asal sebati semua bahan.


Perahkan air limau nipis, sambal ini memang rasa dia agak masam.  Masam paduan antara masam tomato dan masam air limau nipis.


Rasa sambal semakin sedap jika menggunakan minyak kelapa sebab wangi, jika tiada boleh gantikan dengan minyak zaitun. 



Resepinya ringkas dan mudah lebih kurang kat bawah ini.


Sambal Tomat
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
5 biji tomato sederhana - hiris halus
2 biji bawang kecil
4 biji cili padi - boleh tambah kalau nak pedas
Garam secukupnya (Kak Soda guna garam kasar)
1 biji limau nipis - ambil jus
Sedikit minyak kelapa


Cara penyediaannya
*  Tumbuk cili padi dan garam hingga lumat.
*  Masukkan bawang, tumbuk lagi hingga lumat.
*  Tambahkan hirisan buah tomato, lumatkan hingga sebati semua bahan.
*  Perahkan jus limau nipis dan sesuaikan rasanya.
*  Akhir sekali masukkan minyak kelapa.  Gaul sebati dan hidangkan.



Sambal tomat ini sangat sedap sebagai bahan cicah untuk ikan bakar atau dijadikan sebagai sambal begitu saja.  Sambal ini merupakan sambal mentah dan sebaiknya disediakan segar ketika menghampiri waktu makan.


Nasi panas, sayur bening, ikan goreng dan sambal tomat sudah cukup untuk membuatkan seorang saya makan bertambah-tambah.
Wassalam.

Monday, 21 May 2018

Ramadhan Buffet Aroma Cafe



Assalam...
Masih ada yang bercadang ingin berbuka puasa secara istimewa diluar bersama keluarga atau teman-teman tetapi masih tak tahu di mana?  Di Aroma Cafe yang bertempat di Rumah Kelab PAUM (Persatuan Alumni Universiti Malaya) boleh dikunjungi.  Sebenarnya Buffet mereka start 18hh hari tu, tetapi masih belum terlambat untuk mereka yang berminat mendapatkan promosi early bird dengan harga RM50 seorang sehingga 24hb ini (harga biasa RM79).  



Kemeriahan dalam gambar ini adalah ketika dia adakan Ramadhan Priview beberapa minggu sebelum bermulanya ramadhan.  Tetamu memang sangat berpuashati dengan makanan yang dihidangkan, semua sedap-sedap belaka.


Telan air liur banyak-banyak ketika itu sebab tak dapat nak makan sangat.  Masih tak baik demam dan batuk ketika itu.  Pinjam method P. Ramlee, cium bau dah kenyang.  Kena pantang sebab kalau tidak saya jenis dapat batuk yang berpanjangan, lambat nak sembuh, nak cepat baik kena lah berpantang.


Nasi Beriyani Kambing.


Penggemar safood, terdapat pilihan daripada menu starter hingga ke menu utama.


Dim sum, freshly made and steam on the spot by chef.


Spring roasted whole lamb, lambat pergi photo hari tu, dah tinggal rangka.  Memang terbaik kambing panggang Eden Catering ini.


Salah satu signature dish mereka adalah Penang seafood char koay teow.  Ini betul-betul punya char koay teow, bukan yang berkuah tu.


Mereka yang berminat, boleh menghubungi nombor seperti yang tertera di bawah ini.


Wassalam.

Thai-style Pumpkin Coconut Milk Dessert


Assalam...
Jadi teringin membuat manisan yang gunakan labu ini selepas melihat videonya.  Kalau teliti resepi dan cara buat manisan ini ada persamaan dengan cara menyediakan Butir Nangka (kelantan), Wade Kiping (banjar), Ketiri Mandi (bugis) yang menggunakan tepung pulut.  Cuma versi Thailand ini penggunaan tepung pulut sedikit berbanding labu, manakala penyediaan kuahnya adalah sama. 


Thai-style Pumpkin Coconut Milk Dessert
Sumber: Blogtamsu.com


Bahan-bahan
120gm labu - rebus hingga empuk dan haluskan
120gm tepung pulut
80gm gula merah / nipah
240ml santan pekat
1/2 sudu teh garam


Cara Penyediaannya
*  Campurkan tepung dengan labu yang telah dihaluskan.  Sebatikan adunan hingga tidak melekat pada tangan.
*  Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan sebesar guli.
*  Didihkan air dalam periuk dan masukkan bebola labu, jerang hingga bebola timbul (macam buat kuih onde-onde buah melaka tu).
*  Angkat bebola labu yang sudah terapung, tos dan ketepikan.
*  Dalam periuk lain, campurkan santan, gula dan sedikit garam.  Masak dengan api sederhana sampai gula larut.  Kuah perlu dikacau selalu untuk mengelakkan santan pecah.
*  Didikan kuah seketika dan masukkan bebola labu, atau boleh juga siramkan kuah ke atas bebola labu yang telah disiapkan dalam mangkuk.  
*  Tapis kuah jika dikuatiri ada benda asing daripada gula sebelum campurkan dengan bebola labu.
*  Hidangkan ketika suam atau sejuk.



Ini hasil orang yang tak boleh sabar, kuah tak sempat tapis dah masukkan bebola labu tu.  Nampak tak ada dot dot hitam kat tepi mangkuk tu, itulah benda asing daripada gula merah.


Yang masih buntu nak sediakan apa untuk berbuka boleh lah cuba manisan ini sebagai hidangan berbuka puasa petang nie.  Boleh dinikmati suam atau sejukkan terlebih dahulu di dalam peti ais.
Wassalam.

Friday, 18 May 2018

Apam Gula Hangus

Assalam..
Salam ramadhan, selamat berpuasa dan semoga kita diberi nikmat kesihatan untuk menjalankan ibadah sepanjang bulan ini.  Kita antara yang beruntung kerana masih direzekikan bertemu dengan Ramadhan tahun ini 1439h, jadi lakukan yang sehabis baik ye.  Cakap pasal bulan puasa, tak boleh lari daripada cerita pasal kepelbagaian juadah yang disajikan ketika berbuka hinggalah ke waktu bersahur.  Tak sempat masak beli saja, param ada di mana-mana, jadi senangkan.  Jika ada yang masih ingin mencuba menyediakan hidangan ringkas boleh mencuba untuk sediakan kuih ini.
 

Apam Gula Hangus
Sumber: MAHN

Bahan A
1 cawan gula (di goreng hingga keperangan)
1 cawan air (dimasukkan ke dalam gula tadi.  Hati2 ketika tuang air kedalam gula karemel sebab boleh terpercik ke anggota badan).
*  Sejukkan terlebih dahulu.

Bahan B
2 biji telur gred A
2 sudu besar susu pekat
2 sudu besar majerin
1/2 cawan minyak masak
*  Blend semua bahan ini lebih kurang 3 minit.
*  Kemudian masukkan bahan A.  Blend lagi

Bahan C
1.5 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
*  Ayak kedua-duanya.
*  Masukkan ke dalam adunan yang diblend tadi.
*  Sebatikan.



Cara Penyediaannya
* Sediakan pengukus dan griss acuan dengan minyak (boleh guna sebarang acuan, nak kecik besar terpulang).
*  Tuang adunan ke dalam acuan dan kukus lebih kurang 15 minit atau sehingga masak.
*  Keluarkan dari pengukus, sejukkan dan keluarkan daripada acuan.



Selamat mencuba semoga berjaya membuat kuih ini sebagai hidangan waktu berbuka puasa.  Orang kampung saya mesti tengah berkumpul sekarang nie menghadap juadah yang disajikan.  Waktu berbuka tinggal beberapa minit saja lagi, makan dengan tertib dan jangan membazir.
Wassalam.

Tuesday, 8 May 2018

Kek Lapis Keju Asam Manis


Assalam...
Setiap kali nak balik jumpa mak, kita cuma boleh bawa makanan kegemarannya.  Tak mampu nak persembahkan intan dan permata.  Kali ini buat kek lapis 2 biji satu versi bakar dan satu lagi yang dikukus, at least bila dia kata kek yang bakar tu keras, ada satu yang lembut, kek lapis yang versi kukus.  Almaklumlah orang tua gigi pun dah tak ada kan.  Jom semak yang versi bakar dulu, kek lapis keju asam manis ini guna resepi dari kak Amie Kitchen, hasilnya tak lah secantik yang kak Amie buat tapi ok lah (terpaksalah sedapkan hati sendiri kan).


Kek Lapis Keju Asam Manis
Sumber: Amie' Kitchen


Bahan-bahan
250gm cream cheese
100gm parutan parmesan cheese
450gm mentega berkualiti tinggi
100gm gula halus
1 tin susu pekat manis - berat 505gm
10 biji telur gred AA
30gm ovallette
250gm tepung hong kong
150gm horlicks
Haw flakes (asam manis) secukupnya
Pewarna hijau pandan

Loyang berukuran 8 x 8 x 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.


Cara Penyediaanya
*  Pukul mentega hingga outih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete.
*  Setelah kelihatan sebati, masukkan cream cheese serta parutan parmesan cheese.  Pukul lagisehingga licin dan berkrim.
*  Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga kembang dan pekat.
*  Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
*  Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung hong kong didikuti dengan horlicks.
*  Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 2 bahagian.  Gunakan timbangan untuk menyukat adunan.
*  Warnakan satu bahagian adunan dengan pewarna hijau pandan, dan satu adunan lagi tanpa warna.
*  Ambil 1 senduk berwarna hijau pandan dan ratakan di atas loyang kek.  Bakar menggunakan api atas selama 10 minit menggunakan suhu 160'C (ikut kepanasan oven masing-masing).
*  Keluarkan loyang kek dan untuk mengelakkan daripada kek menggelembung, cucuk-cucuk permukaan kek dengan garpu, atau tekan dengan penekan kek - lakukan begini pada setiap lapisan kek.
*  Susun haw flakes di atas permukaan kek - gunakan sebanyak 25 keping untuk setiap lapisan yang ketiga.
*   Ambil 1 senduk adunan tanpa warna dan ratakan.  Bakar lagi selama 10 minit.
*  Ulang langkah melapis dan membakar kek sehingga selesai.
*  Setelah selesai bakar lapisan terakhir, ubah api di bahagian bawah dan bakar lagi di antara 12 - 15 minit supaya masak keseluruhan kek.  Gunakan suhu 120 - 140'C (ikut kepanasan oven masing-masing.



Atas tu rentung sikit sebab terlupa masa last stage.  Patutnya hanya guna api bawah, tapi terlupa pi buh api atas bawah.  Pastu ralit tak tau buat apa kat belakang, kalih tengok kek dah rentung kat atas tu.
Wassalam.

Belajar Makan Sushi


Assalam...
Mari mencuba yang bukan menjadi kebiasaan, makan sushi agak jarang tak tahu kenapa.  Walau tak tahu makan tapi jangan pandang sebelah mata ye, kita tahu harga dan jenis-jenis sebab selalu order untuk event.  Kalau terkena stigma sebab tak lalu makan ikan yang mentah-mentah tu, sebenarnya banyak lagi menu bermasak yang boleh dicuba kalau ke resto sushi nie.  Suatu hari best fren ajak temankan dia makan sushi.  Jomlah kita ke Sushi King, dah ada sijil halal dia sekarang.  .


Best fren order yang ini, soba apa tak ingat.  Saya pencinta nasi, haruslah dengan set yang ada sup, grill salmon dan egg tofu tu.


Tambah order tempura, ada udang, ikan dan soft shell crab dalam tu.


Yang lalu kat conveyor tu pun ambil juga.  Mula satu pinggan, habis isi pinggan ambil lagi pinggan yang lain.  Tak sedar dah tinggi pinggan bersusun.  Harga ikut warna pinggan.


Selang tak lama dalam seminggu kot, ajak en.Abe ke sini lagi.  Tak puas lagi nak bersushi, konon-konon nak bagi dia juga suka apa yang kita mula suka.  Feedback ok, tapi kami hanya makan yang light saja, pilih-pilih atas conveyor dekat 10 pinggan juga lah yang habis.


Ketika kunjungan kali ke-2 tu, sempat rasa cheese kek ini.  Nampak kecil saiznya, tetapi sangat sedap.  So mesejnya jangan takut mencuba sesuatu yang bukan kebiasaan, kenapa lah lama sangat ambil masa nak makan, kan dah rugi. 
Wassalam.