Thursday, 20 August 2020

Es Jeruk

Assalamm...
Sejukkan tekak dengan es jeruk selepas perbualan panjang di talian sebentar tadi.  Panas hati sebenarnya sebab kena letak on hold terlalu lama, tapi nak buat macamana kena lah check apa-apa sebelum boleh buat keputusan kan.  Es jeruk ini minuman yang saya suka minum bila berkunjung ke Indonesia, orang lain mungkin suka jus alpokat tapi saya lebih gemar es jeruk nie.  Jus limau lah kalau orang Malaysia panggil, di sana limau mereka panggil jeruk, kalau kita di sini kenal jeruk tu benda yang telah diawetkan. Es tu pula adalah ais.  Tak silap orang panggil limau manis, jenis limau dalam gambar tu, kami panggil limau cina


Es Jeruk
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
2 biji limau manis
1 cawan air 
1 sudu gula (tambah jika suka manis)
Ais batu secukupnya

Cara Penyediaannya
* Bersihkan limau, belah dua dan perah jusnya.  Kupas kulit limau dan buang biji jika guna pengisar buah.
* Campurkan limau, gula, air dan kisar sekejap.  Tak perlu kisar hingga lumat.
* Tapis jus limau dan tambahkan ais.
* Hidangkan.

Sebaiknya nikmati es jeruk segera setelah disediakan, bila simpan lama atau semalaman, jus akan bertukar rasa menjadi pahit.  Rasa pahit tu boleh jadi juga sebab biji limau dikisar sekali dan isi buah yang rosak, jadi pastikan guna limau yang segar dan keluarkan bijinya.  Pasti ramai yang rindu nak berjalan-jalan sekarang kan, takpe kita try lah buat sendiri jus-jus yang pernah dinikmati semasa mengembara tu.  Selamat bercuti dan salam Maal Hijrah 1442, semoga tahun baru ini memberi sinar kebahagian yang hakiki buat kita semua..Amin Ya Rabbal alamin.
Wassalam.

Sarabba, Minuman Berkhasiat Panaskan Badan

Assalamm...
Ini nak share minuman berkhasiat yang nenek moyang saya amalkan untuk mengatasi sakit-sakit urat, membuang lebihan angin dalam badan dan untuk memanaskan badan.  Minuman ini rasanya pedas-pedas, manis dan lemak.  Minuman ini boleh disediakan dengan mencampurkan santan cair atau pun tidak, jika tiada santan lebihkan gula aren (kabung).  Selalunya hanya gula aren digunakan tanpa mencampurkan dengan gula pasir, tapi jika tiada boleh saja tukar kepada gula melaka atau gula merah. 


Sarabba sesuai dinikmati ketika masih panas atau suam dan selalu dihidangkan ketika minum petang bersama menu gorengan atau kuih sebagai pengganti kopi atau teh.  Air Sarabba tidak lah dihidangkan sebagai minuman setiap hari, hanya pada hari-hari tertentu dan dinikmati beramai-ramai bersama jiran tetangga atau saudara mara ketika ada keramaian.


Sarabba
Sumber: Kak masiah


Bahan-bahan
300gm halia tua
200gm gula aren (gula kabung)
1 batang kulit kayu manis
100ml santan cair
1 liter air
Sedikit lada putih atau lada hitam - tumbuk kasar


Cara Penyediaannya
* Bersihkan halia dan ketuk-ketukkan, sekadar pecah dan tak perlu sampai lumat.
* Campurkan gula, halia dan air, jerang hingga mendidih.
* Masukkan kulit kayu manis dan lada hitam.  Jerang lagi hingga gula hancur dan rasa pedas halia terhasil.
* Masukkan santan cair, biar seketika dan tutup api.
* Biarkan suam dan tapis air sarabba sebelum dihidangkan.


Bila dikenang zaman kanak-kanak, memang cukup tak suka bila di suruh minum air ini.  Anak-anak mana lah suka benda macam ini, dengan rasanya yang pedas-pedas pula, tapi jika minuman manis ditegah pasti nak, sanggup curi-curi nak minum.  Dah tua ni teringat-ingat pula, sebenarnya baru terasa nikmat minum air sarabba ketika berkunjung ke makassar baru-baru ini.  Air sarabba ada disediakan di warung-warung dan ada juga warung yang sediakan secara percuma untuk pengunjung. 


Air sarabba jika tak habis diminum, boleh di sejukkan dan simpan dalam peti sejuk.  Hanya panaskan seketika sebelum dinikmati lagi.  Hirup perlahan-lahan tak sedar boleh habis 2 cawan, tapi janganlah teguk macam minum air jarang kang over dose terlebih panas pula badan awak.
Wassalam.

Wednesday, 19 August 2020

Pau Puchong, Viral


Assalamm...
Sebelum MCO, sudah pergi ke tapak mencari pau puchong ini tetapi langkah kiri agaknya hari tu, jumpa tapak jualan jer, pakcik yang jual pau tak jumpa.  Agaknya off day dari berjualan atau belum start atau pau dah habis, sebab orang kata viral dan ramai yang beratur menunggu pau masak dari steamer.  Lepas daripada tu memang dah terlupa lah pasal pau ini.  Sampai waktu PM umum benarkan semula penduduk keluar beraktiviti dengan bersyarat dan peniaga kecil macam pakcik pau ini dah boleh berniaga semula, en.Abe pun sibuk juga pergi hantar pisau melapah dia ke sana ke mari.  Tup-tup dia bawa balik pau gemuk-gemuk yang besar dan banyak, masyaAllah jenuh lah nak perabih kan.


Rupanya hasrat nak makan Pau Puchong tu tersimpan kemas di dalam sanubarinya, kebetulan hari tu ada orang puchong nak pisau, masa tulah dia pergi meriki-riki jika pakcik pau berjualan hari itu.  Alhamdulillah, ada rezeki dia beli setiap jenis pau yang pakcik tu jual, dan kita yang memang muka dah macam pau ini usaha lah makan pau-pau itu hingga habis.  Tapi ok juga masa tu sebab mertua dan adik ipar ada, jadi kita hasut mereka juga makan pau berjemaah. 


Ini rasa kari, tak silap pau kari ayam tapi ada telur puyuh dalam tu.  Makan sebiji kenyang sampai ke petang sebab saiznya yang besar.

Alhamdulillah satu persatu hasrat dan  keinginan terpenuhi.  Taubat dah dan janji lepas ini tak mau menyusahkan lagi, kena jaga lidah dan lisan jangan suka-suka cakap nak itu nak ini.  Ingat taubat tu jangan taubat sambal belacan, hilang bau mencari lagi.
Wassalam.

Tuesday, 18 August 2020

Ayam Masak Sirsau

Assalamm...
Peringkat permulaan hari tu kena duduk rumah, jadi macam sasau juga sampai time nak masak memang pening nak fikir masak apa.  Masak menu jawa sudah, bugis sudah, melayu sudah, cina mamak memang selalu di tempat kerja jadi rehatlah sekejap dari makan dua jenis tu.  Tanya pak google kita jumpa menu orang banjar ayam masak sirsau nie, katanya sedap dan bahan-bahan pun macam yang kita selalu guna dan sentiasa ada dalam peti ajaib.  Tak ada kolaan orang banjar jadi kurang tahu menu-menu diorang ada pun kawan 2 3 orang tapi kurang rapat.  Masa kecil dulu ingat ada 2 keluarga jiran kami dengan orang banjar tapi tak lama lepas tu mereka berpindah atau balik kampung dah tak ingat.  Nama jiran tu pun tak ingat dah, boleh ingat sebab arwah mak ada tempah katil kayu yang diukir dengan depa dan katil tu digunakan lama sampai kami pindah ke rumah baru.  Ape dah melalut pulak, jom lah check resepi dia yang saya ambil daripada blog juga, tak sure pula tuan punya blog orang banjar ke tak?.


Ayam Masak Sirsau (Masakan Banjar)
Sumber: Blog Tentang Aku

Bahan-bahan
6 ketul ayam

1 inci halia - hiris
1 biji bawang besar - hiris
2 biji bawang merah - hiris
10 tangkai cili padi - belah 2 
1 biji lada merah besar - hiris
1 batang serai - ketuk
1 inci belacan
3 biji lada cili api - belah jangan putus
1 biji tomato - dadu
1 inci kunyit hidup - hiris
2 sudu besar lada blend
1 kiub pati ayam
air asam jawa
garam dan serbuk perasa secukupnya
air untuk kuah

Cara Penyediaannya
* Blend halia, bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili padi, lada besar, belacan, kunyit, hingga lumat
* Panaskan minyak, tumis bahan blend hingga pecah minyak.
* Masukkan lada blend, kacau sebati dan masukkan serai.  Kacau.
* Masukkan kiub pati ayam, kacau dan masukkan ayam.
* Kacau hingga ayam sebati dengan bahan lain, masukkan tomato, kacau lagi.
* Masukkan air asam jawa, kacau dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukupnya.
* Gaul rata, masukkan cili padi.  Kacau hingga kuah agak kering
* Angkat dan hidangkan




Tak salah mencuba kan, merasa juga kelainan sesuatu makanan.  Kadang menu hampir sama tapi olahan berbeza sedikit antara suku kaum dan semestinyalah nama panggilan pun lain mengikut suku kaum tersebut.  Yang pasti anda tak akan jadi sasau bila makan ayam masak sirsau ini, unik rasanya ada pedas, masam dan masin.
Wassalam.

Monday, 17 August 2020

Cucur Jagung @ Perkedel Jagung

Assalamm...
Kami lebih kenal sebagai perkedel jagung, cuma cara buat tu ada lain sikit, jagung tu kena tumbuk manja-manja sebelum campur dengan bahan-bahan lain.  Tapi kalau kurang rajin gaul saja dengan semua bahan yang dikehendaki tak jadi masalah.  Cucur jagung boleh buat yang manis atau pedas.  Dua-dua pun saya suka tapi lebih kerap buat yang pedas, selain buat makan macam itu saja, kadang dibuat lauk makan dengan nasi.


Nak letak apa bahan sampingan tu terpulang pada kita, kita yang buat dia.  Nak tambah sayur lain seperti hirisan kobis atau lobak merah pun boleh, Takde yang salah ikut kita, cara kita mana yang senang dan mudah saja.


Cucur Jagung Pedas
Sumber: Mulia
 
Bahan-bahan;
2 tongkol jagung - hiris isi leraikan dari tongkolnya
Tepung gandum - secukupnya
3 sudu isi udang / ketam - potong kecil atau kisar
1 biji cili merah / hijau - hiris halus
2 tangkai daun sup / daun bawang - hiris halus
2 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
1 biji telur
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Sedikit air




Cara Penyediaannya;
* Tumbuk bawang hingga halus.
* Campurkan semua bahan kecuali air dan gaul rata.
* Akhir sekali masukkan air sedikit dan gaul sebati hingga dapat adunan sesuai untuk digoreng
* Goreng dalam minyak panas hingga kekuningan.
* Angkat dan toskan.  Hidangkan bersama sos juga boleh.
 
Boleh ke kalau tak mau letak jagung? erm?.  Boleh cuma kena tukar tajuk dia saja, cari nama lain kalau takmo letak jagung.
Wassalam.

Tapai Pulut, Resepi MIL

Assalamm....
Tapai pulut masih ada penggemarnya walaupun ramai juga orang yang tak suka dengan tapai pulut ini terutama golongan muda.  Dulu saya masa muda pun tak berapa gemar makan, lebih suka makan tapai ubi.  Tapi bila mai usia tak berapa nak muda nie, terlebih suka pula nak makan lagi-lagi bila diulit nostalgia menyediakan tapai ketika menjelang sambutan hari raya bersama arwah mak dahulu.  Tapai pulut buatan arwah memang manis dan menjadi, tipsnya semua peralatan kena bersih. Semua peralatan dicuci semula sebersih-bersihnya dan keringkan terlebih dahulu.  Walaupun selalu menolong untuk sediakan tapai pulut, tapi saya tak yakin nak sediakan sendiri.  Pernah sekali cuba buat sendiri, tak menjadi dan tak cuba dah selepas tu.  Hasil tapai saya menjadi keras macam jadi beras semula dan berkulat, langsung tak bau tapai apa lagi keluar air yang manis itu.  Begitulah kemahiran tak dapat diwarisi tanpa ilmu dan praktis yang berkali-kali.


Ini kebetulan masa mertua ada di rumah hari tu, jadi kita manfaatkan kesempatan untuk belajar buat tapai dengan dia.  Untung sebab dapat mertua yang juga pandai buat tapai jadi kita berguru lah dengan dia.  Masa tu tiada sebarang daun untuk membungkus tapai jadi kita bulat-bulatkan saja dan susun dalam tupperware.  Ini merupakan stail arwah mak selalu buat, hanya susun dalam mangkuk atau periuk dan lapis dengan plastik pada setiap susunan atau lapisan tapai.  Ada perbezaan sedikit cara mengukus pulut antara arwah mak dengan mertua, mak hanya kukus sekali manakala mertua kukus pulut dua kali.  Satu lagi tips penting untuk hasil tapai yang bagus adalah pemilihan ragi, pilih ragi yang baik dan fresh, boleh tanya pada penjual mereka tahulah kualiti ragi yang mereka jual.  Ragi yang saya guna ni, saya beli dari kedai runcit aceh dekat-dekat rumah saja.


Tapai Pulut
Sumber: My MIL

Bahan-bahan
1 kilo beras pulut
1 biji ragi
Air
pengukus dan peralatan lain

Cara Penyediaan
* Basuh beras dan rendam seketika, tak perlu rendam lama.
* Sediakan kukusan, bila air mendidih, kukus pulut hingga masak.
* Keluarkan pulut dari kukusan dan renjiskan dengan air hingga pulut nampak lembut dan basah sedikit dan pulut lerai.  Kacau pulut supaya air renjisan perlu kena pada semua bahagian.  
* Kukus pulut semula dalam 15 minit.
* Keluarkan pulut dan sejukkan.  Sebaiknya letak atas dulang supaya pulut berselerak dan tak berlongkok.
* Bila pulut dah suam, ayakkan ragi yang sudah dipecahkan ke atas pulut.  Pastikan ragi kena sekata pada pulut.
* Bila dah sejuk, bungkus pulut guna daun pisang atau daun getah atau masukkan dalam bekas plastik kecil.
* Simpan ditempat kering selama 2 hari atau 2 malam, tempoh yang baik untuk tapai masak dan mengeluarkan air.
* Sebelum sampai tempoh tu boleh check progress tapai tu, dah ok ker tak.
* Bila dah masak (term untuk tapai matang) boleh lah dihidangkan.


Tapai yang dah masak dan mengeluarkan air, perlu disimpan dalam peti sejuk untuk menjaga kualiti dan tidak menjadi masam.  Ini juga sebagai langkah untuk menahan proses penapaian terus berlaku dan menjadi tuak yang memabukkan. 


Tapai pulut dan tumbuk, 2 jenis menu wajib yang ada ketika hari raya.  Kedua-dua ini spesiality arwah mak saya, tapi saya tak sanggup nak sediakan.  Bayangkan mana lah tak timbul muscle bila kena gentel pulut berkilo-kilo, pulut untuk tapai 3 kilo, pulut untuk tumbuk 5 kilo.  Itu tak termasuk permintaan jiran tetangga yang minta dibuatkan.  Semua itu tinggal kenangan.


Ini salah satu cara keluarga saya menikmati tapai pulut, dimakan bersama tumbuk.  Tumbuk tu sejenis burasak pulut yang digulung dalam daun pisang dan diletakkan berlapis-lapis sebelum direbus sekurang-kurangnya 6 jam.

Bila kerja dalam sektor f&b pula, betapa tapai dipopularkan dan diangkat sebagai hidangan tradisi yang dinaik tarafkan.  Dihidangkan di hotel-hotel atau restoran mewah sebagai pencuci mulut (dessert) bersama ice cream vanilla, dikenali sebagai Tapai Ice Cream.  Selain menikmati cendol dengan pulut, kita boleh juga menikmati cendol bersama tapai pulut yang pasti tidak menghampakan.
Wassalam.

Sunday, 16 August 2020

Goreng Pisang Berbijan, Sedap Sangat

Assalamm...
Cucu sepupu datang bawa pisang nipah 2 sikat besar, macam bawa emas, suka sangat lah nenek nie dapat hadiah begitu.  Masa dia bawa tu masih hijau lagi tapi pisang dah tua, simpan 2 hari sedang elok untuk dibuat pisang goreng.  Saya suka pisang goreng nipah jika pisang masih keras dan belum terlalu masak, sebab minyak tak serap sangat ke dalam pisang masa menggoreng.


Goreng Pisang Berbijan
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 sikat pisang nipah masak sedang
1 cwan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 sudu air kapur makan
Secukupnya bijan
Secubit garam
Sedikit serbuk kunyit / pewarna kuning telur
Air
Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaannya
*  Pisang hiris atau belah 2 atau lebih ikut suka nipis pisang goreng yang kita nak.
* Panaskan minyak dalam kuali (goreng dengan minyak penuh).
*  Campurkan tepung, kapur, garam, pewarna, garam dan bijan.  Air masuk sedikit demi sedikit.
* Gaul semua bahan tadi hingga dapat better yang halus dan sebati. 
*  Celupkan hirisan pisang ke dalam adunan tepung dan goreng hingga kekuningan. Jika suka, sebelum memasukkan pisang ke dalam minyak, taburkan sedikit bijan pada permukaan pisang.
* Balik-balikkan pisang goreng, supaya masak sekata.
* Angkat bila dan masak dan toskan minyak atas kertas dapur.
* Hidangkan.  Jika suka boleh cicah dengan sambal kicap atau sambal tumis.


Menu berbuka pada 7 zulhijjah yang lepas, pisang goreng bijan cicah dengan sambal sambal kicap jawa yang mabeles.  Orang yang sebelum ini gelak-gelakkan saya suka makan goreng pisang tak kira waktu cicah pula dengan sambal kicap, pun makan dan asyik ulang-ulang cakap pisang goreng bijan nie sedap.  Saya cakap ini pisang goreng ala korea kan.  Memang sedap dan bau wangi bijan.

Nak nampak cantik sepatutnya saya taburkan bijan atas permukaan pisang ketika hendak menggoreng.  Tapi sebab nak cepat masa tu saya lebihkan saja biji bijan ke dalam better, hasilnya tetap awesome.
Wassalam.

Thursday, 13 August 2020

Peria Tumis Tempoyak dengan Bilis Mata Biru

Assalamm...
Koi dah menjadi sebahagian keluarga Pahang, harus lah pandai makan tempoyak kan.  Segala jenis masakan tempoyak boleh je masuk tekak asal jangan tempoyak sambal mentah tu, tak tahu kenapa tak boleh terima lagi.  Buat sambal tumis manja-manja begini suka sangat, yang mentah campur budu memang tak boleh terima lagi, pelan-pelan soon lah kot.  Ini faveret menu di rumah mertua, jika tak guna peria biasa mertua guna batang keladi atau petai.  Kali ini saja lah buat enhance kononnya guna ikan bilis halus yang mereka gelar sebagai ikan bilis mata biru or silver enchovie, biasa guna bilis biasa jer, yang mata hitam atau coklat.  Sebenarnya stock ikan bilis mata biru tu baru sampai dari Sandakan, cucu sepupu tolong belikan.



Peria Tumis Tempoyak Dengan Bilis Mata Biru
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1 biji peria - potong nipis
1 gengam ikan bilis mata biru - goreng garing
2 biji bawang besar - hiris
1 labu bawang putih - hiris
2 sudu tempoyak
Segengam cili padi (ikut pedas)
2 biji cili besar - hiris
Sedikit serbuk kunyit 
Garam
Gula 
Bahan perasa
Minyak masak
Sedikit air jika perlu 

Cara Penyediaannya
* Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
* Tumis bawang guna bekas minyak tadi, tumis hingga layu, masukkan cili.  Jika suka bilis, bawang dan cili  padi boleh juga ditumbuk kasar.
* Masukkan peria, serbuk kunyit dan tambah air jika perlu.  Jangan masak terlalu lama, cukup peria tu lembut sikit saja.
* Tambahkan tempoyak, kacau biar sebati.
* Masukkan garam, gula dan bahan penambah perisa.
* Masukkan ikan bilis tadi, kacau rata dan tutup api.
* Hidangkan.


Dapat juga kiriman sambal dari Sandakan, sambal kulit buah sentul.


Dan sambal kelapa (bejabuk), terima kasih banyak anak buahku.  Dalam bungkusan tu ada juga buah mangga udang (tak sempat ambil gambar).


Lauk ringkas begini sangat menyelerakan bagi saya walaupun nampak biasa-biasa saja.  Pesanan penaja, masak nasi lebih sikit sebab kemungkinan bertambah-tambah tu pasti. 

Ini dalam perjalanan balik kampung moga jumpa lauk tempoyak, tak ikan patin, petai tumis tempoyak pun jadi lah.
Wassalam.

Aidll Adha 2020

Assalamm...
Sudah dua kali kita menyambut raya pada waktu PKP dan kedua-duanya sangat berbeza daripada tahun-tahun lepas.  Raya puasa sambut di rumah sendiri sebab rentas negeri tidak dibenarkan, ketentuannya mertua dari kampung yang datang sambut raya dengan kami sebab pak mertua ada masalah kesihatan dan perlu dirujuk ke PPUM segera.  Bermula dari situ lah yang ayah kena hd 3 kali seminggu dan tinggal bersama kami hampir 2 bulan sementara menguruskan segala dokumen, dan menguruskan tempat hd baru berdekatan di Jerantut.  Seminggu sebelum Aidil Adha, urusan ayah telah selesai dan beliau dapat hd di Jerantut dan kami pun plan nak balik beraya di Pahang, berkumpul dengan adik-beradik yang boleh balik beraya.  Hanya 4 orang daripada 7 beradik en.Abe yang dapat berkumpul dan kami balik 2 hari sebelum raya.  Macam biasalah jalan raya musim perayaan ke pantai timur tu sesaknya luar biasa walaupun kami melalui jalan lama, dini hari baru sampai rumah. 

Sehari sebelum raya, mertua ke pekan untuk membeli barang-barang untuk masak-masak raya petang dan malam nanti.  Sarapan nasi berlauk pagi tu untuk yang tidak puasa sunat sebelum mulakan operasi cuci dan kemas rumah.  Rumah ditinggal hampir 2 bulan macam-macam hal berlaku, paip air bocor menyebabkan dinding dan siling dapur serta satu bilik berkulat serta serangan anai-anai pada perabut di bilik tidur.  Minggu lepas balik hantar barang sempat kemas sikit dan buang perabot yang terjejas.  Katil dan almari baju jadi mangsa dan tidak dapat diselamatkan terpaksa dibuang dan dibakar.  Ini tengah diy buat rangka katil sementara pagi itu.


Sebelah petang saya ambil tugasan cuci ayam dan sediakan bahan-bahan nak masak-masak raya sebab dah tak larat teruskan mengemas bersama adik.  Mertua yang ambil alih tugas memasak untuk juadah buka puasa dan makan malam petang tu.  Rehat-rehat selepas makan malam, masing-masing ambil tugasan, saya tolong  mertua buat tapai, permintaan last minute daripada cik aji (bonda ustad dasuki) minta dibuatkan tapai 2 kilo yang dibungkus dengan daun getah, tapai untuk rumah ini dah buat semalam.  Peluang yang bagus sebab sebelum ini memang tak pernah lagi tengok cara balut tapai guna daun getah, selalu mertua guna daun pisang ataupun letak dalam container kecil.  Aktiviti mengemas sambung esok lagi dan yang lain tolong cucuk sate.


Daun getah yang telah dibersihkan, perlu betul-betul kering sebelum digunakan untuk membungkus tapai.  Itu tips supaya tapai tak merah kata mak mertua.


Percubaan pertama, asyik nak cari daun getah yang besar sebab boleh letak pulut banyak-banyak dan senang nak lipat.  Asyik mengelat je kerjanya, tapi mereka lagi mengelat kata tak pandai bungkus tapai dan pulut lepo.


Hasilnya ada yang kembung dan merekah sebab terlalu banyak pulut.  Hantam saja lah labu, dah dekat tengah malam masa tu dan ada 2 kilo pulut lagi masih menunggu giliran untuk buat pulut lepo minta dibungkus. 


Pagi raya, tiada yang pergi sholat raya, orang perempuan tak dibenarkan sholat di masjid kampung.  Ayah ada hd pagi itu di Jerantut, kami bertiga teruskan berkemas lagi, nasib lah raya PKP tiada orang datang berziarah, pagi raya rumah macam tongkang pecah.  Dekat tengahari sepupu call nak datang beraya lepas jumaat, speed mengemas terpaksa dilajukan harap dapat settled sebelum mereka sampai.  Standby susun kerusi dan meja di garage sekiranya mengemas tak boleh siap, boleh lah mereka duduk dan makan di situ nanti.  Alhamdulillah petang tu sempat semuanya dan ayah pun sempat balik dari hd sebelum mereka datang, dapatlah sembang santai-santai sambil menikmati juadah bersama.


Sebelah malam, santai adik beradik bakar-bakar sate.  Sendiri perap, sendiri cucuk, sendiri bakar dan sendiri makan.  Saja nak rasa bagaimana jika sediakan sendiri, projek bakar lemang tidak dapat dilaksanakan sebab ada tugas yang lebih penting, sudahnya beras pulut dan kelapa hantar ke rumah pak itam.  Malam raya pak itam call datang ambil lemang, hehehehe.  Malam tu tidur awal sikit sebab plan kami 4 orang nak bertolak ke Kota Bahru jam 5.


Terbabas waktu nak bertolak 5 pagi, semua tak sedar jam loceng bunyi, alih-alih dengar azan subuh.  Jam 7 lebih sikit kami bertolak ke KB pagi itu, perjalanan balik hari semata-mata nak hadiri majlis kesyukuran sepupu kahwin.  Dalam benak asyik terfikir tak jem ker dalam perjalanan.  Pergi sesak sedikit terutama kawasan dekat pekan, dapat sampai KB jam 1 tenghari.  Sedang elok lah perut pun dah lapar kan, terus je boleh makan?


Mak ngah terima menantu orang Sibu Sarawak, selamat untuk Hazman dan Humairah.  Bagi peluang chek berjumpa adik-beradik dia yang lain di rumah kenduri saja, abang dah siapkan jadual sebelum jam 4 kena gerak balik untuk elakkan kesesakkan sebab masa datang pun dah nampak kenderaan bertali arus keluar dari kelantan.  Siap urusan, kami gerak balik dalam 4.15 petang, nampak mereka bungkuskan bekalan gulai atau lauk.  Kesesakan memang dah dijangka dibanyak kawasan, redho saja lah dan kami sampai rumah (Batu Balai) pada jam 2 pagi.

Esoknya sambung lagi cuci rumah sampai ke petang.  Kali ini cuci rumah sungai pula, mertua ada 2 rumah jika tak banjir duduk rumah dekat sungai, masa banjir pindah duduk rumah dalam kebun.  Banjir bulan 6 hari tu agak tinggi hingga cecah lantai, dah berapa bulan tak dibersihkan, selut dan tanah pun dah mengeras.  Selesai cuci 2 buah rumah terus rasa ada hati boleh offer service cuci rumah lepas ini, hahaha.  Malam tu tangguh balik PJ, nak rehatkan kaki, lagi pun tengah jem sangat tu tengok update pengguna jalan raya, balik esok pagi lah.
Wassalam.

Monday, 10 August 2020

Demam Denggi


Assalamm..
Diberi sedikit ujian dengan penyakit, kami 3 orang serumah telah disahkan positif denggi.  Saya, suami dan adik ipar (mertua dengan adik ipar) duduk dengan kami sementara menunggu follow up di PPUM sebelum gl keluar untuk rawatan hd di Jerantut.  Mula-mula saya yang demam, ingatkan hanya penat dan panas badan biasa selepas keluar makan dan buat sedikit urusan diluar dengan kawan, lepas itu suami dan adik ipar pula demam hari berikutnya.  Tiga hari tiga malam pertama panas badan yang melampau dan tak boleh tidur, alat pengesan suhu badan takde pula, kita check tekanan jam 3.00 pagi.  En.Abe pergi kerja juga, sampai masa dia tak tahan sangat pergi jumpa doktor dan dapat mc 2 hari dan dapat ubat tahan sakit dan antibiotik, keputusan test darah dari combo test still negatif denggi.  Dalam pada mc 2 tu, dia ajak pergi klinik, tapi saya tak nak sebab ingat demam biasa saja, cukup rehat nanti dia kebah lah sendiri, ambil panadol pun sebab dipaksa dan teringat demam panas yang boleh menyebabkan sawan (orang tua macam bayi juga ker, demam panas sangat boleh sawan?).  Masa en.Abe ke klinik tu, sebab demam terlalu tinggi doktor tak buat apa-apa test, dia dinasihatkan terus ke hospital dan buat test covid pula.  Esok dia pergi hospital buat test denggi lagi dan sekali test untuk vocid, demam masih tinggi dan memang sah ada denggi dan kena masuk ward dan-dan tu juga.

Selera makan sesungguhnya ada nak makan macam-macam benda tapi tekak kata tak boleh terima.  Makan sikit dah tak boleh, kesudahannya masak bubur kosong dan makan gitu saja.  Masuk hari ke 5 tak boleh makan juga, kita try formula ini apple + asamboi, nak pancing selera makan memang berjaya tapi makan ini saja, yang lain tak lalu.  Mertua masak lauk sedap pun, saya dengan adik pandang begitu saja.  Yang dah warded tu, takde siapa yang pergi lawat, kawan-kawan satu tempat kerja yang silih berganti tengok dia, dapat makan macam-macam pula tu.  Dah sah-sah saya tak dibenarkan masuk melawat sebab demam juga, mak mertua nak pergi tapi kami nasihatkan lebih baik tak payah, sebab yang boleh masuk pun seorang saja, siapa pula nak tolong scan dan isi form dalam aplikasi itu semua.

Hari en.Abe di sahkan positif denggi dan kena masuk ward, saya dan adik terus ke KK yang berdekatan untuk buat ujian darah (demamhari ke-4).  Keputusan darah saya semua negatif denggi untuk 3 hari berturut-turut, ujian adik ada yang positif dan demam panas kami masih berlarutan.  Dua hari buat ujian darah di KK hari seterusnya sabtu ahad kami ke PPUM sebab KK tutup.  Saja buat andaian konon jadual tu kena lengkapkan sampai bawah untuk buat ujian darah.  Adik yang tak perlu masuk ward setiap hari jalani rutin test darah sampai hari ke-8 tak silap, jadual dah penuh sambung sampai ke belakang.

Hari keempat ujian darah (demam hari ke-8) yang kena cucuk teruk-teruk sebab darah susah nak keluar tu pasal doktor letak benda tu (tak ingat nama apa), sungguh tak selesa dengan benda tu melekat di situ.  Ambil darah saja 6 kali hari tu tak termasuk test lain.  MO yang handle tu dah inform kemungkinan besar akak kena ward walaupun ujian darah denggi negatif tetapi keputusan test darah ada yang membimbangkan terutama untuk fungsi hati.  Bermula lah silih berganti doktor yang datang interview tanya apa yang berlaku sejak sebelum demam hingga hari itu.  Daripada suspek denggi kepada suspek kencing tikus pula, erm alahai balik kampung saja belum pernah apatah nak pergi berkelah di air terjun.  Buat jelah apa-apa yang terbaik, kena masuk ward pun redha je masa tu.

Petang tu mereka sorong saya masuk ward, en.Abe pula dah boleh keluar masa tu.  Kesian Nadia berlari-lari antara ppum uruskan saya dan tompson hospital nak jemput abang dia.  Dapat bilik seorang, selesa nak duduk situ dan bilik tu seperti baru lepas di makeover tu.  Nadia inform ini ward bekas pesakit covid dulu, kira floor tu khas untuk penyakit berjangkit dalam komuniti termasuklah denggi dan covid semua tu.  Kertas hijau atas meja tu kena isi sebagai rekod setiap kali masa dan kuantiti air yang di minum, selain itu bahan kumuhan (air kencing) perlu di sukat dan catat dalam borang tu.

Bilik air pun attached dengan bilik, saya cakap dengan en.Abe lebih kurang duduk private hospital juga.  Dia yang warded di hospital swasta pun kena share dengan seorang lagi pesakit denggi yang lain.  Tapi dah duduk ward ini ingat boleh rehat suka hati sangat ker, nama pun kena pantau kan.  Sekejap-kejap nurse datang check suhu, ambil darah, check rekod dah minum ke belum dah kencing ke belum, cukup ke tidak air yang diminum dan macam-macam lagi.

Sebenarnya dah masuk ward ini tidak dibenarkan pelawat datang melawat jika tiada yang mustahak, nak hantar barang pun perlu melalui guard di bawah.  Malam pertama tu en.Abe sempat menyelinap masuk ward datang hantar makanan (sebab tak sempat dinner hospital tadi) dan buah ini, hahaha.  Nampak tak asamboi tu, entah-entah tu yang buat test darah saya jadi makin teruk saya cakap.  Sebab pulun kat umah makan benda nie konon nak bangkitkan selera makan.

Lunch hari ke-2, mesti ramai yang tak suka menu ini, tipikal sangat dengan menu hospital kan, menu orang sakit.  Alhamdulillah saya ok saya sebab saya memang suka makanan yang rebus-rebus macam ini.  Ada potongan apple bagai orang mengantuk disorongkan bantal, lepas tu gesek lah dengan asamboi.

Mewah lunch hari terakhir di ward, memang ini yang saya pilih masa staff f&b datang bertanya semalam.  Masa ini selera makan dah ok, Alhamdulillah tekak dah boleh terima makanan, habis semua licin atas pinggan tu.  Sempat makan menu minum petang juga masa tu sementara menunggu mereka sediakan dokumen untuk discharge.
Selamat tinggal ward 16, terima kasih untuk 3 hari 2 malam menjadi penghuni di sini.  Seminggu lagi doktor pesan datang semula untuk buat test darah sebab keputusan masih tak cantik dan hb juga masih rendah.  Saya dapat mc 10 hari (tak guna pun sebab memang masih cuti tanpa gaji) sementara en.Abe juga masih mc lagi, esok dia dah plan nak balik kampung hirup udara segar katanya, tapi sebenarnya nak hantar barang mertua sebab minggu depan dah start hd di Jerantut.  Sebenarnya badan masih terasa lemah lepas kuar ward tu, tapi apa-apa pun kita buat slow-slow.

Keputusan test darah selepas seminggu keluar ward masih tak cantik dan hb juga masih rendah dari pars normal.  Selera makan minum semua dah ok, dan diberi tarikh baru untuk kembali buat ujian darah lagi.  Doakan semoga semua akan kembali normal selepas ini.  Ujian yang sedikit dan dapat peluang merasai kesakitan dan bagaimana perasaan  mereka yang terlantar berbulan-bulan.
Wassalam.