Assalam...
Kunjungan ke Polewali sedikit masa lalu, banyak mengajar saya tentang erti dan semangat persaudaraan dan kejiranan. Semangat hidup berjiran masih dipegang kuat seakan cubit peha kiri peha kanan turut terasa pedihnya. Semangat tolong menolong tidak hanya terbatas pada saudara dekat sahaja, jiran tetangga turut sama berganding bahu. Pengalaman menguruskan jenazah dan kenduri tahlil semua berjalan sangat lancar dengan bantuan mereka.
Saya saksikan betapa komitednya jiran tetangga datang membantu urusan daripada mula hingga akhir. Ketika hari-hari tahlil diadakan, masak-memasak semua dilakukan oleh jiran tetangga, mereka tahu tugas masing-masing, jika rumah arwah terkurang satu barang atau perkakas cepat-cepat kembali ke rumah sendiri untuk mengambil barang tersebut. Sama halnya dengan juadah, menu yang hendak dimasak, ke pasar beli barang, jemputan dan berkat untuk mereka yang datang menolong semua tuan rumah serah kepada seorang ketua dan tugas dibahagi-bahagi kepada jiran tetangga. Selepas hari tahlil masih ada yang datang menolong untuk basuh pinggan, kemas rumah dan menyusun atur semula perkakas. Ini adalah dua resepi bolu jadul yang mereka sediakan untuk santapan tetamu yang datang ketika hari tahlil diadakan.
Bolu Jadul / Indo Beppa
Sumber: Tanta Suma'
Bahan-bahan - untuk 6 biji kek
500gm majerin / mentega - cairkan
30 biji telur
6 cawan gula pasir
6 cawan tepung gandum
6 sdt tbm / ovallete
6 sdt vanila
6 sdt baking powder
6 sudu besar susu serbuk
Chocolate paste secukupnya
Cara Penyediaannya
* Grill acuan guna majerin dan tabukan tepung. Buang lebihan tepung.
* Pukul semua bahan-bahan kecuali majerin hingga kembang dan putih.
* Masukkan majerin, kacau rata dan tuang ke dalam acuan.
* Bakar hingga masak, lebih kurang 30-45 minit atau sehingga pencucuk kek bersih ketika diuji.
* Gris permukaan kek dengan sedikit mejerin sementara masih panas sebelum dikeluarkan daripada acuan.
Bolu Syrup / Bolu Orange
Sumber: Lia (Mama' Mutiah)
Bahan-bahan
3 biji telur*
2/3 cawan gula pasir*
1/2 sdt tbm / ovallete*
1/2 sdt baking powder*
1/2 sdt vanila*
1 cawan tepung gandum
50ml (1.5 penutup) syrup orange ABC
30ml susu pekat
30ml minyak masak
Cara Penyediaannya
* Sediakan acuan gris dengan majerin dan taburkan dengan tepung. Buang tepung lebihan daripada acuan.
* Pukul bahan bertanda '*' hingga kembang dan putih.
* Masukkan syrup, susu pekat dan minyak.
* Kaup balikkan tepung hingga sebati.
* Tuang dalam acuan dan bakar hingga masak.
* Lebih kurang 30-45 minit dengna api sederhana.
* Gris permukaan kek dengan sedikit mejerin sementara masih panas sebelum dikeluarkan daripada acuan.
Dapat makan bolu jadul yang dikenenkan dengan air teh o panas, aduh sedapnya tak perasan dah setengah loyang masuk mulut.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment