Tuesday, 5 June 2018

Kek Lapis Asam Manis


Assalam...
Kek lapis asam manis yang versi kukus merupakan kek lapis pertama kami cuba buat dahulu untuk juadah hari raya.  Resepi kami ambil daripada majalah, tak ingat majalah apa, google belum lahir zaman, internet pun belum ada.  Pulak tu tepungnya daripada biskut mayat (biskut tawar), disebabkan kadang susah dah nak jumpa biskut mayat zaman sekarang, saya ganti guna biskut marie (perasa original).  Ini semua gara-gara sahabat kami yang orang Kuching bercerita musim raya di kampung mereka akan banyak hidangan kek lapis menjadi kepala meja.


Saya guna haw flakes ini, memang buatan China tapi ada halal ya.


Resepi asal hanya satu bahagian diwarnakan dengan warna hijau, dah satu lagi warna asal.  Tapi tak salah pun kalau nak bermain-main dengan warna kan, asal saja ada stock pewarna.


Corak susunan asam manis tu pun ikut kreativiti masing-masinglah.  Kes akak semua nak cepat siap, main letak ikut dan jer.  Tapi seeloknya susun bagi cantiklah yang bahagian atas sekali tu.


Kek Lapis Asam Manis
Sumber: My Old Recipe Book


Bahan-bahan
10 auns mentega
10 biji telur gred A
8 auns gula castor
8 auns tepung biskut tawar / marie - kisar halus
1/2 tin susu pekat
1 camt essen vanila
1 camt serbuk penaik
Kepingan haw fleks (asam manis) secukupnya

- Loyang saiz 8 x 8



Cara Penyediaannya
*  Sediakan loyang dan pengukus.  Bungkus penutup kukusan dengan kain bersih untuk mengelakkan air menitik pada kek.
*  Telur dan gula dipukul hingga kembang.  Dalam mangkuk lain pukul mentega dan esen vanilla hingga putih.
*  Campurkan keduanya, masukkan susu, tepung biskut dan serbuk penaik.
*  Bahagikan adunan kepada dua bahagian, satu diwarnakan dengan hijau dan satu lagi biarkan pada warna asal.  Atau jika suka warna lain, boleh warnakan mengikut warna kegemaran sendiri.
*  Masukkan secawan adunan ke dalam loyang, ratakan dan susunkan asam manis (haw flakes) di atasnya.
*  Kukus lebih kurang 10 - 15 minit atau hingga masak pada setiap lapisan.
*  Keluarkan dari kukusan, lapis dengan warna lain dan susun asam manis diatasnya.  Kukus lagi.
*  Ulang langkah melapis adunan hingga habis.
*  Pada lapisan akhir kukus lebih kurang 30 minit. 
*  Biarkan kek benar-benar sejuk sebelum keluarkan daripada loyang.



Jika ada yang bercadang menyediakan kek lapis sempena hari raya ini, boleh lah cuba resepi ini.

Nota:- Ini antara kek lapis yang menjadi kesukaan bundaku.  
Wassalam.

No comments:

Post a Comment