Sunday, 15 October 2017

Bajau Laut (Sea Gipsy) Pulau Tatagan, Semporna.


Assalam...
Ketika kami sampai di perairan Pulau Tatagan, enjin bot diperlahankan saya ingatkan tempat cetek dan akan menganggu hidupan yang terdapat diperairan itu.  Rupanya ada sesuatu yang menarik untuk kami sini.  Bot berhenti saja, puluhan perahu kecil yang dikemudi oleh kanak-kanak Bajau Laut mendekati bot.  Saya tak tahu ada itinerary seperti ini dalam pakej kami, ingat hanya lawatan biasa ke 3 pulau seperti yang diberitahu.


Rasa ralat juga lah, jika tahu boleh saya sediakan jajan atau air minuman untuk budak-budak tu.  Air minuman sangat bermakna bagi mereka yang tinggal di laut.  Selalunya mereka mendapatkan sumber air minum daripada air hujan atau beli daripada pekan Semporna atau pekan-pekan terdekat.


Adik yang berperahu sendiri ini, mulanya agak jauh daripada group yang mendekati bot kami.  Ini lah aktiviti harian mereka, berperahu sambil mencari makanan dalam laut.


Kayuhan semakin laju, dengan harapan akan ada habuan yang dia boleh bawa balik daripada pelancong atas bot.


Saya tak memahami bahasa yang mereka gunakan, mereka pula hanya boleh faham dan berbahasa melayu sedikit.  Kebanyakkan mereka ini tidak bersekolah dan hidup secara nomad dalam perahu ataupun pondok di pulau-pulau.  Kerajaan menggalakkan mereka untuk menetap secara kekal agar senang menyalurkan bantuan.


Rasa terhibur sangat, dengan kanak-kanak yang datang mendekat dan bergayutan di tepi bot kami, mereka meminta agar kami memberikan sedikit makanan, air atau sedikit wang.  Mereka tidak bertindak di luar kawalan dan patuh arahan daripada tour guide kami.  Tour guide kami memang ada menyediakan makanan ringan seperti gula-gula, keropok, air botol dan meminta kami mengagih-agihkan untuk kanak-kanak ini. 


Ada yang terjun dan menyelam ke dalam laut sambil beraksi semata-mata meminta kami memberi sedikit upah atas show yang mereka buat.  Tersentuh juga hati, ketika ada antara mereka yang sangat kecil menagis sebab tidak mendapat gula-gula.


Mereka tidak akan berganjak sebelum mendapat apa-apa daripada kami.  Sebenarnya ada juga yang dah dapat tetapi balik semula meminta makanan.


Pelancong boleh mengikut Bajau Laut yang menggunakan perahu yang besar untuk bersiar-siar.  Walau hanya seketika, tetapi pengalaman tu tetap yang terbaik.


Bayaran ikut pelancong nak beri berapa, tour guide kami nasihatkan beri RM5.00 atau jika nak beri lebih pun boleh.


Satu nasihat untuk mereka yang berhajat ke pulau-pulau di perairan Semporna, jangan memakai barangan kemas atau kelihatan bermewah-mewah.  Itu pesanan penting yang saya dapat daripada pegawai yang berada di pusat Pembenihan Kima, Pulau Bohey Dulang tadi.  Semasa saya berperahu mengikut kanak-kanak Bajau Laut ini, mereka telah meminta cincin yang saya pakai sebagai hadiah.  Alamak, nasib masa tu sel-sel otak bersambung dan beri alasan yang cincin itu saya tak boleh bagi sebab ini adalah cincin kahwin saya dan mereka pun faham. 


Walaupun rasa cuak selepas insiden itu, tak menghalang niat untuk datang semula ke sini suatu hari nanti.  In Sha Allah, kita jumpa lagi ya.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment