Assalamm...Mesti ramai yang terkesan dengan semangat Mat Kilau selepas menonton filemnya kan. Saya tak sempat pergi wayang, tapi selalu bertandang ke daerah kelahiran Mat Kilau ini iaitu daerah Jerantut, Pahang. Nama daerah dan bandar menggunakan nama yang sama, Jerantut. Sejak dahulu memang sudah terkenal bandar Jerantut ini, sebagai pintu utama ke Taman Negara. Bandar Jerantut telah berkembang keluar daripada kawasan pekan lama (Bandar Lama) ke kawasan Bandar Baru dan Bandar Inderapura.
Marilah kita jalan-jalan di Bandar lama Jerantut, yang diwarnakan bulat dalam peta. Sebenarnya pagi itu kami nak mencari sarapan di pasar, dan seperti biasa bungkus bawah balik. Lepas beli sarapan yang dikehendaki, rasa masih awal pagi lebih baik kita jalan-jalan di bandar lama sambil ber ootd dengan baju kelawar kata adik.
Bandar lama ini tidak lah luas mana, tapi dalam kawasan itu ada stesen keretapi, hotel, masjid, padang bola dan deretan rumah- rumah kedai lama di sebelah kiri dan kanan Jalan Besar. Sebahagian yang masih beroperasi sudah diubah suai dan dilakukan penambahbaikkan pada struktur bangunan.
Kebanyakkan bangunan lama dibina sebelum merdeka, paling awal yang saya jumpa tahun yang tercatat pada bangunan adalah tahun 1920-an.
Bangunan hujung warna kuning dan berkaca itu adalah Hotel Darul Makmur. Mereka yang datang dari luar kalau tiada kenalan jangan susah banyak jer penginapan yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.
Aktiviti ekonomi dan sosial masih terus berlangsung di bandar lama, sungguhpun sudah ada bandar baru yang menawarkan lebih banyak kemudahan dan pilihan untuk penduduk.
Pintu masuk ke galeri, juga tidak dapat melawat, sebab belum buka. Kalau ada masa terluang lain hari kita datang intai apa yang ada di dalam galeri ini.
Stesen keretapi Jerantut, masih beroperasi dengan laluan keretapi antara stesen Gemas, Negeri Sembilan di selatan tanahair ke stesen Tumpat, di Kelantan. Pengembara Train to Dabong akan melalui dan singgah di stesen ini. Macam bestkan kembara Train to Dabong tu, tak mampu buat Train to Busan, boleh lah try yang ini.
Zero '0' kilometer bandar Jerantut terletak dihadapan Cafe Gypsy Garden yang bersebelahan dengan Aza Gallery.
Deretan kerusi dan meja cafe di hadapan Aza Gallery. Jadi jika bercadang hendak melawat galeri kena ikut pintu sebelah tepi bangunan.
Salah satu bahagian cafe Gipsy Garden, operasi cafe pada sebelah petang, sayang belum boleh mengopi pagi itu.
Kami jumpa satu lorong ini, ada mural di dinding kedai lama. Ada bangku disediakan untuk mereka yang nak berehat.
Pawang Nong, antara pawang terkenal di Pahang, kemungkinan beliau antara pawang yang membuat perjanjian dengan buaya di sungai Pahang, wallahualam bissawab.
Demikian hasil jalan-jalan di pekan lama Jerantut, moh lah balik perut kah dan lapo.
Wassalam.