Saturday 9 December 2017

Tugu Peringatan Mat Saleh, Tambunan


Assalam...
Akhirnya sampai juga kami ke Tugu Mat Salleh, tapi betul kah ini tugu yang kami cari?.  Tak sama pun seperti dalam gambar.  Kami ikut arah papan tanda ke Tugu Peringatan Mat Salleh yang terdapat dari simpang jalan utama masuk kampung Tibabar.  Tugu tu berada di pengakhiran jalan kampung, dekat dengan rumah-rumah penduduk kampung Tibabar.     


Dari jalan utama tidak lah jauh sangat.  Cuma jalan kampung tak perlu lah nak speed, sebab ada je kanak-kanak yang bermain dihalaman rumah yang hampir dengan jalan atau binatang ternakan yang berkeliaran. 


Siapakah Mat Salleh itu? Pemimpin tempatan yang berketurunan suku Bajau (ibu) dan Suluk (bapak), menjadi pemimpin di kawasan daerah Lingabo dan Sungai Sugut (Sandakan) selepas mengambil alih tugas kepimpinan daripada bapak beliau (Datu Bulu).  Perbelanjaan pentadbirannya adalah hasil daripada pungutan cukai kepada pedagang-pedagang yang melalui sungai Sugut, hal inilah yang tidak disenangi oleh pemerintah Inggeris ketika itu lalu menyerang dan memusnahkan kampung Mat Salleh di Jambongan.


Saya tidak puas hati sebab tak jumpa kubah macam dalam gambar bawah ini (gambar google) di tugu Mat Salleh yang kami pergi tu.  Kami jumpa tugu lain kah atau tugu sebenar terletak di tempat lain?.  Penerangan dari pegawai yang bertugas di situ menyarankan kami agar singgah di galeri Kota Mat Sator selepas ini.  Mungkin di sana nanti baru jumpa tugu seperti yang dicari dalam gambar. 


Sampai sana jumpa bangunan muzium, hampa lagi.  Sebab semakin tak puas hati try google gambar ini dan tanyakan pada petugas di situ.  Hahahaha, baru padan muka.  Info saya ketinggalan zaman rupanya.  Tugu yang kami pergi ini memanglah tugu Mat Salleh tapi bangunan kubah itu telah dirobohkan atas alasan keselamatan pengunjung.  Sudah bertukar wajah tugu tu, walau kucari pada setiap inci daerah Tambunan pun tak akan kutemui rupa tugu tu lagi kecuali dalam gambar.  Hahaha sekali lagi gelakkan diri sendiri.


Sini pun kena tinggalkan jejak juga bila dah sampai.  Kita bagi orang jauh lah yang tulis nama, yang urang Sabah tu diam-diam, bikin malu betul sudahlah sasat, bagi info zaman tok kaduk.


Batu prasasti yang dibina oleh British sebagai tanda, tempat ini adalah bekas tapak kubu Mat Salleh dan tempat beliau berjaya ditumpaskan oleh Syarikat Perpiagam Borneo Utara (kerajaan Inggeris ketika itu), pada 2 Februari 1900.  Siri perjuangan Mat Salleh bersama pengikutnya dan kejar-mengejar oleh tentera kerajaan Inggeris berlangsung selama 6 tahun yang bermula pada 1894 di Sandakan. 


Di tepi tugu peringatan ini, ada disediakan kronologi peristiwa penentangan selama 6 tahun itu.   Bagaimanapun, terdapat sebilangan rakyat tempatan terutama di kalangan keturunan penduduk yang mempunyai sejarah pernah bertempur atau berperang dengan pihak Mat Salleh, yang tidak mengiktiraf Mat Salleh sebagai pahlawan apatah lagi pejuang kemerdekaan kerana Mat Salleh dikatakan berjuang untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja dan bukan secara menyeluruh.


Apa pun mendapat mereka, sejarah ada sebagai bukti.  Siapakah lagi gerangan yang tertulis di dalam sejarah yang pemberani seperti Mat Salleh ini?.  Walaupun dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.
Wassalam.

1 comment:

  1. Iya betul pandangan awak masyarakat di sana yang tidak mengiktiraf dia dia tu adalah suku kaum pembelot bangsa yang jadi talibarut British.

    ReplyDelete