Wednesday, 30 September 2020

Balik Mengundi PRN Sabah 2020

Assalamm....

Tak tahu kenapa teruja sangat nak balik mengundi kali ini, mungkin sebab dah lama tak balik kampung.  Iya dah setahun lebih tak balik, hampir 2 tahun, last balik January 2019.  Tahun ini plan balik sejak dari awal tahun asyik bertangguh sebab covid, kali ini ada alasan kukuh nak balik untuk mengundi.  Ada rakan-rakan yang nasihatkan agar batalkan niat untuk balik mengundi sebab kes covid yang mengila di sana.  Ketika itu Sandakan hanya beberapa kes, itupun kes yang dipindahkan daripada hospital Kinabatangan.

Plan balik berdua dengan en. suami tapi lepas ambil kira banyak perkara, akhirnya saya terbang berseorangan.  Jika balik dari sana kena jalani kuarantin, cukup lah saya seorang kerana memang sudah tidak bekerja jadi tiada masalah cuti dan sebagainya.

Tiket saya pun lambat confirmed, kurang daripada 24 jam sebelum terbang.  Lepas balik hospital melawat FIL, baru check email kira-kira jam 8 malam untuk penerbangan 10 pagi esok, terus saja kemas baju dan settlekan hal rumah sebelum adik ipar hantar jam 5 pagi ke airport.

Kali ini tempat mengundi saya di tempat lain, tempat mengundi baru juga Dun baru setelah berlakunya pecahan kawasan, kalau sebelum ini DUN Sibuga, kini bertukar ke Dun Sungai Manila.  Pergi mengundi mengikut waktu yang disarankan oleh SPR kepada saya pada jam 10-12 tengahari di MRSM Sandakan.


Nampkanya plan bertemu kawan-kawan sekolah dan jalan-jalan lepas mengundi terpaksa dibatalkan sebab rasa keadaan tak secure sangat, takut saya membawa virus balik ke Malaya nanti.  So kita jalan-jalan di sekitar kampung saja bertemu saudara mara terdekat, kali ini bandar Sandakan saya tak pergi, lupakan lah hasrat nak angkut balik ikan bilis segala.

Sebelum hari nak balik, kerajaan dah keluarkan kenyataan semua yang balik dari Sabah wajib jalani swab test dan kuarantin di rumah selama 14 hari.  Saya tak rasa ralat atau marah pun, itu yang sepatutunya.  Moga usaha kecil kami balik mengundi dan pertaruhkan kesihatan jadi asbab untuk pemimpin yang dipilih menunaikan janji untuk membawa negeri kami sama tara dengan negeri-negeri lain di Malaya.


Tanggungjawap kami mengundi jangan lah dianggap dan disamakan dengan kami memilih buah durian atau tarap.  Untuk diri, bertabahlah menjalani kuarantin selama 14 hari, balik rumah hanya berdiam diri dalam bilik dan berkomunikasi dengan ahli rumah melalui phone.

#bahundi2020 #sabahmengundi #relakenakuarantin  #baliksabahmengundi

Wassalam.

Tuesday, 29 September 2020

Pulut Sambal @ Pulut Serunding Kelapa

Assalamm...
Atas permintaan penggemar pulut, minta dibuatkan pulut sambal nak bertukar-tukar pulut dengan kawan katanya.  Kawan tu nak makan pulut sambal sementara pulut tukarannya nanti adalah ketupat palas.  Mula saya tanya dulu supaya tidak keliru dan tidak tersalah buat, sebab kadang keliru antara pulut sambal dan pulut inti. Pulut tu nak yang inti manis atau masin, dia kata nak yang masin bukan yang manis.  Pulut sambal lah kalau begitu.   Dua- dua jenis pun selalu makan tapi tak pernah buat sendiri. 


Kawan tu bagi syarat inti dia tak nak kalau letak udang kering sebab ada elergi katanya.  Akan kuranglah sikit rasanya kan bila tak letak udang kering, saya tukar letak ikan bilis.  Resepi yang kita rujuk adalah dari blog cik matahari dan kita copy pastekan di sini bersama tipsnya sekali.  Cuma pulut tu kita kukus tak masak dalam periuk macam cik matahari buat.  Ini pun permintaan khas sebab orang tu lebih suka makan pulut yang sedikit keras. 



Pulut Sambal
Sumber: Cik Matahariku


Bahan-bahan Untuk Sambal (Serunding)
1 1/2 biji kelapa parut
3 sdb gula (ikut hampa suka manis macam mana)
1 sdt garam (membukit)
1/4 cawan air asam jawa
Bahan perasa jika suka
4 atau 5 helai daun limau purut (supaya lebih wangi)
1 cawan air
2 senduk minyak masak untuk menumis


Bahan kisar
15 tangkai cili kering (kalau tak suka pedas sila kurangkan)
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 sdb biji ketumbar
4 batang serai
4 sdb udang geragau kering
Kisar semua bahan ini hingga halus




Cara Penyediaannya
* Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
* Masukkan gula,garam dan daun limau purut dan tumis sampai betul-betul terbit minyak dan garing.
* Masukkan air dan kelapa parut.Guna api perlahan masak hingga serunding kering
* Sesuaikan rasa.

Tips: Selepas kisar semua bahan di atas, masukkan 2 sdb jintan manis (kisar jangan sampai halus).  Kalau jintan ni tumbuk guna lesung batu lagi best, tak payah halus sangat sebab bila kita makan inti tu tergigit-gigit rasa jintan tu yang buat sedap.

Bahan Untuk Pulut

3 cawan pulut

3 cawan air

1 sudu besar minyak masak dan secubit garam.


Cara Penyediaannya
* Masak dalam periuk elektrik seperti memasak nasi (guna sukatan diatas).
* Jika tanak dalam periuk biasa, sukat air ikut jari ruas yang pertama, iaitu sukat atas beras atau 1/2 ruas jari sahaja. 
* Letak secubit garam, masukkan satu setengah sudu minyak masak supaya pulut nampak berkilat bila dah masak. Buka sedikit tudung periuk supaya senang nak pastikan air sudah hampir kering nanti.
* Bila air dalam periuk hampir kering, kacau pulut perlahan bagi rata dan supaya tidak berkerak.
* Kecilkan api dan tutup rapat tudung periuk, tutup api bila pulut sudah lembut.
* Sejukkan sebentar dan bolehlah dibentuk bulat-bulat sebelum disalut dengan sambal (serunding kelapa tadi sebelum dihidangkan.
Selamat menjamu selera untuk penggemar pulut-pulut sekalian. 
Wassalam.

Wednesday, 16 September 2020

Hikmah Berkurung di Rumah Waktu PKP

Assalamm...
Setiap hari, selepas subuh duduk tepi tingkap memerhati plaza tol.  Lengang sangat, hari biasa selalu dah bersusun kereta menunggu giliran nak melepasi tol untuk ke pusat bandar atau pun masuk ke kawasan Damansara ini.  Kesesakan yang sudah biasa setiap selepas subuh dan petang menjelang isyak tiada pada pandangan bertukar jadi kosong sekosong-kosonganya.  Dapat melihat matahari memunculkan diri dan fenomena langit ketika sang matahari tenggelam.  Nikmat ini jarang sangat nak diperhatikan semasa waktu bekerja dulu, buka mata dah sibuk dengan list apa yang patut dibuat dan bergegas ke tempat kerja.  Terkadang ada hari-hari yang tak dapat melihat matahari pun, pergi dan balik kerja dalam keadaan gelap.


Stok sayur dan buah tak putus ketika PKP, masa tu pula lambakan buah dan sayur-sayuran banyak, ada yang dihulurkan secara jariah atau dibeli dengan harga yang murah.  Bila kami tanya kawan-kawan lain atau ahli keluarga sama ada mereka dapat atau tidak, semua kata mereka tidak dapat apa-apa pun bantuan.  Perasaan beruntung dapat bantuan jadi rasa bersalah pula bertanya, tapi sekurang-kurangnya kami dapat info dan tahu apa yang kami boleh bantu selepas itu. 


Hikmah terbesar berkurung dalam rumah adalah ketenangan hati, sungguhpun hilang kerja tapi tak sampai hilang akal kerana sentiasa tersemat rezeki Allah itu luas, kerja itu hanya asbab.  Selama berkerja pun, sering juga resah pendapatan tak mencukupi untuk melunaskan komitmen bulanan, tapi kini ianya langsung tidak menggusarkan hati dan perasaan.  Berulang kali mereka menyoal saya, betul ker nak berhenti kerja? bercuti sajalah sehingga keadaan kembali seperti sediakala.  Tekad dah bulat, ketergantungan itu perlu diputuskan untuk bebaskan diri daripada persoalan yang tak bersudahan.


Ada orang ketuk grill, bertalu-talu minta dibuka kan pintu.  Mula-mula takut pula, waktu-waktu berkurung begini siapa pula yang nak datang bertandang.  Rupanya jkk blok nak bagi jariah, mereka menyampaikan sedekah seseorang pada setiap rumah.  Mulanya memang tak mau ambil, sebab rasa kita memang tak layak untuk dapat yang ini, ramai lagi yang lebih memerlukan tapi sebab tak mau hampakan orang yang menghulur terima juga.  Muliakan usaha mereka hantar rezeki sampai ke depan rumah, menitik air mata kadang Allah hantarkan rezeki sampai begitu sekali tetapi aku masih tak bersyuur, masih nak komplen bosan tinggal di rumah.  Semoga bertambah-tambah rezeki orang yang memberi.


Bukan sekali dua, tapi berkali-kali.  Jika tidak dihantar ke depan rumah, jkk guna pembesar suara suruh turun ambil di dewan.  Ada juga yang dipanggil berkali-kali tak turun-turun, sebab ingat nak ringankan tugas mereka kami akan cepat-cepat turun ambil bahagian kami.  Memang tak habis jika hanya kami nak makan semua itu, sebahagian kami panjangkan ke kawan-kawan yang tidak dapat apa-apa bantuan di tempat lain.  Ada kes en.suami terpaksa curi-curi rentas daerah untuk sampaikan bekalan kepada kawan-kawan.

Sekarang saya merdeka dan tenang walaupun sesungguhnya masih belum 100% merdeka daripada hutang.  Semoga Allah permudahkan urusan dan melorongkan rezeki yang lain untuk memerdekakan diri daripada belenggu hutang sebelum mata terpejam.
Wassalam.

Onde-Onde

Assalamm....
Peristiwa ke sini sehari sebelum sakit demam denggi hari tu.  Rentetan terlebih makan yang terfikir sakit sebab itu.  Sebenarnya tak plan nak ke sini pun, tetapi balik dari Sungai Buloh masa tu ingat nak mengeteh dulu lah sebelum balik tapi tahu kat mana.  Sha cadangkan singgah dekat Onde-onde di Desa Park City, tapi awal-awal tu dia dah bagi tahu jangan harap nak makan onde-onde buah melaka sebab sebelah petang selalu kuih dah habis.  Takpe kita makan lah benda lain.

Suasana dalam resto, menu yang ditawarkan lebih kepada hidangan baba nyonya. 


Sebenarnya nak makan yang ringan-ringan saja, sebab kenyang makan banyak masa lunch tadi rasa tak proses habis lagi.  Orang tu order lah Cendol saja.


Kita minta abc, tapi bukan itu saja.  Takpe order saja dan kita share seorang sikit.


Sha yang cakap dari pagi tak sempat makan pilih yang ini, set nasi dengan sweet sour fish rasanya.


Mee kari seafood pilihan saya, memang suka rasa mee kari kalau berkunjung ke resto baba nyonya.


Ada orang tak berapa kenyang sebab katanya makan cendol saja, so dia order yang ini belacan chicken wing.  Last saya juga yang tolong perabis.


Kalau nak rasa makan onde-onde dan kuih baba nyonya lainnya, kenalah datang awal ya. 

Menu yang kami order, bagi saya rasa dia ok-ok saja seperti kata sha takdelah wow sangat.  Tapi apa pun, Alhamdulillah cukup mengenyangkan. 
Wassalam.

Saturday, 5 September 2020

Pulut Lepo

Assalam...
Pulut panggang, pulut lepo dan gogos makanan yang akan sama dibuat daripada pulut, dibungkus dengan daun pisang serta dipanggang sebelum dihidangkan.  Pulut panggang intinya sambal kelapa, pulut lepo lebih terkenal di di negeri pantai timur semenanjung dengan inti sambal ikan seakan serunding.  Gogos pula tidak mempunyai inti dan saiznya lebih besar, lebih terkenal dengan masyarakat bugis yang dimakan dengan pelbagai lauk atau lauk paling simple dengan telur rebus.


Pulut lepo ini disediakan oleh mak mertua ketika menjelang aidil adha baru-baru ini.  Saya hanya sempat tolong bungkus saja sebab inti ikan telah disediakan lebih awal sehari.  Saya tanya akan hidangan ini sama ada memang disediakan di Kelantan ketika hari raya atau tidak, di maklumkan bahawa saja-saja buat lagi pun atas permintaan ayah mertua yang katanya lama tak makan pulut lepo.  Agaknya sepanjang ramadhan baru ini, mertua tak buat untuk jualan selalu setiap ramadhan mak mertua buat pulut lepo ini dengan kuih akok untuk dihantar ke kedai sebagai juadah berbuka puasa.


Pulut Lepo
Sumber: Nang Teh Salleh
 
Bahan untuk Sambal Ikan
1 kg ikan selayang - rebus dengan asam keping dan sedikit garam, 
10 tangkai cili kering - rebus*
5 batang serai*
2 inci. halia*
5 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
1 liter santan pekat
Garam
Gula nipah (nise)
 
Cara Penyediaannya
* Leraikan ikan rebus daripada tulangnya.
* Blend halus bahan bertanda '*'.
* Dalam kuali, campurkan santan, bahan blend, gula, garam dan isi ikan.
* Masak dengan api sederhana sambil dikacau.
* Apabila sambal mula mengering, guna api paling perlahan dan sentiasa dikacau sehingga kering.
* Sejukkan sambal sebelum digunakan dan simpan dalam bekas kedap udara.


Bahan Untuk Pulut
2 kg beras pulut
1 liter santan pekat
Garam secukupnya
Daun pisang untuk membungkus secukupnya
 
Cara Penyediaannya
* Basuh dan toskan beras pulut.
* Siapkan daun pisang untuk membungkus pulut, lebarnya seperti untuk membuat lepat
* Campurkan santan dengan sedikit garam.
* Kukus pulut hingga masak dan keluarkan daripada kukusan.
* Siram pulut dengan santan dan kacau sekata.  Ulang proses hingga semua pulut sebati dengan santan.  Selepas selesai gaul pulut dengan santan, boleh juga kukus pulut semula sekejap.
* Sejukkan pulut seketika sebelum dibungkus.
* Sudukan pulut di atas daun pisang, sambil menekan sedikit untuk meratakannya.
* Letakkan sesudu inti ikan di tengah-tengah pulut dan cantumkan pulut semula untuk menutup inti.  Gentel sedikit hingga pulut menjadi bulat dan lonjong.
* Rapikan bungkusan dan sematkan di kedua-dua hujung daun pisang menggunakan lidi atau stapler.
* Ulang proses membungkus pulut hingga selesai.
* Panggang sekejap menggunakan arang atau guna kuali hingga daun pisang layu.

Agak-agak daun layu seperti dalam gambar, tak perlu panggang beriya sangat sebab pulut dan inti sebenarnya sudah cukup masak.


Sambil memanggang, tak sedar saya makan berbatang-batang pulut lepo ni.  Sebenarnya saya suka makan jenis-jenis pulut yang macam ini sama ada pulut panggang atau pulut lepo.  Ada kisah lucu zaman sekolah rendah saya dengan pulut panggang, sebab malu nak pergi beli selalu, saya upah kawan tolong belikan di kantin.


Untuk memudahkan dibentuk dan dibungkus, seeloknya lakukan ketika pulut masih suam-suam kuku lagi.

Sambil tulis entry sambil teringat sedapnya lah pulut lepo ni, bila pula dapat merasa air tangan MIL ku ini.  Sekarang dia sibuk ulang-alik lawat ayah di hospital, doakan ye ayah mertua saya sihat dan cepat boleh discharge.
Wassalam.