Sunday 23 September 2018

A Day To Remember - Day 2 (23/09/2016)

Assalam...
Mari kita sambung cerita yang penuh drama swasta ini.  Segala-galanya bermula daripada wasspp yang Ann terima ketika dinihari, dari Julija yang tak berapa nak cantik ini.  Si Julija ini yang patut uruskan 3 orang ahli group kami yang non-Sabahan untuk bergabung dengan group mereka.  Sudah sebulan ahli yang lain cancelled booking mereka, lepas tu dia buat senyap tak inform kami dengan alasan dia sibuk banyak travel.  Masa itu kononnya dia tengah bawa tourist berada dalam hutan di Indonesia dan tengah hiking juga.  Masing-masing terkedu bila Ann dah tunjuk wassapp dari Julija ini, apa-apa pun kami semua teruskan bersiap dan pergi ke Kinabalu Park untuk register dan mungkin ahli 3 orang ini perlu ikut advice si Julija ini untuk walk in.  Gerimis mengundang betul dengan hujan yang tak berhenti dan kadang lebat sejak subuh.

Dikaunter pendaftaran, memang nama kami 7 orang saja yang ada untuk hari ini, 3 orang lagi memang tiada.  Kami minta orang di kaunter tolong periksa lagi mungkin terdapat kekeliruan kerana segala bayaran telah mereka jelaskan pada ejen, mungkin nama daftar atas nama orang lain atau sebagainya kerana semasa seseorang membuat booking tarikh, bayaran pendaftaran untuk mendaki juga perlu dijelaskan.  Semua daftar nama pendaki dan ajen telah diperiksa dan memang sahih nama 3 orang ini tidak ada termasuk nama ajen tu sendiri tiada sebagai pendaki hari itu.


Nasihat daripada malim-malim gunung dan ajen yang ada, supaya 7 orang yang telah berdaftar naik terlebih dahulu, manakala yang 3 orang perlu menunggu jika terdapat sebarang kekosongan untuk hari itu.  Maksudnya mereka kena tunggu sehingga semua peserta berdaftar hadir terlebih dahulu, sebab mengikut daftar pendaki hari itu memang telah penuh.  Mereka hanya ada dua pilihan, satu jika ada yang tidak hadir, baru mereka boleh gantikan tempat kosong tersebut (berapa yang kosong pun belum pasti) atau mereka boleh daftar untuk mendaki pada keesokkan hari (mereka kena cari penginapan lain).  Lagi satu, mereka perlu sediakan sejumlah wang untuk pendaftaran baru, wang mereka dengan si Julija itu entah boleh dapat balik atau tidak.  Sebelum kami 7 orang naik, kami pakat kumpul-kumpulkan duit letak dalam satu akaun (dekat 2k untuk 3 orang) supaya mereka dapat buat jelaskan bayaran pendaftaran kelak.


Saya dah tak ingat masa bila kawan-kawan pergi ambil makanan (pack food) untuk pendaki setelah urusan pendaftaran dan malim gunung di selesaikan.  Dengan berat hati saya pergi juga mengikut 6 kawan yang lain menaiki bas ke Timpohon (starting point).  Menangis dalam hati suamiku tertinggal di belakang tak dapat mendaki bersama-sama.  Harapnya adalah peserta yang tak hadir dan mereka dapat naik hari ini juga. 


Jev seorang peserta lelaki yang akan ikut kami pagi itu dan kami akan dikelolah oleh 2 orang guide (malim gunung).  Sebahagian barang keperluan kami minta tolong malim gunung bawakan pergi dan balik dalik Park ke Laban Rata (ada bayaran dikenakan). Selepas taklimat dan bersarapan kami memulakan langkah, tetapi sebelum tu buat panggilan kepada kawan yang tertinggal sama ada mereka dah dapat tempat atau belum.  Ketika itu mereka maklumkan masih menunggu jika terdapat kekosongan.


Ready to go, baju hujan sebagai perisai barangan dan tubuh daripada hujan.  Setiap kami memang telah siapkan baju hujan pakai buang, beli yang murah-murah saja daripada tesco, giant atau daiso.  Memandangkan mendaki ketika musim hujan sebaiknya sediakan inner thermal yang dapat membantu mengawal suhu badan pada tahap normal.


BismillahiRahmani Rahim, permulaan langkah melepasi gate Timpohon.  Bergerak lebih kurang jam 9.30 pagi, agak lewat juga tu.


Gambar yang diambil oleh Jav ketika kami sampai di Carson Fall, ketika ini masih berjalan dalam kumpulan.


Bermula cabaran pendakian anak tangga pertama sebelum sampai ke pondok  pertama Pondok Kandis di KM1.


Di pondok Kandis dan Ubah, sempat Jav bermain-main dengan tupai jinak ini.  Bagi makan sementara menunggu kami yang dah tertinggal di belakang.


Jinak-jinak si tupai ini, sempat juga mencederakan jari si pemberi makan.


Sampai di pondok kedua, rasa masih boleh bertahan lagi walaupun agak rimas dengan baju hujan.  Peserta termuda ini sentiasa mendahulu kami, 4 lagi yang lain tertinggal di belakang.  Perjalanan baru lebih kurang 1.5km dalam masa 1 jam 20 minit, masih tahap normal.  Malim gunung masa taklimat bagi tahu kiraan normal paling minima adalah 1km bagi 1 jam.  Maksud paling lewat untuk sampai ke Laban Rata lebih kurang 6 jam perjalanan.


Dua lagi pondok selepas itu Pondok Lowi dan Mempening hanya singgah barang sesaat.  Ambil napas kata orang dan sepanjang perjalanan daripada 1.5km hingga mendekati 4km di pondok Layang-layang memang berjalan bersendirian secara perlahan.  Kena cekalkan hati dan buang jauh-jauh rasa takut tu, akan berjumpa dengan porter, pendaki yang lain sama ada mereka melepasi saya atau pun yang bergerak turun.  Bila jumpa tu macam kenal lama je dengan diorang nie, masa ini senang dapat salam, kata semangat mahupun yang offer makanan atau minuman.  Di Pondok Layang-layang Fit dan Jav berehat menunggu saya.  Up date daripada kawan-kawan yang lain pun tak dapat, mungkin masing-masing sorokkan phone sebab hujan, yang 3 orang lagi tak tahu mereka bergerak naik hari ini atau esok, tapi saya ada dapat sms berkenaan transaksi pada kad debit.  Untung juga Fit dan Jav tunggu saya, sempat minta makanan diorang sebab ketika itu sudah jam 1.30 petang perut memang dah berkeroncong.  Saya nasihatkan Fit dan Jav cepatkan speed sampai ke Laban Rata dan tak perlu tunggu kami.  Bila mereka sampai awal boleh register untuk bilik dan simpan makanan jika kami terlambat nanti.  Saya yakin boleh bergerak bersendirian, jika perlukan apa-apa bantuan pandai-pandai saya lah usahakana daripda pendaki lain nanti.  Ann dan 3 orang lagi dibelakang bergerak berkumpulan, Ann dah inform Maini ada masalah untuk teruskan pendakian mereka tengah usaha agar Maini dapat sampai ke Layang-layang.  


Ini laluan daripada Mesilau yang telah ditutup akibat kerosakan selepas gempa 2015.  Masih belum dapat dipastikan bila akan dibuka semula kerana kerosakan yang teruk, mungkin perlukan masa dan belanja yang besar untuk pulihkan semula.  Tak sempat kami nak merasa laluan itu yang dikatakan lebih cantik pemandangannya dan lebih jauh (6km).  Sepanjang pendakian ke Laban Rata memang sangat sedikit ambil gambar, kamera dah serahkan pada Fit, hanya apabila hujan redah dapatlah keluarkan phone.  Ketika sampai ke point yang dirasakan perlu untuk ambil gambar dan ketika itu tiada sesiapa yang lalu, baru lah tahu betapa kemahiran berselfie tu penting untuk dapat hasilnya terbaik.


Pondok Villosa hentian terakhir yang agak lama, singgah isi air dan buang air.  Masa ini jumpa ahli group pendaki dari Klang, ahli group mereka ramai tetapi telah berpecah semua.  Sempat mereka bertanya pada saya perkara yang kami kecohkan semasa pendaftaran tadi.  Salah seorang guide yang saya temui beritahu folan yang nama Julija itu sebenarnya wanted Kinabalu Park tu, sebelum-sebelum kami dah ramai yang terkena.


Ramai yang nasihat teruskan memakai baju hujan untuk melindungi tubuh daripada kesejukkan melampau ketika itu.  Faktor ketinggian dengan penurunan suhu di tambah hujan yang masih berterusan petang itu akan mempengaruhi penurunan suhu lebih cepat. 


Peneman setiaku, tongkat dan botol air.  Berhenti sejenak sebelum pondok Paka, hujan teduh boleh lah keluarkan phone untuk abadikan dua benda ini.  Menyedari usia dan tenaga tak seberapa, idea kawan-kawan agar sediakan tongkat sangat-sangat membantu dalam pendakian kali ini.  Orang muda dan mereka yang masih bertenaga kuda mungkin tak perlu untuk bawa tongkat. 


Ketika sampai di point ini (melepasi 5.5km) jam lebih kurang dah 4.30 petang, hanya lebih kurang 500 meter saja lagi untuk sampai ke Laban Rata Resthouse.  Hujan redah seketika, ambil peluang nak rakam sedikit gambar kenangan, tetapi kebanyakkan tempat masih berkabus tebal.


Pemandangan ke arah puncak juga hanya nampak kabus tebal.


Dari pondok Villosa saya jumpa seorang kawan yang juga berlajan slow macam saya.  Ketika saya bagi laluan, dia cakap takpe dia mau jalan slow-slow saja.  Melihatkan gayanya tak macam guide, porter pun bukan apa lagi pendaki.  Daripada sembang-sembang tu lah dapat tahu yang dia ini pekerja di Laban Rata Resthouse, dia baru balik bercuti selama seminggu di kampungnya.  Mereka yang bekerja di Laban Rata hanya pulang ke rumah (pulang bercuti) sekali sebulan, kebanyakkan masa rehat dihabiskan di hostel yang disediakan.  Banyak juga benda yang kami sembangkan, pengalaman kerja kerja di atas gunung, tentang suku kaum dan kampung, tentang makanan dan cerita semasa kejadian gempa bumi hari tu. 


Bunga gunung, kadang toleh kiri-kanan mencari jika ada raspbery liar untuk dimakan.  Saya teringat kenangan pendakian 20 tahun dulu, banyak pohon raspbery yang berbuah dan dengan selamba petik buah tu dan makan.  Terlalu penat atau cuaca yang tidak menyebelahi untuk menikmati flora dan fauna disepanjang pendakian.


Hampir jam 5 petang, kawan-kawan saya yang lain masih tak muncul lagi.  Selepas ini hari akan gelap, tetapi kurang bimbang sebab guide kami yang 2 orang ada bersama mereka.  Kawan sembang saya yang tadi tu saya awal-awal dah minta dia pergi dulu sebab saya nak tunggu pendaki lain, nak tanya jika mereka terjumpa kawan-kawan kami.

Penambahbaikan kemudahan pelancong sedang berjalan ketika itu, sekarang mungkin dah selesai pembinaannya.  Banyak pembaikan dan pembinaan semula yang berjalan ketika itu bagi kawasan sekitar Gunting Lagadan dan Panar Laban dan Laban Rata yang terkena kesan gempa hari itu.   Sempat menoleh kepada kerangka bangunan yang sedang dibina, teringat pada porter-porter yang bertanggungjawap mengangkut segala bahan binaan itu ke atas.


Semakin mendekati Laban Rata, hanya mampu bagi laluan kepada pandaki yang bergerak laju melepasi saya.  Walaupun hanya kurang dari 50 meter untuk sampai tetapi sepenuh kudrat rasanya dikeluarkan nak pastikan kaki dapat melangkah.


Tepat jam 5 petang, saya tiba di batu penanda Laban Rata.  Alangkah indah jika dapat sampai sini ramai-ramai dan ambil gambar bersama-sama di sini.  Tak sanggup lagi tahan kesejukkan dan lapar terus saja melangkah masuk ke Laban Rata Resthouse.  Fitri dan Jav baru turun dari bilik penginapan kami, Fit sampai lebih kurang sejam awal dari saya, Jav pula sejak jam 3 petang katanya.  Wah syoknya mereka dah siap bersihkan diri dan dah nak makan round kedua katanya. 


Sebab kelaparan sangat, abaihkan lah angkat barang naik ke bilik, jom kita makan dulu.  Bau makanan amat menyelerakan dan dihidangkan panas-panas, tapi tak dapat nak telan mungkin sebab badan terlalu letih dan perut dah masuk angin.  Kesedapan lamb chop, sup dan menu lain hanya mampu pandang, letak sekejap saja semua dah sejuk.  Paksa juga untuk makan sedikit dan minum sebanyak mungkin air sebab tak mahu masuk angin.  Hampir jam 6 petang Ann, Aerin dan Rinna sampai, Maini tidak dapat meneruskan pendakian dan terpaksa berhenti di Layang-layang.


Jam kira-kira 6.20 petang, dah gelap kat luar masa dua ketul ini muncul sambil mendapat tepukan ramai daripada pendaki lain yang berada di restoran.  Tepukkan semangat antara yang berjaya sampai pada minit-minit terakhir.  Sebenarnya mereka nak suprisekan kami katanya sebab tu semua bentuk komunikasi sms, call dan wassap mereka igrone.  Mereka bergerak dari timpohon dah hampir jam 11 pagi, group terakhir setelah mendapat tempat.  Eh tak kan berdua saja Aiman mana?, Aiman tertinggal kira-kira 30 meter di belakang bersama guide sebab kaki cramp.


Aiman sampai 15 minit kemudian bersama guide mereka.  Kaki cramp ya amat, dah habis ubat spray dan balm gosok tapi tak lega juga.


Restoran hanya buka buffet dinner sampai jam 7 malam untuk pelawat.  Jadi kami selesaikan isi perut dulu sebelum naik ke bilik.  Walaupun rakan kami yang bertiga ini group last yang dilepaskan mendaki dan sampai malam, tetapi masih dikira dalam tempoh normal dan tidak dikenakan sebarang caj tambahan.  Sambil makan riuh bercerita pengalaman yang dilalui hingga sampai ke Laban Rata. 


Laluan ke bilik penginapan, kami dapat 2 bilik yang terletak bersebelan dan berhadapan dengan bilik air.  Fit dan Jav yang pilih kot petang tadi, sangat selesa walaupun katil double dacker.  Yang tak selesa nak mandi dan bersiram sebab air terlalu sejuk walaupun guna heater.  Bersihkan diri ala kadar saja, tapi ada juga geng kami ini yang macam tiada perasaan mandi, bershampo segala.

Seeloknya tidur awal untuk pulihkan tenaga semula sebab kena bangun seawal 1 pagi untuk bersiap ke puncak nanti.  Sepatutnya selepas makan dan bersihkan diri, badan letih dapat tidur awal, tapi mata malam tu macam tak boleh pejam, jam 11 baru dapat tidur tapi tak lena.  Risau sangat kot kenangkan hari esok tak dapat bangun dan teruskan pendakian ke puncak, baru terlena sekejap, kepala rasa sakit, perut sebu dan rasa mual sangat.  Akhirnya semua isi perut dimuntahkan keluar, peristiwa 20 tahun berulang kembali.  Dua orang lagi dah pesan, tak perlu kejut sebab mungkin tak jadi naik.  Lepas dengar keputusan Rinna tu saya pun dah rasa goyah sama ada nak ikut kawan-kawan yang ke puncak atau tidak.  
Wassalam.

No comments:

Post a Comment