Assalam....
Buah sentul, sebut saja dah kecur air liur, belum nampak lagi dah macam tu. Sebab tu jarang nak tengok gambar buah sentul takut meleleh pula air liur kang. Jadi satu kepelikkan pada sahabat saya suatu masa dulu, dia pernah kata pelik lah awak ini, buah sentul tu yang awak suka, kalau suka bauh rambutan ke buah manggis ke ok juga. Tapi nak buat macam mana, dah suka. Kesukaan itu memang sejak kecil kot. Mak saya pernah cerita masa umur 2 atau 3 tahun, ada seorang kakak dukung dan bawa saya ke tempat mereka berkumpul petang-petang. Petang tu mereka sembang-sembang sambil mencicah buah sentul, tanpa mereka sedari saya ambil biji sentul dan masuk mulut. Kan dah nampak sangat yang saya tertarik dengan buah yang satu ini. Mereka mula panik sebab biji sentul tadi dah tersangkut di tekak, pelbagai cara mereka lakukan hingga terpaksa memukul belakang saya dengan kuat sampai saya memuntahkan balik biji sentul tersebut. Mak dapat hidu benda tak betul jadi kat anak dia sebab ketika mereka pulangkan saya dalam keadaan lemah. Syukur Allah bagi peluang umur panjang lagi dan sejak peristiwa itu mak dah tak benarkan sesiapa pinjam dan membawa saya jauh dari perhatiannya.
Ok balik pada cerita makan sentul, selalu jika kami mencicah hanya makan biji dan sedikit kulit yang berdekatan dengan biji. Bahagian kulit lain kami buang, bahagian inilah yang orang tua-tua akan ambil dan proses untuk menyediakan sambal. Kulit sentul dikupas dan dihiris memanjang macam dalam gambar atas. Kulit tu kemudian direbus untuk membuanng rasa masam serta kelat yang melampau.
Sambal Kulit Sentul
Sumber: Mak Buttahaya
Bahan-bahan
1 kg kulit sentul1kg / kotak santan
300 gm isi udang / ikan bilis
3 biji cili merah - hiris
3 biji cili hijau - hiris
15 biji cili padi* (ikut pedas)
3 batang serai*
2 biji buah keras*
5 ulas bawang merah*
1 labu bawang putih*
2 inc. halia*
Sedikit minyak untuk menumis
Garam secukupnya
1 camt. serbuk kunyit
Serbuk perasa secukupnya
Cara penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda "*".
* Tumis bahan blend hingga naik bau dan masukkan santan, serbuk kunyit dan kulit sentul.
* Biar mereneh hingga agak sedikit pekat, baru masukkan udang atau ikan bilis dan cili potong.
* Tambah garam dan serbuk perasa. Masak hingga pekat yang dikehendaki.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Sambal ini tahan lama jika di simpan kemas dalam peti ais.
Ramai juga yang tak tahu dan tak pernah dengar nama buah ini, walaupun mungkin dia tinggal di Sentul sana. Bawah nie gambar buah sentul, ada orang panggil setoi, santul, settung atau mungkin ada nama lain mengikut tempat masing-masing.
Last saya makan buah sentul yang fresh tahun lalu, dapat dari kawan umra. Kulit tu pula, mak mertua anak buah yang beri masa balik kampung (Sandakan) hari tu, di sana masih ada pokok sentul cuma selalu balik tak kena musim.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment