Assalam...
Sambal yang menjadi kegemaran tetapi susah untuk mendapatkannya. Saya belum pernah jumpa buah ini dijual di pasar yang biasa saya kunjungi di sini. Mungkin kena cari di pasar yang ramai dikunjungi oleh keturunan baba nyonya sebab buah ini memang terkenal dalam masakan mereka. Sambal atas tu bekalan dari kakak untuk si adik yang mengada-ngada minta dibuatkan.
Untuk mengeluarkan isi kloak yang hitam, perlu diketuk kuat dan kami menggunakan alu dan lesung batu.
Menurut kakak isi buah kloak yang kami guna hari itu agak kering dan keras, jadi terpaksa direndam terlebih dahulu ke dalam air sejuk untuk melembutkannya. Mungkin stock terlalu lama disimpan oleh peniaga. Buah kloak yang elok, isinya lembut dan boleh digunakan serta merta tanpa perlu merendamnya.
Antara bahan asas yang menjadi campuran untuk membuat sambal kloak bawang merah dan cili padi.
Sambal Kloak (Gammi' Kaloak)
Sumber: Kak Soda
Bahan-bahan
5 biji buah kloak peram
10 ulas bawang merah
5 biji cili padi
3 sudu udang kering (optional)
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis
Sedikit air
Cara Penyediaannya
* Pecahkan kulit kloak menggunakan batu lesung untuk mengeluarkan isinya yang berwarna hitam.
* Sekiranya isi agak keras, rendam ke dalam air sejuk seketika hingga isi kembang sedikit / lembut.
* Tumbuk bawang merah, udang kering bersama cili dan garam.
* Masukkan buah kloak dan tumbuk hingga hancur.
* Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumbuk.
* Letakkan sedikit air dan tumis lagi hingga kering.
Isi buah kloak muda (yang tidak di peram) boleh jugak di masak asam bersama ikan salai seperti gambar di bawah. Ikan salai boleh guna ikan tongkol, selayang (sardin) atau sebarang ikan yang digemari dengan syarat perlu salai terlebih dahulu.
Kalau ada yang tertanya-tanya buah kloak tu apa? buah kloak tu adalah buah kepayang, buah yang disebut dalam pantun tu. Ada juga yang mengenalnya sebagai "pangi".
Wassalam.
No comments:
Post a Comment