Wednesday, 16 March 2016

SAMBAL KLOAK aka GAMMI' KALOAK



Assalam...
Sambal yang menjadi kegemaran tetapi susah untuk mendapatkannya.  Saya belum pernah jumpa buah ini dijual di pasar yang biasa saya kunjungi di sini.  Mungkin kena cari di pasar yang ramai dikunjungi oleh keturunan baba nyonya sebab buah ini memang terkenal dalam masakan mereka.  Sambal atas tu bekalan dari kakak untuk si adik yang mengada-ngada minta dibuatkan.


Untuk mengeluarkan isi kloak yang hitam, perlu diketuk kuat dan kami menggunakan alu dan lesung batu.


Menurut kakak isi buah kloak yang kami guna hari itu agak kering dan keras, jadi terpaksa direndam terlebih dahulu ke dalam air sejuk untuk melembutkannya. Mungkin stock terlalu lama disimpan oleh peniaga.  Buah kloak yang elok, isinya lembut dan boleh digunakan serta merta tanpa perlu merendamnya.

Antara bahan asas yang menjadi campuran untuk membuat sambal kloak bawang merah dan cili padi.




Sambal Kloak (Gammi' Kaloak)
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
5 biji buah kloak peram
10 ulas bawang merah
5 biji cili padi
3 sudu udang kering (optional)
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis
Sedikit air


Cara Penyediaannya
* Pecahkan kulit kloak menggunakan batu lesung untuk mengeluarkan isinya yang berwarna hitam.
*  Sekiranya isi agak keras, rendam ke dalam air sejuk seketika hingga isi kembang sedikit / lembut.
*  Tumbuk bawang merah, udang kering bersama cili dan garam.
*  Masukkan buah kloak dan tumbuk hingga hancur.
*  Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumbuk.
*  Letakkan sedikit air dan tumis lagi hingga kering.




Isi buah kloak muda (yang tidak di peram) boleh jugak di masak asam bersama ikan salai seperti gambar di bawah.  Ikan salai boleh guna ikan tongkol, selayang (sardin) atau sebarang ikan yang digemari dengan syarat perlu salai terlebih dahulu.

Kalau ada yang tertanya-tanya buah kloak tu apa? buah kloak tu adalah buah kepayang, buah yang disebut dalam pantun tu.  Ada juga yang mengenalnya sebagai "pangi".
Wassalam.

Tuesday, 15 March 2016

Pulut....Dah macam Hari Pulut Sedunia


Assalam....
En.Abe dapat gambar dari mana ntah, gambar pulut diregukan dengan ayam goreng dan cili sos thai.  Berulang kali tanya soalan bila nak buat, sambil tunjuk pulut susu yang dibeli ketika ke sempadan hari itu.  Rasa nak sorok cepat-cepat je pulut tu, kalau sendiri punya makanan feberet laju jer nak buat.  Kita sebenarnya tak minat sangat makan pulut, ciri-ciri yang langsung tak mewarisi ahli keluarga lain, yang semuanya hantu pulut.  


Sebab kasih dan sayang pada suami tercinta kan, kita rajinkan diri menanak pulut sebelum dia merajuk.  Masak guna pressure cooker (noxxa) sangat menyenangkan kerja, lepas 5 minit pulut pun siap terhidang.  Pulut susu sekilo tu separuh buat putih dan separuh lagi buat pulut kuning.  Pulut kuning kita regukan dengan rendang daging dan sambal udang.

Lauk rendang dan sambal udang tu, bukan hasil dari air tangan sendiri tapi dapat daripada kenduri semalam.


Sebab nak makan sangatkan pulut tu, pesan kat En.Abe balik kerja nanti singgahlah beli durian, dapat sebiji pun jadilah.


Tambah permintaan lagi, tambah beli sebiji mangga masak lagi.  Dapat 2 biji mangga lily, tapi sangat mengecewakan sebab masamnya ya ampun sampai terkenyit-kenyit mata jadinya.


Sebab katanya menu pulut ini lebih dominasi oleh orang Thai, jadi air pun nak perasa ais cream soda yang dibeli dari sempadan.  Tolong sikit, bukan orang Thai saja yang suka makan pulut tau, contoh terdekat keluarga saya yang langsung tiada darah Thai semua suka makan pulut dari sarapan hingga malam boleh layan makan pulut.  Pesta pulut mereka lagi macam-macam warna bukan setakat putih dan kuning saja.  Kira pulut ini makanan orang nusantara lah.


Luar musim, beli durian udang merah (ang her) macam beli emas, sebiji ini RM50.  Takpe rabak poket demi isteri tercinta takpe, dapat pahala bukan pergi joli katanya.  Nak noted kat sini, saya tak suka durian udang merah, tetap suka pada durian D24 walaupun durian Musang King dan Xo Xo lagi sedap.  

Makan hari juga nak habiskan pulut tu, tapi hari ke-2 takde dah lauk yang pelbagai hanya diregukan dengan ikan talapia goreng.  Semalam terasa sakit urat keting masa nak melangkah, hari ini urat kat tulang belikat pulak.  Ini semua gara-gara makan pulut ker? tapi diorang ok jer lepas makan pulut. 
Wasalam.