Saturday 17 January 2015

Ikan Kayu Masak Tanakrota'

Assalam...
Kata nama "tanakrota" (bahasa bugis) merujuk kepada santan yang dimasak sehingga kental atau berketul-ketul.  Maksudnya proses pertengahan dalam penyediaan minyak kelapa.  Sebelum menjadi minyak masak matang dan tahi minyak.  Menu ini sebenarnya antara makanan yang pernah saya makan ketika zaman kanak-kanak di rumah saudara dekat, seingat saya mak sendiri tak pernah memasaknya.
Menu ini sebenarnya simple cuma perlukan masa sedikit untuk penyediaannya, dulu selalu makan tetapi tak pernah melihat bagaimana ianya disediakan.  Maklum ketika itu masih kanak-kanak, jadi soal memasak  tak minat nak ambil tahu, nasib mak hajjah masih ada untuk bertanyakan resepi.  
Ikan kayu dibersihkan dan potong kecil-kecil, seeloknya gunakan ikan kayu yang kulit berlorek/ bintik kerana isinya yang lembut. 
Yang menjadi mangsa untuk menanyakan resepi adalah anak sepupu.  Sebenarnya nenek beliau adalah si empunya resepi ini.  Jom kita semak bagaimana nak sediakan resepi tradisi ini.
Ikan Kayu Masak Tanakrota'
Sumber: Mak Hajjah

Bahannya
1 ekor ikan kayu (tongkol / aya)
Santan pekat dari 2 biji kelapa
Serai - diketuk
Serbuk kunyit
Garam dan perasa
4 ulas bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 biji cili merah*
1 inc. halia*
10 biji cili padi*

Penyediaannya
*  Tumbuk semua bahan bertanda '*' hingga lumat.
*  Masak santan hingga menjadi berketul-ketul (tanakrotta').
*  Masukkan bahan tumbuk, serai, kunyit dan ikan.
*  Masak lagi hingga pekat / keluar minyak.
*  Masukkan garam dan sesuaikan rasanya.
 
Sekali pandang mungkin ada yang menyangka masak tanakrota' ini sama dengan rendang, kerana prosesnya juga mengambil masa.  Namun ternyata berbeza kerana tanakrota' ini tidak menggunakan sebarang rempah.
Terima kasih pada anak seudara Atinurul yang berusaha untuk meminta resepi dari mak hajjah, semoga sama-sama meraih pahala daripada ilmu yang diajarkan.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment