Tuesday, 31 March 2020

Daging Goreng Kelantan, Resepi MIL

Assalam...
Hari ini lengkap sudah 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP-1) ekoran pendamik covid-19 yang mengila seluruh dunia.  Sepatutnya esok kita semua dah kembali bertugas, anak-anak ke sekolah.  Tapi nampaknya PKP dilanjutkan lagi selama 14 hari hingga 14 April ni.  Jadi teruslah kita duduk diam-diam di rumah, teruskan menyediakan makanan berkhasiat untuk keluarga dan teruskan berdoa semoga diri kita, keluarga, manusia dan negara dilindungi Allah SWT.  Harapnya PKP ke-2 ini tidak akan dilanjutkan ke PKP seterusnya. 



Ini adalah siri main masak-masak dengan MIL, belajar sediakan daging goreng.  Memang daging goreng dengan orang Kelantan berpisah tiada, walaupun guna bahan yang simple tetapi rasanya tetap sedap.  MIL selalu masak daging goreng menggunakan daging fresh tak guna yang frozen, musim raya memang selalu lah menu ini disediakan.


Daging Goreng Kelantan
Sumber: Che Bedah

Bahan-bahan
1/2 kg daging batang pinang
2 inc. halia - ketuk
5 ulas bawang putih - ketuk
1 ulas bawang besar
Serbuk kunyit secukupnya
1 biji cili merah - hiris
5 biji cili padi - ketuk
Garam dan serbuk perasa
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara Penyediaannya.
* Potong daging mengikut urat dan memanjang.
* Rebus daging bersama halia yang diketuk dan serbuk kunyit.  Rebus hingga empuk dan air kering.
* Bila dah empuk dan air kering, masukkan sedikit minyak.
* Goreng daging dan tambah bawang besar, cili hiris dan perasakan.
* Sesuaikan rasanya dan bila bawang layu, boleh tutupkan api.
* Hidangkan.

Bagi mereka yang ada penyakit kronik tu dinasihatkan kurangkan pengambilan menu daging, sesekali boleh lah kan nak sediakan menu ini.  Ada yang kata buat syarat atau buat ubat, sendiri kena ingatlah ya.

Mari kita terus berdoa moga covid-19 cepat berlalu;
 
Wassalam.

Saturday, 28 March 2020

Kuih Akok Pandan Kelantan, Original Resepi dari MIL

Assalam....
Selepas ini jangan lah jemu ya, kita keluar resepi hasil dari main masak-masak dengan MIL.  Hari ini kita belajar buat kuih akok, MIL memang pembuat kuih akok tepung beras dan sebagai seorang yang suka benda manis-manis ni, tentulah saya suka sangat nak mencicipi kuih-muih.  Akok kuih tradisi negeri Kelantan, rugi rasanya kalau tak belajar lagi pun orang yang pro dah ada depan mata.  Semoga boleh dimanfaatkan perkongsian ini.


Nak dapatkan santan dan pati pandan, campurkan pandan blend dengan kelapa parut dan ramas sekali dan perah.  Ini cara orang kampung dapatkan santan kena perah kelapa parut.  Awak yang duduk bandar campurkan saja santan dengan pandan paste, kan mudah tu.


Akok Pandan Kelantan
Sumber: Che Bedah

Bahan-bahan
2/3 mangkuk tepung beras
1 mangkuk telur
1 mangkuk gula pasir
1 mangkuk santan (yang bercampur pati santan)
5 helai daun pandan - blend
Sedikit garam
Sedikit minyak untuk griss acuan
 


Cara Penyediaannya
* Perah kelapa dengan daun pandan blend, tapis dan sukat mengikut sukatan yang diperlukan.
* Campurkan santan dengan telur, gaul hingga gula hancur.
* Campurkan dengan tepung, kacau sebati dan tapis adunan.
* Diamkan adunan sebentar kira-kira 20-30 minit. 
* Panaskan acuan, griss dengan minyak masak.
* Tuangkan adunan paras 2/3 pada acuan dan bakr hingga masak.
* Keluarkan dari acuan bila dah masak dan ulang griss untuk bakar yang seterusnya.
* Sejukkan kuih dan hidangkan.


Nota penting:
- Masukkan adunan ketika acuan kena betul-betul panas dan ada bunyi "sreak".
a. Santan dari 2 biji kelapa
b. Tepung beras guna cap teratai atau 3 gajah
c. Letak garam, tips kuih tak hancur.
 
Jika tiada cetakan kuih akok tradisi begini dan tak boleh bakar guna sabut, kita guna acuan bahulu atau acuan kuih bakar dan bakarlah dalam oven. 


Hasil akok yang MIL buat sangat sedap dan lembut, tak sedar boleh makan banyak biji.  Saya suka makan kuih akok ketika kuih ini masih suam-suam.  Manis dia tu memang lah tak boleh bawa bincang, biasalah kuih-kuih tradisi negeri Che Siti Wan Kembang kan.  Bagaimanapun kuantiti gula boleh kita kurangkan sedikit mengikut citarasa sendiri.
Wassalam.

Thursday, 26 March 2020

Kerabu Masak Perut Muda Cara MIL


Assalam...
Musim cuti, musim untuk balik kampung dan boleh main masak-masak dengan MIL.   Rasa diri kanak-kanak lah pula guna kata 'main-main' tu kan.  Kena bagi tahu, main masak-masak dengan MIL ini yang dah lama bukan sekarang tau.  Kena info siap-siap kalau tidak nanti kena kecam kenapa balik kampung tak reti nak duduk diam-diam ker?.


Kita pun ada hati perut tau bukan buta perut macam awak.  Eh marah ker? tak lah saja jer nak merepek sebab dah puas duduk rumah kan.  Kita cerita pasal perut lembu sudah lah, perut lembu yang jadi kantung dan proses segala makanan yang lembu makan adalah organ dalaman yang ramai peminatnya.  Cuci bersih-bersih dan boleh olah jadi pelbagai hidangan lazat.  Ini salah satu resepi, cara MIL hasilkan menu dengan menggunakan perut lembu muda.


Kerabu Masak Perut ala MIL
Sumber: Che Bedah

Bahan-bahan
300gm perut muda
3 tangkai kacang panjang
2 biji timun

3 biji tomato
1 batang lobak merak
2 biji cili besar
3 biji cili padi (secukupnya)
3 biji bawang merah
1 mangkuk kecil taugeh
Sohon secukupnya
Fucuk secukupnya
Cuka secukupnya
Gula dan garam secukupnya
Air secukupnya




Cara Penyediaannya
* Bersihkan dan potong sayuran memanjang. Tomato dan timun potong dadu dan buang biji.
* Sohon dan fucuk direndam terlebih dahulu kemudian potong pendek.
* Hiriskan bawang merah, cili padi dan cili merah.
* Perut yang telah direbus di potong memanjang lebih kurang 1 inc.
*  Campurkan cuka, gula dan garam, kacau hingga gula larut dan campurkan bawang.
* Jerang air hingga mendidih.  Masukkan campuran cuka tadi, masukkan perut, fucuk dan sayur dan agak keras terlebih dahulu (kacang dan carrot).  
* Kacau sebati dan biar sehingga mendidih, masukkan sayur yang lain.
* Sesuaikan rasanya dan tutup api.
* Siap untuk dihadangkan.


Sayur-sayuran tu tak perlu masak lama sampai jadi lembut.  Kerabu ini sedap jika sayurannya masih terasa ranggup krak krup krap kruk ketika digigit.

Kalau tak makan organ dalaman atau perut lembu, awak boleh gantikan dengan ayam.
Wassalam.

Brownies

Assalamm...
Tempoh PKP dilanjutkan ke 14 April, 2020.  Seperti yang dijangkakan dengan melihat pada bacaan graf harian mereka yang dijangkiti covid-19 semakin meningkat.  Kes kematian juga sudah mencatatkan sebanyak 20 jiwa pada hari ke8 PKP ini.  Harap semuanya bersabar dengan keadaan yang berlaku sekarang dan teruskan duduk diam-diam di rumah.


Orang kata coklat dapat melegakan tekanan, jadi jom ambil sumber coklat dengan menyediakan coklat brownies.  Brownies mengikut sejarahnya adalah kek bantat yang tersilap buat, tetapi lama-lama menjadi kesukaan ramai.  Brownies adalah sejenis kek tapi tidak dipanggil sebagai kek.


Chocolate Brownies
Sumber: Mulia

Bahan A
300gm dark chocolate
150gm mentega
* Cairkan guna kaedah double boiler
 
Bahan B 
200gm brown sugar (boleh kurang jadi 170gm jika tak suka manis)
4 biji telur (gred B)
1 sudu teh esen vanilla
* Kacau telur dan esen vanila hingga sebati dan campurkan gula.  Jangan kacau lama

Bahan C
100gm tepung gandum
30gm serbuk koko
* Ayak bersama tepung

Bahan D
2 sudu air panas 
3/4 sudu kecil nescafe
* Campur dan gaul sebati


Cara Penyediaannya
* Sediakan loyang 9 x 9, griss dan lapikkan dengan baking paper.
* Panaskan oven guna suhu 150'C.
* Campurkan bahan A dan bahan D.
* Tambah bahan B dan  C berselang seli.  Gaul perlahan hingga semua sebati dan tidak berketul.
* Masukkan ke dalam loyang pembakar. Hentakkan loyang sekali untuk mengeluarkan gelembung angin.
* Bakar selama 30-40 minit, mengikut kepanasan oven.
* Setelah 30 minit, test brownies dengan cake taster.  Matikan oven bila brownies dah masak.
* Letakkan bownies kat dalam oven dengan pintu terbuka sedikit.
* Bila dah suam baru keluarkan dan potong mengikut saiz yang dikehendaki.
Boleh kata ini brownies kedut ker? Tapi kedut tu tak seberapa nampak lah.   Kena test lagi lain kali untuk menjadikan dia berkedut.
Wassalam.

Wednesday, 25 March 2020

Penyaram @ Kuih Jompo-Jompo, Koleksi Resepi terbaik

Assalam...
Kuih penyaram @ jompo-jompo @ cucur jawa @ kuih topi, itulah nama penggilannya.  Walaupun agak renyah menghasilkannya tapi seronok sebab suka akan kuih ini.  Mak-mak kita dulu buat main aga-agak saja sukatannya, tapi hasil penyaram mereka tip top.   Saya respect cara mereka hasilkan penyaram, jika yang pertama kurang baik hasilnya mereka cepat-cepat adjust untuk dapatkan hasil yang cantik.  Kalau saya adjust sampai habis adunan tak dapat yang begitu, kuih penyeram yang cantik bentuknya seperti topi, tepi-tepi berlekuk, struktur dalam berlubang-lubang dan lembut.


Sebelum lupa kita simpan sini, resepi terbaik kuih penyaram setakat yang pernah dicuba.  Hasil penyaram daripada resepi ini adalah penyaram yang lembut, simpan sampai keesokkan pagi pun masih lembut.


Kuih Penyaram (Jompo-jompo)
Sumber: HaSue

Bahan-bahan
500gm tepung gandum
100gm tepung beras
650ml air (200ml air panas + 450ml air kosong)
3/4 sud teh garam
500gm gula merah / apong / areng
Minyak masak



Cara Penyediaannya
* Dalam bekas satukan tepung gandum dan tepung beras.
* Dalam bekas lain, bancuh gula apong dengan 200ml air panas (boleh juga dimasak seketika untuk mencairkan gula terutamanya jika guna gula melaka.
* Apabila gula cair sepenuhnya boleh lah tambahkan air selebihnya.
* Tuang air gula tadi ke dalam tepung dan kacau guna hand whisk sehingga sebati.  Masukkan garam dan kacau lagi.
* Tapis adunan  dan perap semalaman.
*  Panaskan 2/3 cawan minyak masak (guna api perlahan), ambil satu senduk kecil dan tuang adunan di tengah-tengah kuali.
* Biarkan sehingga ia masak dari tepi ke tengah baru lah di terbalikkan.

Kawan saya kata jangan mengaku orang Sabah jika tak kenal dengan kuih penyaram.  Kalaupun mungkin banyak nama tetapi rata-tara suku kaum di Sabah pandai buat kuih penyaram ni.
Wassalam.

Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan

Assalam...
Masjid Sri Sendayan, merupakan masjid baru dibuka pada September 2019 dan menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan ketika ini.  Mula menjadi tarikan pengunjung dari luar daerah selepas dibuka dengan rasmi kerana keunikkan senibinanya.   Masjid yang dibina menelan belanja hampir 100 juta dengan konsep wakaf dari tetuan RHB bank menerapkan senibina luar negara dan pasukan arkitek yang di datangkan daripada Dubai, Cina, Mesir, Turki dan Maghribi. 



Dua bangunan yang terpisah dan terletak dihadapan ini menempatkan pejabat pentadbiran masjid, perpustakaan, bilik kuliah dan dewan serbaguna.  Terpisah dilaluan menuju bangunan utama Masjid Sri Sendayan.


Terdapat 2 tempat wuduk terbuka begini yang terletak di perkarangan masjid.


Dua menara.


Pandangan dari luar atau dari hadapan bangunan berkubah yang ada jam tu macam satu bangunan dengan bangunan Masjid.  Sudah sampai, kena jalan jauh rupanya untuk sampai ke perkarangan bangunan masjid.


Ruang legar bangunan utama, ramai pelawat yang lepak-lepak kat sini sambil menunggu ahli rombongan masing-masing bersholat.


Ruang legar menggunakan bumbung kaca, tu nampak macam open air kan.  Penjimatan tenaga pada waktu siang dengan hanya menggunakan cahaya matahari.


Perincian pada bahagian atas laluan ruang legar.


Laluan di bahagian luar ruang legar.  Terdapat satu lagi laluan berbumbung daripada bilik air di sebelah luat hingga ke bangunan masjid. 


Pintu ke dewan sholat utama (lelaki) di tingkat bawah.


Tempat mengambil wuduk, bilik air dan kawasan pengurusan jenazah.  Ada kawasan open air dan sangat bagus  untuk ventilasi yang baik.

Bagi jemaah wanita yang kurang upaya untuk berjalan jauh, boleh berkereta hingga ke pintu sebelah kanan masjid.  Di situ dekat dengan lift untuk ke bahagian dewan sholat wanita di tingkat 2. 


Tempat wuduk bahagian wanita di tingkat atas.


Ruang sholat utama tingkat bawah boleh nampak detail ruang dalaman masjid, terima kasih bagi pinjamkan gambar.


Dari ruang sholat wanita, di tingkat atas hanya boleh intai macam ini saja.


Zoom sikit nampak macam ini.


Ruang sholat wanita.


Corak ukiran pada lelangit ruang sholat.


Perincian pada lampu dan ukiran siling dewan sholat.  Kebanyakkan bahan binaan dan ukiran masjid aladah ditempah khas.


Keunikan senibina masjid membuatkan ia menerima julukan dari orang ramai sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi, dan masjid kerajaan Uthmaniyah.
Semoga masjid besar yang boleh memuatkan bilangan jemaah hampir 5000 orang ini dapat terus diimarahkan oleh penduduk sekitar.
Wassalam.

Masak Lemak Cili Padi Ayam Dengan Terung dan Timun

Assalam...
Selamat diam-diam duduk di rumah dah masuk hari ke-8, tak sedar kan masa berlalu cuma tinggal beberapa hari lagi nak selesai Perintah Kawalan Pergerakan.  Pergi jauh-jauh lah covid-19 wehh, kami tak perlukan awak.  Mari kita berdoa semoga perintah ini tidak dilanjutkan lagi dan keadaan negara kita kembali seperti sediakala;

Ya Allah berikanlah aku hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah.
Berikan kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan.
Dan peliharalah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan.
Berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan.
Dan selamatkan aku dari bahaya yang telah Engkau tentukan.
Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menghukum dan bukannya yang kena hukum.
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin.
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.
Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.
Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau hukumkan.
Aku memohon ampun dari-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.
Dan semoga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W dan keluarganya.

Kawan-kawan yang telah tepu otak nak fikir menu nak masak apa untuk keluarga, boleh cuba menu kampung ini style my mum in law masak.


Masak Lemak Cili Padi Ayam Dengan Terung Dan Timun
Sumber: My MIL

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam - potong kecil
4 biji terung bulat hijau - belah 4
2 batang timun - belah 2 dan potong 1/5 inc.
1 kotak kecil santan pekat
Segengam cili padi
2 biji cili besar*
2 inc. kunyit hidup*
3 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inc. halia* 
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Secukupnya garam dan serbuk perasa 



Cara Penyediaannya
* Tumbuk atau blend halus bahan bertanda "*".
* Tumis bahan blend hingga wangi dan masukkan ayam.
* Gaul dan tumis sebati sekejap, kemudian masukkan air secukupnya (mengikut banyak mana kuah yang kita nak). 
* Bila sudah mendidih, masukkan terung, timun dan biar mereneh hingga masak.
* Tambahkan santan, garam dan perasa.  Sesuaikan rasanya dan didihkan sekejap dan tutup api.

Selamat mencuba, idea nak masak ketika musim nak berjimat sebab dalam tu dah ada sayur dan sumber protien.
Wassalam.