Assalam....
Dalam perjalanan balik dari kampung, kami singgah ke gerai ini sebab nak beli akok panas. Setiap kali lalu pasti terlihat signboard Akok Panas Kak Tie (nama nak sama plak), nak singgah tapi tak pernahnya buka. Kali ini langkah kanan, gerai buka dan ramai orang tengah menunggu pesanan masing-masing.
Kami terus menuju ke tempat buat akok, memang ada tersedia yang panas, adik tu baru keluarkan dari acuan. Kami beli cukup-cukup untuk kami bertiga dan makan di situ juga ,kerana kami memang suka menikmati kuih akok yang panas-panas.
Semakin lama semakin ramai orang berhenti sama ada untuk membeli kuih akok atau nangka madu. Memang terdapat banyak gerai yang menjual nangka madu tetapi rasanya hanya satu gerai ini sahaja yang ada menjual kuih akok.
Bertungkus lumus pakcik dengan anak dia tu menyiapkan tempahan pelanggan, ramai yang nak nangka madu. Booking plak berpaket-paket, kami yang minta sepeket aje pun kena tunggu. Tapi tak kisah sebab dapat belajar sesuatu semasa menunggu.
Sambil menunggu pesanan nangka madu kami siap, kami nikmati dulu kelazatan kuih akok panas ini. Rasa akok kak tie ini memang sedap, anak-anak pembuat akok kata sama rasa macam yang chek buat masa bulan puasa.
Sambil tu dapatlah kami saksikan proses memasak kuih akok.
Pada yang tak tahu akok tu ape, akok tu sejenis kuih tradisi orang kelantan. Dibuat daripada telur, gula dan santan sebagai bahan utama dan dibakar dalam acuan akok (seperti acuan bahulu). Kaedah membakar cara tradisi menggunakan sabut kelapa inilah merupakan ciri istimewa kuih akok.
Selain akok dan nangka madu, gerai ini juga ada menyediakan jeli kelapa. Memang kena try semua dah alang-alang singgah kan.
Lokasi gerai akok panas kak tie ini terletak di tepi jalan dalam perjalanan antara pekan Bentong dan Raub. Kalau perjalanan dari arah Bentong ke Raub, selepas anda melepasi kawasan Felda Lurah Bilut tu dah dekat lah dengan gerai ini. Nampak ada signboard macam kat bawah ini di tepi jalan, gerai di sebelah kanan.
Kata adik yang membuat kuih akok tu, gerai ini buka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 7 petang. Pakcik tu pulak bagi tau bekalan nangka madu mereka tak pernah putus, walaupun bukan dari kebun sendiri. Bekalan nangka diperolehi daripada pengusaha estet nangka dari kawasan Lancang mahupun Lentang. Pakat-pakat singgahlah beli di sini, pakcik tu pun tak kedekut siap bagi kita rasa lagi nangka madu. Gerai lain tak buat macam tu tau.
Wassalam.