Assalam...
Sedikit perkongsian cara penyediaan apam tepung beras yang dihasilkan oleh orang-orang kampung di Polman, Sulawesi. Walaupun ianya hanya kuih biasa-biasa, tetapi pengalaman dapat menyaksikan proses penyediaannya begitu mengujahkan. Agak berlainan sedikit berbanding dengan yang pernah saya saksikan atau yang disediakan sendiri, lebih-lebih lagi dengan penggunakan peralatan yang asas dan agak terhad.
Menurut si pembuat apam ini, adunan perlu diuli seketika kerana menggunakan tepung beras yang dikisar sendiri, bermakna tepung tidak cukup kering seperti yang dijual dalam paket. Cara menguli adalah seperti menguli adunan untuk menyediakan roti. Adunan diuli sehingga licin dan tidak melekat pada tangan. Di bawah ini pula, adalah jenis yis yang digunakan.
Larutan gula kabung yang telah dibmasak bersama air dan biarkan mendidih seketika kemudian disejukkan.
Ketika mencampurkan air gula ke dalam adunan, jangan lupa tapis ye untuk mengeluarkan benda asing yang mungkin terdapat dalam gula.
Proses mencampurkan larutan gula kabung dengan doh yang telah siap diuli.
Biarkan adunan selama lebih kurang 2 jam sebelum dikukus. Adunan hanya akan naik sedikit dan jangan terkejut jika ianya tidak naik hingga 2 kali ganda seperti yang biasa ketika kita menyediakan apam.
Acuan canggih orang kampung, kira acuan multi purpose jugak lah ni. Sebelum dan selepas ini akan digunakan sebagai penapis.
Menggunakan plastik sebagai alas pada acuan, lidi yang diletak antara lubang-lubang penapis sebagai batas atau petak apam.
Rupa apam yang dah hampir masak dalam pengukus.
Mengukus apam dalam periuk kukusan menggunakan dapur kayu.
Kukur kelapa dan ambil bahagian yang putih jer, paling elok guna kelapa yang sedikit muda dan tidak terlalu tua.
Tersedia sebagai hidangan minum petang. Nak tengok resepinya, lebih kurang macam kat bawah ini. Tiada ukuran tertentu yang digunakan, semua main agak-agak jer., terror tak terror?. Kalau saya agaknya semua error.
Apam Tepung BerasSumber: Soda
Bahan-bahan
Tepung Beras
Air
Yis
Gula kabung yang telah dicairkan dan dimasak dengan sedikit air
Kelapa parut
Garam - untuk digaul dalam kelapa
Cara penyediaan
*Campurkan tepung dengan yis dan air. Bancuh sedikit demi sedikit bersama air untuk mendapatkan doh yang seperti doh untuk membuat onde-onde / buah melaka.
*Doh perlu diuli hingga adunan licin dan tidak melekat pada tangan (kira-kira 20 minit jugak nak mengulinya).
*Bila adunan selesai diuli, tuangkan air gula yang telah disejukkan, kacau rata. Adunan apam ini sedikit cair berbanding dengan apam yang biasa dibuat menggunakan tepung gandum. Kecairan adunan adalah seperti hendak membuat tepung goreng pisang.
*Ketepikan dan biarkan selama lebih kurang 2 jam sebelum dikukus.
*Untuk mengukus, tuang ke dalam acuan yang telah disapu dengan minyak dan kukus selama 15 minit atau hingga apam masak (merekah dipermukaan atau tidak melekat pada lidi ketika mencucuk apam).
*Hidangkan bersama dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.
Saya suka menikmati yang masih panas atau suam bersama air teh. Nikmat yang tak terhingga...
Wassalam.