Tuesday 5 May 2015

Goreng Pisang Kering (Sanggara Kaloko Loka)

Assalam...
Kaloko loka, adalah option terakhir yang selalu orang kampung buat untuk menyelamatkan pisang masak dari terbuang begitu saja.  Sekiranya ada bekalan pisang masak dan sudah puas dinikmati segala menu berkaitan pisang, goreng pisang, jemput pisang, roti pisang, burongko, lempeng pisang, apam pisang, pisang kukus dan sebagainya tetapi pisang masih berbaki jugak bolehlah dibuat kaloko loka atau pisang kering.  Kaloko Loka bermaksud pisang yang telah dikeringkan di bawah cahaya matahari.  Pisang hanya dibelah dua, disusun dan dibiarkan terjemur di bawah pancaran terik matahari.  Ketika petang hari, pisang akan diangkat, dikumpulkan dan disusun rapat-rapat pada satu arah agar cecair dari pisang akan senang keluar.  Keesokkan harinya dijemur semula dengan permukaan pisang akan diterbalikkan mengikut hari menjemur, maksud jika hari pertama permukaan yang terbelah menghadap ke atas, pada hari kedua bahagian terbelah itu diletakkan di sebelah bawah.  Proses ini akan diulang-ulang sehingga pisang betul-betul kering.  Kaloko loka ini boleh disimpan lama di tempat yang kering dan boleh dijadikan bekalan ketika terdesak.
 
Goreng Pisang Kering (Sanggara Kaloko Loka)
Sumber: Mulia


Bahan-bahan,
Pisang kering (kaloko loka)
Tepung gandum / beras
Air
Garam
Minyak untuk menggoreng
 

Penyediaannya,
*  Basuh pisang hingga bersih dan toskan hingga kering
*  Buatkan batter untuk goreng pisang - campur tepung, garam dan air.
*  Celupkan pisang ke dalam batter dan goreng dalam minyak penuh dengan api sederhana.
*  Balik-balikan pisang biar masak sekata dan angkat bila dah warna keperangan.
*  Angkat dan toskan minyak dengan tisu dapur, dan bolehlah dinikmati.
 
Ini rupa pisang kering tu, rupa lebih kurang macam pisang salai jugak, cumanya dikeringkan dengan menjemur di bawah sinaran matahari, salai tu, salai guna asap lah kan.
Bagi yang pernah makan pisang salai, mungkin terfikir yang rasa pisang kering (kaloko loka) adalah sama dengan manis dan ada bau asap-asap sedikit.  Sementara pisang kering (kaloko loka) ini rasanya manis dan aroma seperti diberi tambahan kayu manis.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment